Nabil Ahmad galas tugas baru


Serasi mengendalikan program kanak-kanak, Nabil Ahmad tidak menyangka kali ini cabarannya lebih besar apabila perlu mengendalikan program kanak-kanak bercorak Islamik iaitu Ceria i-Star.

Walaupun sinonim dengan program di Astro Ceria, Ceria i-Star sangat berlainan kerana dia perlu bijak mengendalikan program supaya tidak menyentuh sensitiviti agama.

Tidak berseorangan, Nabil akan ditemani bekas peserta Pencetus Ummah Ustaz Yeop untuk sama-sama memastikan misi program berjaya dan berjalan lancar.

“Alhamdulillah cabaran baru buat saya apabila pertama kali diberi tanggungjawab mengendalikan program seperti ini.

“Apabila produksi menawarkan saya mengacara program ini saya terus terima kerana anggap ini proses pembelajaran untuk mengumpul ilmu supaya berpeluang mengendalikan program yang lebih serius seumpama ini satu hari nanti.

“Disebabkan ia program membabitkan kanak-kanak, saya agak gementar tetapi yakin dapat mengawal keadaan nanti. Pihak penerbitan juga tidak mahu saya tampil sebagai orang lain, namun tunjuk ajar daripada Ustaz Yeop banyak membantu saya mengawal diri apa yang perlu dan tidak untuk dicakap di depan khalayak,” katanya.

Ceria i-Star bakal menemui penonton bermula 14 Oktober ini setiap Jumaat jam 9 malam di saluran Astro Ceria (611) dan Maya HD (135).

Program lima episod akan dirakam dan siaran secara langsung pada peringkat akhir nanti.

Juara Ceria i-Star akan membawa pulang wang tunai RM15,000 dan trofi, tempat kedua RM10,000 dan trofi, tempat ketiga wang tunai RM5,000 dan trofi serta RM1,000 dan trofi untuk peserta keempat.

Pendakwah popular, Ustaz Zul bertindak selaku penasihat progam manakala juri tetap program ialah Imam Muda Asyraf dan ahli motivasi terkenal, Amin Idris.

Seramai 10 peserta yang terpilih ialah Aiman, Aneesa, Balqis, Danial, Danish, Nurin, Ikki, Sehati, The Black dan Shoutun Najah.

Sementara itu, Penolong Naib Presiden Gen Next Studio, Mohd Irwan Abdul Rauf berkata, walaupun program ini bercorak Islamik setiap peserta bebas menunjukkan kebolehan dan kelebihan masing-masing.

“Program ini lebih kepada menonjolkan kebolehan setiap peserta. Mereka akan dinilai oleh juri profesional mengikut kepada aspek seperti tahap keyakinan, keunikan dan kebolehan masing-masing.

“Masing-masing bebas berdakwah mengikut kreativiti seperti menyanyi, berlakon, bercerita dan sebagainya. Dari situ kita boleh lihat apakah bakat terpendam yang mereka ada,” katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post