Nadiya Nisaa Saya terima takdir ini


“Bukan tidak mahu berkongsi sebelum ini, saya harap semua memahami keadaan saya.”

Itu kenyataan yang diberikan pelakon, Nadiya Nisaa yang mengakui kini lebih bersedia berkongsi cerita mengenai kematian bayinya ketika kandungan berusia lapan bulan pada penghujung Julai lalu.

Menurut Nadiya, 31, apa yang berlaku adalah ketentuan takdir dan dia reda.

“Saya minta maaf sekiranya ramai tertanya-tanya kenapa saya tidak berkongsi perkara ini.

Hanya mereka yang pernah melalui situasi ini akan faham apa saya rasakan.

“Saya reda dengan apa yang berlaku. Selepas kejadian ini, saya jarang berkongsi cerita di laman sosial sebaliknya lebih fokus memulihkan kesihatan diri.

“Apa yang pasti saya meneruskan kehidupan seperti biasa. Saya tahu, perkara ini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja dan sebagai manusia saya perlu tabah. Ini semua adalah ketentuan Allah,” katanya.

Ditanya sama ada dia trauma dengan pengalaman itu, Nadiya berkata tidak sama sekali.

“Saya mahu berikan perhatian dan teruskan hidup dengan suami dan anak,” katanya.

Nadiya yang kini tampil berhijab berkata hatinya terdetik untuk menutup aurat sejak Ramadan lalu dan bukan disebabkan pengalaman pahit kehilangan bayinya itu.

“Soal berhijab tiada kaitan dengan kehilangan anak kedua. Niat sudah ada sejak Ramadan lalu dan ketika itu saya sedang hamil,” katanya.

Terbaru, Nadiya membintangi filem Interchange yang akan menggegarkan pawagam seluruh tanah air bermula 1 Disember ini.

Post a Comment

Previous Post Next Post