Amar lega ibu Amyra bantu urus persiapan kahwin


Pelakon Amar Baharin berasa lega apabila pengurus yang juga ibu kepada tunangnya, Amyra Rosli, Noor Zaridah Ahmad, menguruskan persiapan perkahwinannya dengan aktres itu, 11 November depan.

Amar, 31, berkata beliau dan Amyra terlalu sibuk dengan kerja penggambaran sehingga mereka tidak mempunyai banyak masa bagi menguruskan persiapan majlis bersejarah yang tinggal beberapa minggu saja lagi itu.

"Alhamdulillah, sehingga kini 90 peratus persiapan sudah pun dilakukan. Mujurlah ibu Amyra menguruskan segala persiapan yang diperlukan. Kami amat bersyukur semuanya berjalan lancar.

"Saya dan Amyra pula memang sibuk dengan penggambaran. Malah, kami sebenarnya baru saja pulang dari United Kingdom kerana menjalani penggambaran di sana," katanya kepada BH Online.

Sementara itu, kata Amar, beliau terpaksa berpisah buat sementara dengan Amyra, 25, memandangkan bakal isterinya akan ke Dubai bagi menjalani penggambaran drama.

"Amyra akan ke Dubai dan pulang ke tanah air beberapa hari sebelum pernikahan kami. Kiranya, saya akan berjumpa bakal isteri di pelamin nikah saja nanti," katanya.

Menurut pelakon ini, mereka menganggap segala tawaran berlakon yang diterima sebagai rezeki perkahwinan. Malah, sebahagian besarnya sudah dijadualkan sejak awal tahun lagi, justeru masing-masing harus memberikan komitmen dengan sebaiknya.

Amar dan Amyra bakal disatukan sebagai pasangan suami-isteri pada 11 November depan.

Majlis resepsi pula akan diadakan pada 12 November di sebelah pihak pengantin lelaki, manakala 19 November di sebelah keluarga Amyra.

Pasangan ini bertunang dalam sebuah majlis tertutup pada 22 Julai lalu.

Post a Comment

Previous Post Next Post