Rita Rudaini tidak bercinta seperti remaja


JURANG usia 13 tahun di antara Rita dan Donna tidak menghalang mereka berkawan baik. Kata Rita, apa yang penting kedua-dua anaknya selesa dengan lelaki itu.

Kegagalan rumah tangga yang dibina enam tahun lalu membuatkan hati wanita aktres tinggi lampai, Rita Rudaini, 40, menjadi sekeras batu dan sedingin salju terhadap dunia percintaan mahupun perkahwinan.

Sejak bergelar janda, fokus penuh diberikan untuk membesarkan dua permata hatinya, Airit Rayyan Rizqin, 5, dan Airit Rafqa Arjuna, 3, sehingga tiada masa untuk berfikir soal peribadi.

Namun sejak akhir-akhir ini, pelakon kelahiran Kangar, Perlis ini kelihatan sedang melalui fasa bahagia apabila sedikit terbuka berkongsi tentang hubungannya dengan pengacara rancangan H! Live, Donna Muslim, 27. Lebih daripada sekadar bercinta, mereka dikatakan bakal ke jenjang pelamin tidak lama lagi.

KOSMO!: Benarkah Rita dan Donna kini sudah bergelar pasangan kekasih seperti yang digembar-gemburkan di laman sosial?

RITA: Bagi melabelkan hubungan kami sebagai pasangan bercinta mungkin belum sampai tahap berkenaan lagi, tetapi saya memang sedang berkawan dengan Donna. Saya akui selesa bersahabat dengannya kerana dia seorang pendengar yang baik dan menyenangkan hati apabila saya bercerita tentang masalah kepadanya. Tetapi hubungan kami hanya setakat kawan rapat dan belum sampai soal bercinta atau berkahwin.

Boleh kongsikan apa yang membuat hati anda terbuka untuk berkawan rapat dengan Donna?

Mungkin kerana dia pandai melayan anak-anak saya dan mereka juga selesa dengan kehadirannya. Memang dari dahulu lagi saya meletakkan syarat jika ada lelaki yang sukakan saya, mereka perlu memenangi hati Rayyan dan Arjuna dalu. Kalau mereka setuju, barulah saya juga akan turut bersetuju.

Apakah yang membuat anda sedikit terbuka untuk bercerita tentang hubungan sekarang berbanding lebih suka menyimpan hal peribadi sebelum ini?

Saya pernah mengalami fasa yang membuatkan hati tertutup terus untuk mengenali lelaki apatah lagi berfikir untuk berkahwin semula. Sekarang bila anak-anak sudah besar sedikit, mereka yang menyuruh saya mencari pengganti dan saya perlahan-lahan cuba belajar untuk berkawan tetapi hanya setakat itu sahaja dulu. Jadi, saya sekadar ingin berkongsi kegembiraan mempunyai kawan bersama peminat. Lagipun, saya rasa diri ini sudah tidak tahu bagaimana hendak bercinta seperti orang-orang muda sekarang.

Mengapakah anda beranggapan begitu?

Saya sudah mempunyai anak, perniagaan dan kerjaya untuk diuruskan. Saya tiada masa untuk menghabiskan masa berjam-jam bercakap di telefon atau menghantar mesej sekadar untuk berborak kosong. Sekarang, saya cuma mempunyai masa terluang pada waktu malam selepas anak-anak tidur dan selesai kerja untuk membelek telefon. Jika ada lelaki yang boleh menerima keadaan itu, baguslah kerana saya tiada masa hendak melayan mereka seperti pasangan bercinta yang lain.

Sejak kebelakangan ini, anda seperti banyak menghabiskan masa di restoran anda, Rumah Kueh dan memasak untuk pelanggan hampir setiap hari. Adakah anda sedang berehat daripada berlakon?

Sebenarnya ia berlaku secara kebetulan apabila penggambaran telefilem yang sepatutnya berjalan bulan ini ditunda, jadi saya ambil keputusan untuk bercuti sekejap dan fokus pada perniagaan. Tetapi bulan hadapan saya akan kembali ke set penggambaran drama bersiri untuk slot Dahlia bersama Aqasha.

Setakat ini, anda masih lagi diberikan watak-watak utama walaupun sudah mencecah usia 40 tahun. Pernahkah anda terfikir untuk menerima watak-watak sebagai ibu atau yang lebih tua jika ditawarkan?

Tidak pernah. Pendirian saya masih kekal untuk tidak membawa watak ibu kerana pengarah serta penerbit masih melihat saya relevan untuk menjadi heroin dalam filem atau drama mereka. Suatu hari nanti, mungkin hal itu akan terjadi tetapi selagi diberi kepercayaan menjadi teraju utama, saya akan kekal dengan karakter sekarang.

Post a Comment

Previous Post Next Post