Sokongan Johan penawar hati Nora


Johan (kiri) hadir seawal pukul 3 petang dan membawa sejambak bunga sebagai sokongan buat isteri tercinta, Nora.

SUDAH menjadi naluri wanita bergelar isteri, dorongan dan kata-kata moral daripada suami adalah sesuatu amat diharapkan setiap kali hendak melakukan perkara apatah lagi melibatkan untung nasib karier dan kehidupan.

Perkara sama sedang dilalui salah seorang penyanyi otai, Nora atau nama sebenarnya Wan Norafizah Ariffin yang kini sedang mempertaruhkan nasib dalam progam, Gegar Vaganza musim ketiga (GV3).

Biarpun pelantun lagu Hanya Satu itu tidak putus-putus menerima reaksi positif daripada peminat dan juri profesional, namun itu semua tetap tidak sama dengan sokongan daripada suaminya yang juga seorang komposer, Johan Nawawi.

Beberapa hari menjelang konsert minggu kedua GV3, wanita berusia 43 tahun ini telah meluahkan perasaan di laman Facebook tentang kesedihan yang dirasainya. Nora seperti terkilan kerana suaminya terlalu sibuk dengan urusan kerja sehingga tiada masa untuk memberikan sokongan buatnya.

Ingin mendapatkan kepastian, Nora sempat didekati usai konsert GV3 yang berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam pada hari Ahad lalu.

Kosmo!: Tahniah Nora kerana berjaya mara ke minggu ketiga GV3. Setakat ini adakah anda berpuas hati dengan persembahan pada dua minggu pertama?

NORA: Terima kasih. Kalau hendak dikatakan puas hati, sebenarnya sebagai penyanyi mesti ada sahaja perasaan bahawa saya boleh memberikan yang lebih baik berbanding persembahan sebelum ini.

Mungkin anda boleh kongsikan tentang persiapan yang dilakukan sebelum naik ke pentas pertandingan?

Saya banyak mengikuti sesi latihan bersama pihak Astro dan kemudian bersambung di rumah pula. Selain itu, saya juga mengambil berat dan mencatat setiap tunjuk ajar yang diberikan juri profesional. Saya cuba untuk memperbaiki mutu persembahan melalui teguran mereka.

Pada konsert minggu ketiga nanti, anda dikehendaki membawakan lagu Projector Band yang berjudul Sudahku Tahu, sudahkah anda mendapat rentak untuk melaksanakan tugasan tersebut?

Saya diberi cabaran yang langsung tidak pernah difikirkan, tetapi itulah realiti pertandingan. Saya tahu lagu tersebut dan pernah dengar di radio, tetapi saya masih tidak boleh bayangkan bagaimana ia hendak dinyanyikan dalam versi perempuan. Itu memang cabaran buat saya.

Beralih ke arah status yang ditulis dalam Facebook baru-baru ini, ia seperti ditujukan kepada suami, sebetulnya apa yang cuba anda sampaikan?

Bercakap sebagai wanita, kadangkala emosi saya tidak stabil. Saya bukan hipokrit atau pelakon. Setiap yang saya curahkan itu hanya untuk berkongsi dengan peminat dan ia tidak melibatkan hal peribadi. Cuma dalam keadaan sekarang, dengan tekanan dalam pertandingan, sibuk menguruskan hal rumah dan anak-anak, sudah tentu saya perlukan sokongan suami.

Sokongan daripada peminat, rakan-rakan dan juri profesional tetap tidak sama berbanding sokongan suami. Saya faham dia sibuk dengan kerjanya, tetapi luangkanlah sedikit masa untuk saya. Tambahan pula, suami saya, Johan merupakan komposer yang pastinya boleh memberi banyak nasihat dan bimbingan untuk saya.

Rentetan daripada status tersebut, hari ini (Ahad lalu) suami anda hadir ke konsert seawal pukul tiga petang dan beliau turut menghadiahkan anda sejambak bunga, boleh kongsikan perasaan anda apabila insan yang paling diharap-harapkan telah hadir memberi sokongan?

Benar, hari ini suami ganti semula masa sibuknya dengan datang melawat saya sejak dari pukul tiga petang. Saya terharu, kerana beliau turut membawa sejambak bunga. Kali terakhir saya mendapat hadiah sebegini adalah 23 tahun lalu. Kedatangan beliau sedikit sebanyak telah mengubat kesedihan saya. Pastinya saya seronok, terima kasih.

Sementara itu, Kosmo! juga sempat mendekati Johan Nawawi yang meluangkan masanya memberi sokongan kepada isteri tercinta pada hari konsert tersebut berlangsung.

Kosmo!: Mungkin Johan boleh terangkan situasi yang berlaku sehingga isteri anda menulis status sedemikian?

Johan Nawawi: Sebenarnya ia perkara biasa sahaja. Kita manusia, ada masa saya sibuk dengan kerja. Program GV3 memang memerlukan komitmen masa yang banyak dan saya pula mempunyai perniagaan, jadi sudah tentu tidak dapat selalu berada di sisinya.

Bagaimanapun, hubungan kami tiada masalah. Sejujurnya, saya tidak pernah tidak memberi sokongan kepada Nora, cuma kebetulan ketika sesi latihannya tempoh hari, telefon bimbit saya kehabisan bateri. Jadi, saya tidak menghadirkan diri, mungkin disebabkan itu emosinya terganggu.

Sebagai suami dan komposer, apakah nasihat anda untuk isteri?

Nasihat saya ialah jadilah diri sendiri, buat yang terbaik dan keluarkan lagi sisi kreatifnya kerana masih banyak lagi kebolehan Nora yang orang tidak tahu. Saya bagaimanapun berpuas hati dengan persembahannya sepanjang dua minggu lepas.

Post a Comment

Previous Post Next Post