POSITIF - Biarpun berdepan dengan penceraian dan sedang menghidap kanser, Jupe mengawal mindanya untuk kekal positif agar dirinya sentiasa gembira.
BERPELUANG bertemu dengan wanita yang sering menimbulkan kontroversi dek kerana penampilan seksi dirinya selama ini mencetuskan satu rasa kagum dalam diri.
Biarpun tutur kata diatur sopan serta tingkahnya tenang menjawab satu persatu soalan yang diajukan, namun tidak siapa tahu gelora rasa yang ditanggung penyanyi dan pelakon popular Indonesia bernama Julia Perez.
Hadir memberi sokongan sempena tayangan perdana filem Indonesia, Kalam-Kalam Langit di Kuala Lumpur baru-baru ini, senyuman manis tidak pernah lekang daripada wajahnya.
Julia atau lebih mesra dengan panggilan Jupe pada hari itu memakai busana penuh sopan berona ungu sempena menghormati adab budaya negara ini. Kepalanya pula ditutup dengan skaf turban.
“Saya hadir ke sini (Malaysia) untuk menyokong filem Kalam-Kalam Langit. Saya tidak terlibat, tetapi filem ini mengisahkan tentang perjuangan seorang anak muda yang meneruskan impian ibunya untuk bergelar juara Majlis Tilawah al-Quran.
“Kisah tersebut boleh disamakan dengan perjuangan saya yang kini sedang menghidap penyakit kanser serviks. Saya berjuang melawan penyakit ini demi harapan peminat dan keluarga yang tidak putus memberi sokongan,” ujar Jupe membuka bicara.
Pengorbanan
Tahun ini sahaja, dua kontroversi besar ditimbulkan oleh wanita berusia 36 tahun itu. Bermula dengan keputusannya untuk tampil berimej kepala botak, Jupe juga telah memfailkan cerai terhadap suaminya, Gaston Castano.
Membawa perbualan ke arah lebih peribadi, Jupe yang mula dikesan menghidap penyakit kanser serviks sejak tahun 2014, memberitahu keputusan untuk membotakkan kepala sangat berkait rapat dengan penyakitnya.
“Saya pernah hadir ke sebuah majlis yang dihadiri oleh pesakit kanser. Ketika itu kanak-kanak di sana menghampiri dan bertanya tentang penyakit saya.
“Mereka tidak percaya saya menghidap kanser serviks kerana kelihatan ceria dan rambut saya tebal, tidak seperti mereka yang sudah botak.
“Malah, mereka menyangka disebabkan saya seorang artis dan mempunyai duit banyak, jadi saya menggunakan ubat berbeza yang tidak menyebabkan botak. Mendengar perkara itu, saya terus menangis dan membuat keputusan untuk tampil botak sama seperti mereka,” jelasnya mengenai cerita di sebalik keputusannya membotakkan kepala dengan sebak.
Ubat istimewa
Ditanya mengapa dia boleh kelihatan begitu kuat seperti tidak menghidap sebarang penyakit, sambil tersenyum Jupe memberitahu alasannya adalah kerana keluarga dan peminatnya.
“Perkara pertama membuatkan saya kuat ialah keluarga. Saya mempunyai ahli keluarga yang ramai dan sering menyokong agar saya kelihatan bahagia.
“Peminat juga begitu. Ke mana sahaja saya pergi, ramai wanita memegang tangan saya sambil menyatakan, Julia harus kuat dan tidak boleh meninggalkan mereka. Peminat sering mendoakan agar saya sihat. Perkara itu benar-benar menyentuh hati saya,” ujarnya.
Akui wanita itu lagi, dia sering mengawal mindanya agar sentiasa berfikiran positif kerana kariernya sebagai seorang penghibur.
Menggunakan status dirinya sebagai selebriti terkenal, pelantun lagu Gak Jaman itu aktif memberi kesedaran kepada wanita Indonesia tentang bahaya kanser serviks.
