Selepas putus tunang dengan bekas anggota One Direction, Zayn Malik pada tahun 2015, penyanyi Perrie Edwards tidak pernah membuka mulut tentang berita sedih tersebut.
Dia sebaliknya lebih banyak memberi fokus terhadap kariernya. Bagaimanapun, rahsia hatinya mengenai perpisahan tersebut telah dimuatkan dalam buku tulisannya, Our World.
Penyanyi yang juga merupakan anggota kumpulan Little Mix itu mendedahkan, hubungan pertunangan mereka berakhir hanya melalui satu kiriman pesanan ringkas sahaja daripada Malik.
“Kami telah menjalin hubungan selama empat tahun, sementara menikmati alam pertunangan selama dua tahun. Bagaimanapun, hubungan itu diakhiri dengan hanya satu kiriman pesanan ringkas sahaja.
“Itu adalah hal yang paling buruk pernah berlaku dalam hidup saya. Dia mengakhiri hubungan kami begitu sahaja, ” dedahnya.
Terdahulu, Malik pernah menafikan dia memutuskan pertunangannya dengan Edwards hanya menerusi kiriman pesanan ringkas.
“Saya menghormati dia dan tidak akan mengakhiri hubungan kami melalui satu kiriman pesanan ringkas sahaja,” ujar Malik dalam temu bual bersama majalah Fade.
Sementara itu Edwards yang diminta mengulas mengenai hubungan Malik bersama Gigi Hadid berharap, model itu tidak berpura-pura sepertinya.
“Saya rasa selama ini sebenarnya saya tidak mencintai dia dengan sepenuh hati. Saya banyak berpura-pura, terutama sewaktu kami berasmara. Saya harap anda tidak berpura-pura seperti saya,” pesannya.