Anak, bahagiakan ibu bapa dan lihat orang sekeliling gembira adalah tiga perkara yang membuatkan penyanyi dari Indonesia, Judika tersenyum lebar menjalani kehidupan.
Penyanyi yang terkenal dengan lagu Aku Yang Tersakiti dan Bukan Dia Tapi Aku itu mengakui anak menjadi kekuatannya untuk terus bekerja keras dalam bidang muzik.
“Jadual saya sangat padat sampaikan ada masanya tidak sempat bermain dengan anak. Namun, saya cuba sedaya upaya meluangkan masa dengan mereka,” katanya.
Bercerita lanjut mengenai zuriatnya, Cleo Deomora Boru Sihotang, 2, dan Judeo Volante Sihotang, sembilan bulan, Judika akan memastikan setiap minggu mereka bertemu sekurang-kurangnya dua kali.
“Kalau saya pulang lewat malam sekali pun, saya akan menjenguk mereka di bilik tidur.
“Saya tidak boleh berjauhan terlalu lama dengan mereka. Kalau boleh mahu lihat mereka setiap hari,” katanya.
Judika bersyukur kerana isterinya, Duma Riris Silalahi sentiasa memahami dan menyokong kariernya meskipun masa bersama keluarga sangat terhad.
Bercerita mengenai impian, Judika berkata, dia teringin mengadakan konsert solo di Malaysia.
“Saya kerap bertandang ke Malaysia dan berharap satu hari nanti dapat mengadakan konsert solo. Lagipun, semakin ramai peminat mula mengenali lagu saya dan mudah-mudahan impian ini dapat direalisasikan,” katanya.
Selain sibuk mempromosikan single berjudul Jadi Aku Sebentar Saja, Judika kini rancak menyiapkan album terbaru.
“Jika tiada aral melintang, album ini akan dilancarkan Januari tahun depan. Semuanya ada 10 lagu yang terdiri daripada lima lagu ciptaan komposer profesional dan lima lagu lagi ciptaan peminat saya,” katanya.
Menurut Judika, album itu menyaksikan kolaborasi komposer amatur dan profesional.
“Semua orang ada peluang untuk jadi lebih baik dan disebabkan itu saya memberi peluang kepada peminat menghasilkan lagu sesuai untuk saya,” katanya.
Seperti yang pernah dilaporkan sebelum ini, Judika memilih karya ciptaan peminat menerusi peraduan mencipta lagu yang mengisi program TV, A Night With Judika.
Selain itu, Judika memaklumkan bakal tampil dengan album duet selesai pembikinan album solo.
“Untuk album duet ini, saya sudah menyenaraikan beberapa penyanyi termasuk dari Malaysia.
“Semuanya masih dalam perbincangan dan kalau berjalan lancar saya akan umumkan tidak lama lagi,” katanya.