“Sebenarnya, di Indonesia pengetahuan tentang kanser serviks masih kurang. Saya juga tidak tahu tentang penyakit ini pada awalnya, tetapi apabila disahkan sakit, saya harus memberi pengetahuan kepada orang ramai. Saya kini kerap berkempen tentang penjagaan kesihatan dan menggalakkan orang ramai mengambil vaksin HPV,” terangnya penuh semangat.
Khabar mati
Biarpun dia kini sedang berjuang mendapatkan rawatan di Indonesia, namun Jupe tidak terlepas daripada berita panas.
Sekitar Julai lalu, peminat digemparkan dengan berita kematian Jupe. Bukan yang pertama, khabar angin kematian tersebut merupakan kali ketiga buat dirinya.
“Saya terkejut ketika mendapat tahu berita kematian ini, tetapi tidak mahu mengambil serius kerana ramai selebriti ternama seperti Michael Jackson dan Jackie Chan juga pernah diberi khabar angin seperti itu.
“Saya harus ikhlas tentang perkara ini kerana ia bagaikan adat apabila menjadi selebriti. Berita kematian ini sekali gus menunjukkan orang masih mengingati saya.
“Semoga orang yang menyebarkan khabar angin tersebut diberi pahala, kesihatan yang panjang dan diberkati hidup,” jelasnya yang tidak mahu mengambil sebarang tindakan kepada penyebar fitnah tersebut.
Cinta
Beralih tentang kisah cinta wanita kelahiran Jakarta itu, umum jelas mengetahui Jupe kini sah berpisah dengan bekas suami, Gaston Castano pada bulan Mei lalu.
Selepas itu, muncul pula kenyataan dirinya sudah bersedia untuk cinta baharu. Diusik tentang siapa jejaka yang kini menjadi penghuni baharu kasih di hatinya, Jupe tergelak besar.
“Alhamdulillah, kes penceraian saya sudah selesai. Bagaimanapun, saya belum jumpa kekasih baharu dan masih mencari lagi.
“Jujur, saya seorang wanita yang sukar untuk jatuh cinta. Saya terlalu cintakan Gaston kerana kami sudah bersama selama lapan tahun. Apabila berpisah, lukanya sangat dalam dan lebih sakit berbanding kanser serviks yang saya hidapi,” akuinya tanpa berselindung.
Ingin terus melangkah ke hadapan, Jupe menegaskan dia tidak ingin bertemu atau menghubungi bekas suaminya yang juga seorang pemain bola sepak dari Argentina itu.
“Saya sudah sekat nombor telefon Gaston kerana tidak mahu melibatkan diri dalam kehidupannya lagi. Dia mahu kami kembali bersama, tetapi saya enggan kerana mengenangkan kecurangannya bersama wanita lain ketika saya sedang berjuang dengan kanser.
“Jika saya ingin mencari cinta baharu, biarlah lelaki itu seorang yang baik, bijak dan dapat menerima diri saya sebagai Yuli Rachmawati (nama sebenar Jupe). Bukan kerana saya Julia Perez,” terangnya panjang lebar.
Sebelum mengakhiri bicara, Jupe sempat ditanya tentang perkembangan terkini dirinya.
Dia kini sedang sibuk dengan penggambaran filem dan pembikinan album ketiga.
“Pada 25 September ini saya akan memulakan penggambaran filem Merintis Pasir di Manado dan seterusnya akan menyambung filem arahan saya bertajuk Hope, Faith and Love.
“Filem itu berdasarkan kisah benar tentang diri saya melawan kanser. Penggambaran sudah dimulakan, ketika itu heronya adalah Gaston, tetapi memandangkan kami sudah berpisah jadi saya harus memikirkan pelakon pengganti.
“Saya juga sibuk dengan pembikinan album ketiga, bagaimanapun tarik pelancaran dan tajuknya masih belum diputuskan lagi,” jelas Jupe seraya menutup bicara.