NADIA dan Aidit mengharapkan penampilan menerusi darama bersiri Sweetie Nanie bakal mengukuhkan kedudukan mereka sebagai pelakon.
Pertama kali bertemu jodoh berkongsi lensa kamera sama menerusi drama rantaian Sweetie Nanie, tunjang utama naskhah tersebut iaitu Nadia Brian dan Aidit Noh mengaku, saling kekok melakonkan babak romantik.
Bagi mengurangkan rasa gementar di lokasi, Aidit Noh atau nama sebenarnya Ahmad Aidit Noh banyak menimba ilmu daripada Nadia dan pelakon lain termasuk pengarah drama berkenaan, Pali Yahya sendiri.
Bersiaran menerusi Slot Lestary, pukul 9 malam sejak 29 September lalu, drama yang pertama kali memberi kepercayaan kepadanya memegang watak hero tersebut agar sukar untuk dijayakan.
“Saya tidak termasuk dalam golongan lelaki romantik. Awalnya, saya berdepan dengan kesukaran terutama ketika ingin melakonkan babak romantis dengan pelakon gandingan.
“Terima kasih saya ucapkan kepada pengarah dan Nadia sendiri kerana banyak memberi nasihat dan tunjuk ajar agar karakter yang dilakonkan kelihatan tidak canggung,” jelas Aidit.
Pelakon berusia 23 tahun itu turut menaruh harapan agar kehadirannya diterima peminat, sekali gus menjadi platform buat dirinya melebarkan sayap dalam industri seni tanah air.
Mencabar kredibiliti barisan pelakonnya, drama rantaian 13 episod itu menceritakan kehidupan seorang remaja bernama Nanie Nadira lakonan Nadia yang terpaksa mengharungi detik hitam dan kesukaran meneruskan hidup setelah menjadi mangsa rogol.
Insiden tersebut menyebabkan dia hamil dan disebabkan mengalami masalah kewangan, dia terpaksa menyerahkan bayi tersebut untuk dijaga kakaknya, Nora.
Bagaimanapun, nasibnya seperti sudah jatuh ditimpa tangga, apabila bayi bawah jagaan Nora diculik dan kejadian tersebut menyebabkan Nanie berdepan kemurungan sehingga meragut nyawanya.
Bermain dengan pelbagai emosi, Nadia tidak menafikan dia membuat penyelidikan sendiri sebelum memulakan sesi penggambaran.
Sebagai pendatang baharu, kemampuan menterjemahkan watak dan memahami keseluruhan skrip adalah penting agar tidak menimbulkan kesukaran mengekalkan momentum karakter.
Elak kontroversi
Meskipun pernah menerima komen positif hasil lakonan menerusi naskhah Akulah Balqis, Nadia enggan membiarkan segala pujian tersebut menjadikan dirinya mudah mendabik dada.
“Tidak bermaksud saya seorang mementingkan kesempurnaan tetapi saya akan berusaha bersungguh-sungguh agar setiap pekerjaan yang dilakukan tidak membebankan orang lain,” kata pelakon berusia 25 tahun itu.
Sudah mula terkena percikan glamor dan menjadi tumpuan peminat, kelibat Nadia juga tidak terlepas daripada diselidik tentang perihal peribadi.
Memikirkan ruang privasi yang semakin terbatas, pemilik nama lengkap Nadia Najwa Mohamed Rashidi itu tidak dapat menyembunyikan gelora hatinya. Dia bimbang sekiranya terpalit dengan khabar kurang enak.
“Apabila berdepan dengan kontroversi, perkara paling penting ialah artis itu tidak perlu lari, sebaliknya mengambil pendekatan berbincang dan berani memberi penjelasan,” ulas Nadia usai diajukan persoalan mengenai cara menangani kontroversi.
Cabaran dunia tanpa sempadan turut antara penyumbang utama memudahkan setiap cerita disebarkan dengan mudah tanpa mengetahui kebenaran di sebalik maklumat yang dikongsikan.
Sebagai persediaan, Aidit yang sebelum ini pernah berlakon menerusi drama Sesal Separuh Nyawa pula mengambil langkah berjaga-jaga dalam berkongsi kisah peribadi termasuk gambar insan terdekat dengan hidupnya.
“Saya berusaha untuk mengawal setiap gambar mahupun berkongsi sebarang maklumat yang dimuat naik menerusi media sosial agar tidak mengundang perspektif negatif kelak,” tuturnya yang masih bergelar pelajar jurusan kejuruteraan pesawat di Universiti Kuala Lumpur Malaysia.