Awie, Apa motif kata meninggal dunia?


Penyanyi rock terkenal Awie kesal apabila terus dipalit dengan laporan mengatakan dia sudah meninggal dunia dan terbaru berita kematiannya mengaitkannya dengan kemalangan di Bandar Sri Perdana, Lahad Datu, Sabah sehingga viral di laman sosial.

Awie ketika dihubungi Harian Metro berkata, dia kini berada dalam keadaan sihat dan sedang sibuk dengan majlis perkahwinannya di ibu negara dalam masa terdekat ini.

"Laporan seperti ini sudah lebih 10 kali saya terima. Saya pun tak faham kenapa diri saya sering dikaitkan dengan dakwaan kononnya saya sudah meninggal dunia.

"Perkara ini anasir yang tidak baik dan saya pun tak tahu apa yang pihak tidak bertanggungjawab ini dapat," katanya baru saja bernikah dengan gadis pilihannya awal bulan ini.

Katanya, dia sedih dan terkilan dengan perbuatan segelintir pihak yang seolah-olah tidak serik mengatakannya malah turut terbabit dalam kemalangan maut dan sebagainya.

"Saya tidak tahu apa masalah diorang sama ada saya ada kacau hidup mereka sehingga tergamak mengatakan saya sudah meninggal dunia atau apa. Saya memang tak pasti.

"Malah, saya juga tidak ada motosikal berwarna biru seperti dalam laporan terbabit. Itu membuatkan saya musykil.

"Saya juga tidak pernah mengenali siapa individu dimaksudkan mereka. Apapun, saya melihat perkara ini sebagai ssesuatu yang positif," katanya.

Katanya, dia akan membuat laporan polis dalam masa terdekat dan tekad mahu berjumpa dengan individu tidak bertanggungjawab itu dengan apa cara sekalipun.

"Kalau tak puas hati, kita bersemuka. Bincang perkara dengan sebaiknya bukan dengan cara seperti itu. Meniru identiti dan sebagainya sesuatu kurang bijak.

"Jangan sampai saya belasah mereka. Mari, jumpa dan bersemuka dengan saya," tegasnya.

Blog KedaiKopi.org melaporkan Awie dilaporkan meninggal dunia akibat kemalangan di Bandar Sri Perdana, Lahad Datu, Sabah sehingga viral di laman sosial menyebabkan beberapa artis tempatan turut mendoakan kesejahteraannya.

Post a Comment

Previous Post Next Post