Niena Baharun bukan pemusnah


NAMA wanita berusia 23 tahun itu mula mekar sejak menghiasi drama rantaian Sayangku Kapten Mukhriz yang disiarkan di kaca televisyen tidak berapa lama dahulu.

Biarpun masih terlalu baharu, kerja lakonan Niena Baharun bersama gandingannya, si aktor muda Raja Afiq berjaya membuai emosi khalayak sehingga pantas meledakkan bom populariti masing-masing.

Kini, ketika babak percintaan dalam drama berkenaan sudah pun menemui penamat, pemilik nama lengkap Amaniena Kamarul Baharun masih lagi dikaitkan dengan realiti sebenar percintaan Raja Afiq.

Bermula dengan gosip didakwa pernah tidur seranjang bersama Raja Afiq, kini nama Niena sekali lagi terbakar kontroversi gara-gara didakwa menjadi orang punca pengakhiran cinta pelakon lelaki itu bersama kekasihnya seorang penyanyi serta pelakon bernama Anis Al Idrus.

Tidak mudah melenting dengan dakwaan yang dianggap tiada hujung pangkal tersebut, dengan tenang Niena menafikan tuduhan berkenaan.

“Dakwaan itu sangat kelakar. Saya bukannya punca perpisahan Raja Afiq dan Anis kerana kami sekadar kawan biasa.

“Gosip yang mengatakan saya ada hubungan istimewa dengan Afiq itu tidak betul. Biasalah tidak semua orang senang dan selesa dengan apa yang dikecapi orang lain. Perkara ini saya anggap sebagai asam garam dalam industri,” ujar Niena yang ditemui semasa penggambaran rancangan berkonsepkan drama dokumentari berjudul Ceritaku di Gombak, Selangor, Isnin lalu.

Mengacara

Ditanya tentang reaksi dan penerimaannya terhadap tuduhan yang semakin meliar, kongsi Niena, dia langsung tidak terkejut kerana telah mengetahui perkara tersebut daripada peminatnya.


“Pada malam sebelum gosip berkenaan disiarkan pihak media, ada peminat telah menghantar mesej memberitahu tidak sabar untuk membaca berita panas tentang saya.

“Ketika itu, saya tidak diberitahu tentang gosip yang cuba dimaksudkan, namun keesokannya apabila gosip itu keluar dalam salah sebuah akhbar, saya hanya tergelak dan mengambil keputusan untuk membiarkan ia berlalu begitu sahaja,” terangnya sambil tertawa kecil.

Beralih bicara tentang perkembangan aktiviti seni dirinya, Niena kini sedang sibuk dengan penggambaran rancangan amal berjudul Ceritaku.

Dalam rancangan berkonsepkan drama dokumentari yang memaparkan bantuan kepada masyarakat kurang bernasib baik tersebut, Niena ditugaskan membawa watak sebagai Siti Khadijah. Selain berlakon, dia juga perlu menjadi pengacara rancangan tersebut.

Mengaku agak gementar kerana ia merupakan rancangan pertama yang meletakkan dirinya sebagai hos, Niena tetap menerima tawaran tersebut kerana ingin mencuba sesuatu yang baharu.

Minat motosikal

“Sebelum ini saya cuma berlakon, dalam Ceritaku, ia merupakan percubaan pertama saya sebagai pengacara.

“Ceritaku membolehkan saya mendekati kehidupan masyarakat yang kurang bernasib baik. Pengalaman menjayakan program berkenaan benar-benar memberi kesedaran kepada saya agar lebih bersyukur kerana masih ramai insan memerlukan bantuan tanpa kita sedari,” terangnya panjang lebar.

Demi tidak mahu kelihatan kekok di hadapan kamera, Niena banyak membuat rujukan dan melihat gaya pengacaraan hos-hos lain.

Pelakon yang kali pertama memasuki dunia lakonan menerusi drama Demi Dia pada 2013 itu juga banyak bertanya dan meminta tunjuk ajar daripada kru produksi sebelum penggambaran bermula.

“Saya memang gementar kerana tiada pengalaman dalam bidang pengacaraan, jadi saya banyak membuat rujukan dengan bertanya kepada kru dan penerbit Ceritaku iaitu Datuk A. Aida.

“Ketika di lokasi pula, saya akan berbual dengan keluarga yang dikunjungi terlebih dahulu agar kami dapat mewujudkan kemesraan sebelum memulakan penggambaran,” katanya yang mengikat kontrak menjadi pengacara rancangan tersebut sehingga musim kedua.

Bercerita mengenai perkembangan lain dalam kerjaya lakonannya, buat masa ini fokus Niena tertumpu terhadap penggambaran Ceritaku sahaja.

Wanita kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu turut mengaku, setakat ini rezeki lakonannya tidak pernah putus, bahkan banyak menerima tawaran daripada syarikat produksi A. Aida Productions yang dimilik A. Aida.


KELAKAR Niena menyifatkan semua gosip yang melibatkan dirinya dengan Raja Afiq adalah sesuatu yang melucukan.

“A. Aida memang sedang mencari pelakon wanita yang boleh menunggang motosikal berkuasa tinggi. Secara kebetulan, memang saya boleh menunggang motosikal.

“Alhamdulillah, selepas ditawarkan untuk menjadi pengacara, saya juga ditawarkan membintangi drama lain terbitan produksinya. Pada November nanti, saya dijadualkan membintangi dua buah telefilem berjudul Alamak Tiga Juta dan Teman Pengganti,” tambah Niena.

Berbalik tentang Ceritaku, rancangan sebanyak 13 episod tersebut akan disiarkan pada 6 Disember nanti menerusi saluran SalamHD, HyppTV. Selain kisah masyarakat, penonton juga buat pertama kali bakal menyaksikan kebolehan Niena menunggang motosikal berkuasa tinggi.

Kemalangan

Tersenyum tatkala diajukan persoalan tentang minatnya itu, Niena yang memiliki lesen B (penuh) memberitahu, kegilaannya terhadap motosikal berkuasa tinggi telah tersimpan sejak dia berada bangku sekolah lagi.

“Saya meminati motosikal berkuasa tinggi, tetapi belum memiliki motosikal yang diidamkan.

“Ketika zaman sekolah saya sering menunggang motosikal, daripada situ wujud minat terhadap motosikal berkuasa tinggi. Selepas tamat persekolahan pula, ayah menyuruh saya mengambil lesen,” katanya.

Sehingga kini, Niena bersyukur kerana tidak pernah mengalami sebarang kecederaan seperti terjatuh sepanjang menunggang motosikal.

“Selepas mendapat lesen, boleh dikatakan agak jarang saya menunggang motosikal berkuasa tinggi, cuma kadangkala sahaja saya meminjam motosikal kawan-kawan.

“Walaupun motosikal berkuasa tinggi itu berat dan besar, namun saya belum pernah berdepan kemalangan,” tutupnya yang berazam mahu membeli sebuah motosikal berkuasa tinggi suatu hari nanti.

Post a Comment

Previous Post Next Post