Pelakon Faye Kusairi akhirnya mengesahkan pengarah drama Azmi Hatta yang juga bekas suami penyanyi Elly Mazlein adalah kekasihnya seperti yang diperkatakan ramai sebelum ini.
Faye atau nama sebenarnya Dayangku Faratiwan Adnil Awang Kusairi, 29, yang selama ini tidak pernah mengaku bercinta dengan Azmi berkata, sudah tiba masanya dia memberitahu mengenai status hubungannya dengan Azmi.
Bagaimanapun, Faye menafikan dakwaan dia dikatakan punca perceraian Elly dengan Azmi pada 15 Oktober tahun lalu.
Menurutnya, dia mula rapat dengan Azmi pada Disember tahun lalu iaitu kira-kira dua bulan selepas Azmi bercerai dengan Elly.
“Saya juga tidak akan berkawan rapat dengannya jika tahu dirinya masih berstatus suami orang. Malah, saya juga meminta Azmi menunjukkan bukti perceraiannya sebelum kami mula bercinta,” katanya.
Elly berkata, selama ini dia bukan mahu bermain teka-teki mengenai hubungannya dengan Azmi, cuma sekarang dia berasakan adalah masa yang paling sesuai untuk memaklumkan perkara sebenar.
“Saya berharap dengan kenyataan ini, tiada lagi pihak akan bertanya sejauh mana hubungan kami berdua selepas ini. Soal jodoh pula, saya serahkan kepada Allah,” katanya.
Diminta mengulas mengenai dia dan Elly yang dikatakan sering ‘berperang’ di laman sosial Instagram, Faye enggan mengulas lanjut.
“Saya tidak ingin membalas kenyataannya itu,” katanya.
Azmi dan Elly hercerai pada 15 Oktober tahun lalu di Mahkamah Rendah Syariah Sepang iaitu selepas 11 bulan berkahwin.
Pasangan ini dikurniakan cahaya mata perempuan pada 9 Mac lalu.