Saingan sengit Gegar Vaganza 3


BARISAN 12 peserta, pengacara dan juri profesional yang akan mewarnai perjalanan Gegar Vaganza musim ketiga bermula 16 Oktober ini.

SEMAKIN sengit. Itu gambaran awal dapat dilihat dalam program realiti Gegar Vaganza musim ketiga apabila membariskan penyanyi terkenal tanah air dari era 80-an, 90-an dan awal 2000 yang memiliki vokal padu.

Seramai 12 penyanyi yang terpilih berentap dalam musim ini ialah Azharina, Intan Sarafina, Nora, Elly Mazlein, Siti Sarah, Zur Eda, Ameng Spring, Gmie Screen, Zarul Umbrella, Razis Ismail, Shidi Data dan Rem.

Ia sekali gus merungkai teka-teki senarai peserta Gegar Vaganza tahun ini yang menjadi persoalan dalam kalangan peminat di laman sosial.

Menurut Ketua Saluran Melayu Astro, Raqim Ahmad, populariti diraih Gegar Vaganza sejak dua musim lalu menuntut pihak Astro untuk menjalankan pemilihan yang ketat terhadap peserta.

“Setiap tahun, pihak Astro akan memastikan perjalanan program ini diserikan dengan penyertaan penyanyi yang hebat. Pemilihan peserta masih lagi mengikut kriteria asal iaitu sekurang-kurangnya memiliki sebuah lagu yang popular. Walaupun kami menghadapi kesukaran kerana semua yang hadir semasa sesi uji bakat sangat berkaliber.

“Apa yang penting, pihak Astro sangat berpuas hati dengan pemilihan kesemua 12 peserta akhir kerana mereka mempunyai portfolio yang hebat dan versatil,” ujarnya ketika ditemui di TREC KL baru-baru ini.

Raqim berharap perkara itu akan menjadi pemangkin semangat kepada semua peserta untuk bersaing secara sihat sepanjang program berlangsung pada 16 Oktober ini.

Program yang bersiaran langsung dari Dewan Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Selangor itu akan mula bersiaran setiap hari Ahad pada pukul 9 malam menerusi saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123).

Seperti dua musim terdahulu, Gegar Vaganza kali ini masih mengekalkan format keputusan melalui penilaian juri profesional secara keseluruhan.

Sementara itu, penyanyi Intan Sarafina mengakui agak gementar beradu vokal dengan barisan artis lain memandangkan dia berehat panjang dalam lapangan seni nyayian selama hampir lapan tahun.

“Perasaan saya sangat bersyukur atas peluang ini tetapi pada masa sama agak gementar kerana persaingan begitu sengit. Saya banyak mendengar lagu penyanyi lain dengan semua genre kerana dalam program ini setiap peserta diberi tugasan membawa lagu orang lain.

“Malah, disebabkan sudah lama tidak menyanyi, saya ada mengambil kelas vokal bersama penyanyi Shafinaz sejak menyertai pertandingan Super Karok,” ujarnya yang mendapat sokongan padu daripada suami untuk menyertai program tersebut.

Penyanyi terkenal dengan lagu Kembali itu menambah, antara genre yang akan memberi cabaran buat dirinya merupakan rock.

“Dalam banyak-banyak genre, saya agak bimbang menyanyikan lagu rock kerana ton suara saya rendah dan lembut. Bagaimanapun, saya sangat meminati lagu rock, terutamanya lagu-lagu penyanyi terkenal Ella dan Shima.

“Saya akan menggunakan perasaan meminati genre rock dalam mencabar diri semasa berlangsung program itu nanti,” katanya.

Gegar Vaganza musim ketiga masih mengekalkan gandingan dua pengacara dan pelawak, Nabil Ahmad serta Jihan Muse.

Pengarah muzik, Datuk Ramli MS dan penyanyi tersohor, Datuk Khadijah Ibrahim juga masih dikekalkan sebagai juri tetap, selain menjemput seorang juri jemputan berbeza pada setiap minggu.

Post a Comment

Previous Post Next Post