Lufya Omar kini bahagia bersama tunangnya Che Muhammad Hafiz.
Diam-diam ubi berisi cinta. Kurang sebarang gosip cinta, jika adapun pernah terpalit bercinta dengan kerabat sebelum ini, rupa-rupanya pelakon Lufya sedang menghitung detik ke peterana perkahwinan.
Bakal berkahwin pada November ini, pemilik nama sebenar Lutfyah Sheikh Omar itu memilih doktor sebagai pasangan hidupnya.
Bagaimanapun, buat masa ini bekas peserta Akademi Fantasia musim keenam itu enggan menguar-uarkan tarikh kahwin dan butiran terperinci mengenai lelaki itu. Sebaliknya akan memberitahunya pada majlis minum petang bersama Lufya yang akan dibuat pada 10 Oktober ini.
“Tarikh, saya tak boleh beritahu sekarang dan akan diberitahu pada 10 Oktober nanti. Pada masa sama, saya juga akan berkongsi secara terperinci mengenai lelaki dan majlis itu nanti,” ujarnya sambil tertawa manja tatkala mengutuskan undangan ke majlis minum petang bersama Lufya kepada Sensasi Bintang.
Sudah mengikat tali pertunangan dengan doktor bernama Che Muhammad Hafiz Che Baharum itu pada akhir Ramadan lalu, kongsi Lufya lagi, dia mengenali jejaka berasal dari Kelantan itu sejak lebih setahun lalu.
“Dia menepati ciri-ciri lelaki idaman saya. Budi bicara serta pekertinya lemah lembut dan ia menyebabkan pintu hati saya terbuka untuk menerima dirinya,” jelas Lufya serba sedikit mengenai doktor berusia 26 tahun itu.
Dalam perkembangan lain, nama Lufya kembali menyinar dalam industri lakonan selepas berlakon dalam drama Umairah yang bakal ditayangkan menerusi slot Samarinda, TV3 pada 25 Oktober ini.
Lega dengan keadaan tersebut, pelakon berusia 31 tahun itu juga sedar namanya dalam bidang lakonan sebelum ini tidak begitu menyinar.
“Alhamdulillah, saya rasa Allah sudah aturkan rezeki saya pada tahun ini. Kahwin dan juga dapat tawaran watak utama dalam drama Umairah. Kalau dahulu jarang dapat projek-projek lakonan besar dan watak utama. Jadi disebabkan itu, kurang menyerlah.
“Saya sangat-sangat bersyukur bila dapat tawaran berlakon dalam drama arahan Along Kamaludin ini,” ujarnya mengenai drama Umairah yang turut dibintangi oleh Amar Asyraf dan Shah Iskandar itu.
Selain bersyukur dengan tawaran tersebut, Lufya juga cukup senang berlakon di bawah arahan pengarah berkaliber itu.
“Along sangat menitikberatkan soal solat pelakon-pelakonnya, malah dia juga memberi banyak masa untuk solat.
“Sebelum ini, ada segelintir pengarah yang mendesak saya untuk cepat solat,” dedahnya yang turut mengaku akan terus berlakon selepas berkahwin.
Kongsi Lufya lagi, bakal suaminya tidak menghalangnya untuk terus berlakon selepas berkahwin nanti, namun sebagai isteri nanti, dia sedar batas-batas lakonan yang perlu dijaga.