Jue Aziz tidak pernah tinggalkan dunia lakonan


SETELAH lama tidak muncul dengan filem terbaharu, pelakon cantik, Jue Aziz kini kembali menerusi filem Mat Moto Otai, arahan Ahmad Idham.

Menafikan sudah meninggalkan lakonan semenjak berhijab, Jue atau nama penuhnya Zuliana Abd Aziz, menganggap ia hanyalah salah faham daripada pihak-pihak tertentu.

“Ramai yang salah faham di mana mereka beranggapan saya sudah tidak berminat berlakon lagi selepas berhijab. Tidak kurang juga yang sangka saya kini mengikut suami menetap di Indonesia.

"Disebabkan itu ramai yang tidak lagi memberikan tawaran berlakon kepada saya. Apabila jumpa saya di mana-mana, mesti ada yang bertanya bila balik Malaysia dan sebagainya.

“Hakikatnya, saya masih tinggal di Kuala Lumpur dan tidak pernah berhijrah ke Indonesia," ujarnya yang ditemui di majlis pratonton filem Mat Moto Otai baru-baru ini.

Katanya, minatnya kepada dunia lakonan masih seperti dulu dan cuma mungkin selepas berkahwin tumpuan banyak dihabiskan kepada rumah tangga.

"Apapun jika ada watak dan tawaran bersesuaian, saya tidak ada masalah untuk mempertimbangkannya," katanya.

Berkongsi perkembangan terkininya, kata Jue, selain sibuk dengan aktiviti promosi filem terbaharunya itu, dia juga bakal ke lokasi penggambaran sebuah program TV yang bakal memaparkan tentang masalah remaja yang terlibat dalam aktiviti rempit.

“Seronok juga apabila sesekali dapat terlibat dengan program sebegini. Sejak dulu lagi, Jue memang suka dengan aktiviti berkaitan motor dan mungkin disebabkan itu mereka memberikan tawaran ini kepada Jue,” akuinya yang cukup manis bertudung.

Dalam pada itu, Jue juga memberitahu dia kini sibuk menguruskan perniagaan tudungnya. Lebih menarik, suaminya, Bayu Daniels turut membantunya.

“Alhamdulillah, selain berlakon Jue juga sibuk dengan perniagaan tudung yang diusahakan bersama suami. Ada hikmahnya juga kurang tawaran berlakon kerana Jue dapat menumpukan perhatian kepada perniagaan ini. Kalau sibuk dengan lakonan, mungkin masa agak terbatas untuk buat benda lain.

“ALLAH SWT bagi peluang untuk Jue lebih luangkan masa bersama suami. Jadi Jue anggap di sebalik kurangnya tawaran berlakon itu ada hikmah lain untuk Jue dan keluarga.

"Semuanya telah diatur, dan Jue akur dengan rezeki yang telah ditentukan buat kami,” kata ibu kepada seorang anak lelaki ini.

Post a Comment

Previous Post Next Post