SEPANJANG tempoh lima bulan berkahwin, Syatilla selesa berada di sisi suaminya, Sam, berbanding sibuk menjalani penggambaran.
SEJAK berumah tangga bersama pelakon Shaheizy Sam, 34, lima bulan lalu, pelakon Syatilla Melvin, 25, dilihat seperti memperlahankan karier seninya selain tidak muncul dengan naskhah baharu.
Menyifatkan dia masih dalam tempoh bulan madu, Syatilla membuat keputusan berehat seketika daripada bekerja demi menumpukan sepenuh perhatian kepada suami.
Malah, tanpa berselindung Syatilla mengaku selain sedang menyesuaikan diri dengan suasana baharu, dia juga mengharapkan agar dikurniakan cahaya mata secepat mungkin.
KOSMO!: Sejak berkahwin pada 9 Februari lalu, Syatilla dilihat kurang tidak lagi mengeluarkan naskhah baharu. Adakah anda bercadang untuk meninggalkan dunia seni?
SYATILLA: Selepas berkahwin, saya memilih untuk berehat dan membiasakan diri dengan kehidupan berumah tangga yang kini telah memasuki tempoh lima bulan. Saya fikir, untuk berhenti secara drastik daripada bidang seni mungkin tidak. Sebaliknya, Insya-Allah sekitar Oktober depan saya akan kembali semula ke set penggambaran.
Selepas berumah tangga, adakah suami (Sam) menghalang anda daripada berlakon?
Sam seorang yang sangat memahami selain turut terlibat dalam dunia lakonan. Justeru tiada halangan buat saya sekiranya ingin terus aktif berlakon. Namun, saya hanya terlibat dengan beberapa naskhah sahaja dan saya akui kerjaya kini memang agak perlahan jika ingin dibandingkan dahulu.
Apakah rutin harian anda sepanjang tempoh lima bulan berehat tanpa sebarang aktiviti seni?
Saya menghabiskan masa di rumah, berehat, melayan suami dan memasak.
Anda memberitahu memasak antara rutin harian selepas berkahwin. Apakah juadah yang paling digemari Sam?
Dia sangat suka menu asam pedas Johor. Ia memang masakan kegemarannya sejak dahulu dan saya mempelajari resipi tersebut daripada mummy (panggilan buat ibu Sam, Khaty Fauziah).
Sejak menjadi pasangan suami isteri, apakah perubahan ketara yang anda lihat berlaku pada Sam berbanding zaman bujang dahulu?
Pastinya perubahan itu ada namun, ia bersifat terlalu peribadi untuk dikongsikan dan biarlah saya sendiri yang mengetahuinya. Malah ada beberapa perkara yang saya sendiri tahu hanya selepas berkahwin.
Jika perubahan pada Sam lebih bersifat rahsia, bagaimana pula dengan kehidupan anda. Apakah perbezaan sebelum dan selepas kahwin?
Tiada sebarang perubahan drastik namun, perubahannya apabila sekarang tidur dan bersembang, saya sudah ada teman. Selebihnya saya tetap menjadi diri sendiri sebagaimana sebelum berkahwin. Selain itu, saya juga bersyukur dan gembira dengan kehidupan sekarang.
Setiap pasangan yang telah berumah tangga pasti akan diajukan soalan mengenai cahaya mata. Adakah kalian merancang atau bersedia menjadi ibu dan bapa dalam tempoh masa terdekat?
Pastinya setiap pasangan yang berkahwin inginkan cahaya mata termasuk kami berdua. Insya-Allah jika ada rezeki kami akan menimang cahaya mata. Tiada sebarang perancangan, cuma buat masa sekarang saya memang belum hamil.
Awal Ogos lalu anda terkandas selama tujuh jam di dalam pesawat ketika dalam penerbangan ke Switzerland bagi menghadiri Festival Filem Locarno ke-69. Bolehkah kongsikan pengalaman berhadapan dengan insiden sebegitu?
Sewaktu insiden tersebut terjadi, rata-rata penumpang berasa panik dan ia juga berlaku kepada kami. Tetapi alhamdulillah segalanya selamat tanpa sebarang masalah. Pada awalnya kami tidak mengetahui punca mengapa pesawat tersebut tidak mendarat sehingga salah seorang daripada penumpang membaca berita mengenai kejadian sebuah pesawat mengalami kemalangan kecil sewaktu mendarat di Lapangan Terbang Locarno.