Neera enggan gosip cinta.
Pelakon baharu Neera menafikan mempunyai hubungan istimewa terhadap penyanyi baharu Izzmad Harun selepas mereka terlibat dalam video muzik nyanyian pemuda itu berjudul Bulan Bintang.
Neera atau nama sebenarnya Nurazneera Azizi, 21, berkata, hubungan akrab mereka hanya sebagai rakan kerja dan tidak lebih daripada itu.
"Kami tiada hubungan istimewa pun sekadar rakan artis sahaja, saya terlibat dengan muzik video dia pada Julai lalu.
"Selepas projek muzik video itu, memang ada berhubung tetapi hanya bertanya khabar sahaja," ujarnya kepada mStar Online.
Neera bersama penyanyi Izzmad Harun.
Neera yang terlibat dalam drama Sayangku Kapten Mukhriz memberitahu, dia belum lagi bersedia untuk bercinta dengan mana-mana lelaki terutama dalam bidang yang sama.
Katanya, dia tidak mahu fokus utama berada dalam bidang lakonan terjejas kerana percintaan.
"Saya masih baru dan belum lagi berpeluang untuk berlakon sebagai pelakon utama, jadi lebih baik rasanya untuk saya fokus kepada kerja dahulu.
"Takut nanti kerana bercinta ada pula kontroversi yang lain menjejaskan kerjaya saya dalam bidang ini," ujarnya.
Sementara itu, bercerita tentang perkembangan kerjaya, Neera berkata, selepas dikenali dengan drama Sayangku Kapten Mukhriz, dia menerima beberapa tawaran drama di TV3 dan Astro.
Tambahnya, rezeki untuk terus berada dalma bidang ini semakin baik selepas lakonanya mendapat perhatian pengarah-pengarah drama.
"Drama Patahnya Sebelah Sayap sedang ditayangkan di slot Samarinda di TV3, lakonan Ummi Nazeera, Izzue Islam dan Aeril Zafril.
"Sekarang saya sedang sibuk dengan beberapa drama iaitu Cik Celah Bedah, Ainul Mardhiah dan Suamiku Mr Pilot yang akan disiarkan tidak lama lagi," ujarnya.