Seperti tajuk lagunya Tragedi Oktober, penyanyi rock Awie berdepan masalah baru apabila kenyataannya yang mendakwa dirinya berketurunan Raja Siam iaitu Raja Sulaiman dipertikai banyak pihak.
Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 48, berkata dia yakin dengan dakwaannya itu kerana setiap orang ada salahsilah dan susur galur.
"Perkara ini tak sepatutnya saya kongsi tetapi saya terlepas cakap. Cuma ingin dijelaskan di sini saya memang daripada keturunan itu. Dalam masa sama saya nak anak-anak dan cucu cicit saya nanti tahu susur galur mereka.
"Berkenaan permintaan pihak tertentu yang mahukan saya mengemukakan dokumen salahsilah itu, saya takkan mengikut arahan mereka. Lagi pun siapa mereka untuk mempersoalkan perkara ini dan meminta bukti?
"Ini adalah hal peribadi saya, jadi pihak luar tak perlu masuk campur. Pendek kata saya takkan tunduk dengan permintaan mereka," katanya kepada Harian Metro.
Awie yang juga pelakon filem Sembilu menganggap ada pihak sengaja memperbesar-besarkan isu itu.
"Saya bukan nak menunjuk atau bercakap sembarangan. Perkara ini memang wujud. Saya mengambil masa selama empat tahun untuk mengkaji salahsilah saya.
"Biarlah soal keturunan saya ini menjadi pengetahuan saya sekeluarga. Tak perlu nak didedahkan segala dokumen bagi membuktikan kesahihannya," kata Awie.
Terdahulu Awie diminta mengemukakan dokumen salahsilah keluarga bagi membuktikan kebenaran dakwaan bahawa dia keturunan Raja Siam yang bernama Raja Sulaiman.
Kontroversi itu tercetus apabila vokalis kumpulan Wings ini mendakwa dia melangsungkan perkahwinan kali ketiga dengan Sharifah Ladyana Syed Shamsuddin, 29, di masjid Sultan Sulaiman Shah di Songkhla, Thailand bagi menghormati keturunannya yang berasal daripada salahsilah Raja Sulaiman.
Perkara itu sekali gus mendapat reaksi daripada Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah yang meminta Awie tampil dengan bukti seterusnya diserahkan kepada Kedutaan Thailand dan kerabat Raja Sulaiman bagi memastikan kesahihannya.