Fara Fauzana jadi juri program agama


Fara berpeluang mempelajari perkara baharu terutama dalam bidang keagamaan apabila bergelar juri Pencetus Ummah.

TEMPOH 12 tahun bergelar penyampai radio memberi banyak kelebihan buat Fara Fauzana dalam mengembangkan karier seninya.

Bermula dengan bidang pengacaraan dan seterusnya lakonan, pemilik nama lengkap Farah Fauzana Mohd. Fadzil itu dilihat sentiasa cemerlang dalam mengemudi setiap cabang seni dipilihnya.

Terbaharu, bekas penyampai radio Hot FM itu bakal bergandingan dengan pendakwah terkenal yang juga Mufti Perlis, Profesor Madya Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin (Dr. Maza) sebagai juri tetap program realiti Pencetus Ummah musim keempat.

Berkesempatan bertemu dengannya pada majlis sidang akhbar program tersebut di Hotel Istana, Kuala Lumpur baru-baru ini, Fara, 36, mengakui teruja dan gembira kerana diberi peluang untuk menjadi juri sebuah program berunsur dakwah.

Ujar pelakon suara filem BoBoiBoy: The Movie itu, penglibatan dalam Pencetus Ummah turut memberi peluang kepadanya untuk mempelajari perkara-perkara baharu khususnya dalam bidang keagamaan.

Selain itu, Fara juga berkongsi tentang perkembangan terkini selepas perancangan untuk melangsungkan perkahwinan dengan seorang usahawan bernama Mohamed Hafiz pada 17 September lalu dibatalkan.

KOSMO!: Bagaimanakah Fara boleh terlibat dalam program Pencetus Ummah musim terbaharu ini?

FARA: Saya bersetuju untuk menggalas tanggungjawab sebagai juri kerana saya sendiri penonton rancangan yang diterbitkan oleh Astro Oasis itu. Rancangan yang disiarkan bersifat santai, mudah difahami dan padat dengan informasi. Jadi, apabila ditawarkan untuk mengisi kerusi juri, saya terus bersetuju.

Apakah aspek yang bakal dinilai apabila anda melihat persembahan para peserta kelak?

Sebelum bersetuju untuk menerima tawaran ini, saya sering bertanya kepada pihak penerbit apakah kriteria penjurian yang mereka mahukan? Mereka hanya mahu saya menilai tentang cara persembahan dan keberkesanan mesej yang ingin disampaikan oleh peserta. Selebihnya, Dr. Maza akan menilai mereka.

Adakah anda menganggap tugas ini sebagai satu tanggungjawab yang sangat berat?

Saya akui, pengetahuan saya dalam bidang agama tidak mantap berbanding juri lain. Saya meletakkan diri sebagai penonton dan individu yang baru belajar. Jadi, apa sahaja yang dinilai kelak adalah berdasarkan mesej dan mutu persembahan peserta.

Anda juga bergelar pengacara bagi program Muzik Muzik dan bertindak sebagai juri Pencetus Ummah. Tidakkah kedua-duanya jauh berbeza?

Kami telah melalui satu perbincangan yang panjang mengenai perkara ini. Pihak penerbit tidak ada sebarang masalah tentang perkara tersebut. Cara saya berpakaian juga masih sama. Cuma, saya akan lebih berhati-hati dalam penggunaan ayat sewaktu mengacarakan program Muzik Muzik.

Apakah persiapan lain yang dilakukan sebelum Pencetus Ummah mula bersiaran pada 27 Oktober ini?

Saya menonton kembali cara penjurian yang dilakukan oleh penyampai radio, Abby Fana semasa menjadi juri Pencetus Ummah musim sebelum ini.

Biarpun menjadikan dia sebagai rujukan, saya tetap akan melontarkan pandangan dan kritikan dengan cara tersendiri.

Faizal Ismail turut diberi tanggungjawab untuk mengacara rancangan ini bersama PU Azman Syah Alia. Seperti sirih pulang ke gagang, adakah anda berasa gembira kerana dapat kembali bekerja dengan Faizal bawah satu bumbung yang sama?

Seperti semua sedia maklum, dulu saya dan Faizal merupakan bekas penyampai radio Era FM iaitu sebuah stesen radio milik Astro, kemudian kami kerja dengan Hot FM. Saya berasa sangat gembira apabila mendapat tahu dia turut serta dalam Pencetus Ummah musim ini.

Biarpun menggalas tanggungjawab berbeza, kami tetap bekerja dalam sebuah program yang sama. Insya-Allah, kolaborasi ini mungkin membungakan sesuatu yang lebih baik pada masa akan datang.

Bagaimanakah kehidupan anda selepas perancangan untuk mendirikan rumah tangga dibatalkan?

Kehidupan berjalan seperti biasa. Buat masa ini, saya sedang sibuk membuat persediaan untuk program Pencetus Ummah sebelum Muzik Muzik Separuh Akhir menyusul sekitar November. Pada penghujung tahun ini juga, saya bakal ke luar negara atas urusan kerja.

Post a Comment

Previous Post Next Post