AKTRES ini teruja menanti pengalaman pertama sebagai seorang ibu.
WANITA kecil molek ini hanya tersenyum manis apabila menyedari ramai mata yang memerhatikan kehadirannya yang sarat mengandung lapan bulan ketika malam tayangan perdana filem Juvana 3 baru-baru ini.
“Usah bimbang, saya masih mampu berjalan,” ungkapnya melentur tawa di bibir.
Dijangka melahirkan anak sulungnya dalam masa terdekat, Nad Zainal atau nama sebenarnya Farah Nadia Zainal Abidin, 26, bagaimanapun membayangkan hasrat untuk berehat semula daripada bidang lakonan sebaik bersalin nanti dan hanya kembali aktif tahun depan.
“Sudah tentu saya akan meneruskan karier lakonan seperti biasa selepas bergelar ibu. Cuma, mungkin saya perlu memilih watak yang lebih sesuai dan matang selepas ini,” ceritanya lagi.
Tanpa berselindung, isteri Muhammad Faliq Amirudin, 28, itu juga mengakui berasa gementar dan takut, sementelahan pula ini pengalaman pertamanya.
“Mungkin, perasaan itu cuma bersifat sementara memandangkan ini kali pertama, tambahan pula apabila mendengar cerita rakan-rakan mengenai pengalaman masing-masing.
“Insya-Allah, doakan yang baik-baik semoga saya dan anak selamat,” ujarnya.
Cuma pada masa sama, aktres itu kekal berahsia untuk berkongsikan nama putera kesayangannya itu bersama peminat.
“Tunggu selepas bersalin nanti, insya-Allah saya akan umumkan kemudian. Seperti mana yang saya beritahu sebelum ini, sudah ada beberapa nama pilihan yang pendek-pendek saja asalkan membawa maksud yang baik,” jelasnya.
Bakal berpantang di rumahnya sendiri sambil dijaga ibu dan ibu mertuanya selepas bersalin nanti, Nad turut memberitahu bahawa persiapan kelengkapan asas menyambut kelahiran bayi sulungnya juga sudah siap sepenuhnya.
“Kami sekeluarga teruja menanti kelahiran dan mudah-mudahan segalanya dipermudahkan. Buat masa ini, keluarga dan suami banyak membantu, selain saya juga banyak membaca sebagai persediaan bergelar ibu,” katanya.
Menyentuh mengenai filem berkenaan, Nad berharap supaya Juvana 3 dapat merungkai setiap persoalan penonton sebelum ini.
“Saya membawakan watak Nabila iaitu anak seorang ketua mafia yang ditawan oleh gengster lain. Ia merupakan salah satu watak idaman saya memandangkan sifatnya yang lasak, namun masih mengekalkan ciri-ciri feminin,” katanya seraya menoktah bicara.