Eka Sharif tak kenal erti putus asa


Selain bernyanyi, Eka Sharif juga mempunyai kebolehan untuk bermain gitar dan aktif di pentas peragaan.

SUATU ketika dahulu, wanita ini pernah menyertai rancangan realiti nyanyian dan tersingkir pada minggu kedua. Tidak mahu impian untuk bergelar penyanyi terkubur begitu sahaja, dia kemudiannya menubuhkan kumpulan duo bernama Hanarose.

Sempat merakamkan dua buah single berjudul Girlfriend dan Deritaku, tetapi disebabkan kekangan masa, akhirnya kumpulan tersebut terpaksa dibubarkan.

Walaupun begitu, ia sedikit pun tidak memadamkan semangat yang dimiliki oleh penyanyi tinggi lampai bernama Eka Sharif.

Menjadikan platform aplikasi Smule sebagai ruang untuk mempamerkan bakat nyanyian, Eka atau nama penuhnya, Nur Atiqah Shariffudin dipilih untuk menjadi artis di bawah naungan Media Asia Production Sdn. Bhd. (MAP Music).

“Saya menyertai Akademi Fantasia kesembilan pada tahun 2011. Selepas tersingkir, saya berada di bawah naungan Cat Farish dan menubuhkan kumpulan Hanarose. Bagaimanapun, disebabkan beberapa kekangan, selepas tiga tahun bersama Hanarose, kami terpaksa membubarkan kumpulan itu.

“Bagaikan rezeki, aplikasi Smule banyak membantu saya untuk dikenali semula dan kemudian disunting sebagai artis rakaman MAP Music,” kata Eka mesra membuka bicara semasa sesi fotografi yang diaturkan di Studio Utusan baru-baru ini.

Hadir dengan single baharu berjudul Mengenal Cinta, wanita yang berasal dari Kuala Lumpur itu memberitahu lagu tersebut merupakan ciptaannya sendiri.

Ingin menampilkan kelainan dalam kelahiran semula dirinya itu, Eka turut menyuntik irama balada moden dalam lagu tersebut.

“Sebelum ini semasa bersama Hanarose, kami banyak membawakan lagu pop dan bersifat catchy seperti lagu-lagu dari Korea. Malah, penampilan saya juga begitu.

“Dalam penampilan kali ini, saya mengubahnya agar bersesuaian dengan genre balada moden yang saya bawakan. Single baharu ini merupakan ciptaan saya dan liriknya pula ditulis oleh Ardiv Jauhari.

“Lagu ini mengisahkan tentang seseorang yang sedang dilamun cinta namun masih berjuang mencari makna sebenar di sebalik percintaannya,” ujarnya teruja.

Sambutan

Berbicara tentang sambutan terhadap lagu tersebut, sambil tersenyum wanita berusia 27 tahun itu memberitahu berpuas hati dengan penerimaan peminat terhadap diri dan lagu baharunya itu.

Malah, dia juga mengakui aplikasi Smule banyak membantu dirinya dikenali semula selepas lagu saduran bersama Khai Bahar berjudul Sudahku Tahu mendapat sambutan luar biasa.

“Alhamdulillah, setakat ini lagu Mengenal Cinta sudah mula dimainkan di stesen radio dan video liriknya juga sudah berada di laman YouTube. Tidak lama lagi saya akan merakamkan klip video pula.

“Diakui lagu ini keluar ketika orang sedang mula mencari siapa diri saya selepas lagu saduran Sudah Ku Tahu bersama Khai Bahar menjadi viral. Tidak dinafikan aplikasi Smule memang banyak membantu saya,” ujarnya.

Ditebak soal peribadi pula, dengan penuh yakin Eka memberitahu ingin menumpukan sepenuh perhatian dalam dunia nyanyian terlebih dahulu sebelum memikirkan cinta.

Tambah pemegang Diploma Kesetiausahaan dari Universiti Metropolitan Kuala Lumpur (KLMU) itu, dia juga terpaksa menolak beberapa tawaran lakonan hanya untuk memberi laluan kepada nyanyian.

“Buat masa ini memang saya sedang berkawan dengan seseorang, namun biarlah ia menjadi rahsia kerana ingin memberi fokus terlebih dahulu dalam karier nyanyian.

“Saya juga terpaksa menolak beberapa tawaran lakonan dengan alasan yang sama. Terus terang dikatakan minat saya lebih terdorong kepada dunia peragaan berbanding lakonan. Saya mungkin tidak akan menolak jika ditawarkan untuk menjadi model,” tutupnya.

Post a Comment

Previous Post Next Post