
PUAS mencipta nama dalam bidang peragaan, pendatang baharu, Indah Edrea terus mencuba nasib sebagai penyanyi.
Tambahan pula, anak jati Kerawang 7, Indonesia ini sangat gemar dengan aktiviti karaoke di masa lapangnya.
"Sebenarnya, saya memang minat menyanyi sedari kecil lagi, namun keinginan untuk serius menyanyi baru sahaja timbul.
"Sebelum ini, saya lebih selesa bergerak aktif sebagai model," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Ahmad Dhani’s Masterpiece Karaoke, Jakarta, Indonesia, baru-baru ini.
Tanpa berlengah, selebriti berusia 27 tahun ini mempertaruhkan single pertama, Pergilah Bersamanya.
Lebih manis, pemilik nama penuh Indah Pratiwi Subrato ini berpeluang menerima ‘sentuhan’ daripada komposer terkenal Indonesia, Bemby Noor.
Bemby yang merupakan salah seorang ahli kumpulan 3 Composer pernah mencipta lagu untuk artis-artis tersohor seperti Datuk Rossa, Afghan, Kaer Hazami dan Sabhi Sadhi.
"Saya bersyukur dapat bekerjasama dengannya menerusi lagu ini. Sebenarnya, saya turut ditawarkan beberapa lagu daripada Bemby.
"Tetapi, saya memilih lagu ini kerana merasakan ia sangat dekat di hati. Lagipun, kata Bemby, lagu ini sangat sesuai dengan karakter vokal saya," katanya.
Terus optimis, Indah turut bersedia menghadapi persaingan daripada lambakan penyanyi baharu di Indonesia.
"Persaingan itu memang ada, tetapi saya percaya dengan rezeki masing-masing.
"Lagipun, setiap orang mempunyai selera tersendiri terhadap sesuatu karya muzik," katanya yang mengakui tidak pernah terlambat untuk mula menyanyi.
Sebelum ini, Indah pernah menyertai program realiti, Singapore Idol pada 2002.
Malah, kekuatan vokalnya juga dapat dilihat menerusi penyertaan dalam acara Olympic Choir di Korea pada 2002 dan Bremen Olympic Choir di German pada 2004.
Teroka pasaran Malaysia
Tidak hanya di tanah kelahirannya, Indah juga sanggup memperjudikan nasib apabila bakal membawa lagunya ke pasaran Malaysia, pertengahan November ini.
Biarpun dilihat terlalu awal, Indah bagaimanapun meletakkan seluruh kepercayaan kepada kekuatan lagu tersebut.
"Ya, saya tahu lagu ini masih terlalu baharu dan berisiko untuk ditolak pendengar.
"Bahkan, saya juga tidak tahu bagaimana penerimaan lagu ini di Indonesia.
"Namun, saya percaya dengan kekuatan dan kualiti lagu ini. Saya sudah memberikan sehabis baik," katanya.
Dalam pada itu, Cloudsworks Record pula akan bertindak sebagai label yang akan mengatur urusan promosi dan acara penyanyi ini di Malaysia.
Pada masa sama, Indah turut mengimpikan untuk berduet dengan idolanya, Datuk Siti Nurhaliza, suatu hari nanti.
"Saya adalah peminat nombor satu Siti Nurhaliza. Sudah pasti, impian hidup saya adalah untuk bertemu dengannya.
"Dan, sekiranya berpeluang berkongsi pentas dengannya, pasti tidur malam saya tidak lena," katanya.
Tambahnya lagi, lagu Cindai dan Bukan Cinta Biasa sering menjadi pilihannya ketika berkaraoke.