BERDIAM - Mengaku sedang intim, tetapi Mia enggan berbicara lebih mengenai hubungan cintanya.
HUKUM menjadi seorang selebriti, apa sahaja yang dilakukan pasti mendapat perhatian umum. Ibaratnya, hidup seorang artis adalah rakaman kisah untuk bahan tontonan umum setiap hari.
Seperti kata pepatah, alah bisa tegal biasa. Dia lebih rela berdiam diri daripada galak berbicara. Bimbang apa yang diperkatakan disalah erti, mahupun mengundang persepsi negatif.
Itu ketegasan yang diamalkan pelakon jelita Mia Ahmad dalam mendepani kontroversi membabitkan dirinya. Baik dari segi karier mahupun soal peribadi, terutamanya kisah cinta.
Tidak lain tidak bukan, isu utama yang sedang hangat mewarnai dunianya adalah hubungan rapatnya dengan penjaga gol pasukan bola sepak Johor Darul Takzim (JDT), Izham Tarmizi.
Pada usia 28 tahun, soal perkahwinan juga menjadi isu yang membelenggu pelakon drama Mr. Boss Miss Stalker itu, sementelah sebelum ini dia pernah menyuarakan kesediaannya untuk mendirikan rumah tangga andai bertemu calon yang sesuai.
Belum masa
Selepas cerita mengenai hubungan intim mereka tersebar, baik Mia mahu Izham sendiri, kedua-duanya enggan berbicara lebih mendalam tentang apa yang diperkatakan.
Baginya, situasi tersebut sebenarnya memberi sedikit tekanan dalam menjalani rutin harian. Dia khuatir, andai hubungan yang terbina, memberi impak negatif terhadap karier masing-masing.
“Bukan mudah berkawan dengan seseorang yang berbeza bidang. Saya risau kalau dipersalahkan atau dituduh menjadi punca andai prestasi permainannya kurang memuaskan,” luahnya.
Pemilik nama Shamiha Ahmad Baderi itu menambah, dia tidak ingin terlalu terbuka bercerita soal hati dan perasaan memandangkan hubungan mereka masih berada pada fasa awal. Baginya, bersederhana itu lebih baik dalam segala hal.
“Fasa perhubungan kami masih muda. Kurang manis andai kisah hubungan kami yang lebih digembar-gemburkan berbanding mengenai karier. Malah, jika ditanya tentang persediaan untuk melangkah ke alam perkahwinan pun, saya masih belum ada perasaan itu buat masa sekarang.
“Sejujurnya, biarlah saya fokus kepada karier terlebih dulu. Saya bermula dalam industri sudah agak lewat. Jadi, untuk mengekalkan momentum itu, saya fikir, soal kahwin biarlah ditolak ke tepi dan sekarang fokus kepada karier sahaja. Saya tidak mahu isu kahwin atau cinta membayangi kerjaya,” ujar wanita kelahiran Perak itu tenang.
Ditanya apakah yang membuatkan dia tertarik terhadap lelaki berusia 25 tahun itu, jawapan Mia ringkas. Katanya, Izham seorang lelaki yang sangat memahami situasi dan jadual kerjayanya yang tidak menentu.
“Bukan mudah mencari rakan yang boleh menerima keadaan kerja yang tidak menentu seperti artis. Kadang-kadang, terpaksa berkampung sehingga lewat pagi di set penggambaran atau tidak pulang berminggu-minggu kerana urusan penggambaran. Tetapi dia sangat memahami situasi sebegitu dan sikap sebegitu yang membuatkan saya selesa berkawan dengannya,” akui Mia.
Aktif berlakon
Beralih kepada perkembangan terkini, sebuah drama lakonannya Cinta 3 Rasa sedang disiarkan di TV9. Selepas bercuti sempenan sambutan Hari Raya Aidiladha, dia akan menyambung penggambaran drama Jejak Karmila yang akan ditayangkan menerusi slot Zehra, TV3.
Biarpun sibuk dengan jadual penggambaran yang tidak putus-putus, tetapi diakui kelibat Mia Ahmad kurang mendapat perhatian dan sedikit tenggelam selepas meledak menerusi drama bersiri Hati Perempuan.
“Saya masih aktif dengan banyak drama di kebanyakan stesen televisyen. Cumanya saya perasan, jika drama tersebut bukan ditayangkan di slot popular, orang tidak perasan dengan kehadiran saya. Walhal, selepas Hati Perempuan, sebenarnya banyak drama lakonan saya disiarkan menerusi kaca TV.
“Jadi harus diakui, kesempatan muncul dalam slot yang digemari penonton adalah bonus untuk menyerlah. Tetapi saya tidak kisah dengan situasi tersebut kerana di mana pun saya muncul, peminat tetap memberi sokongan,” ujarnya tersenyum manis.
Terkini, dia dilantik menjadi wajah portal Tonton bersama Saharul Ridzwan. Majlis pelantikan Mia dan Saharul dilakukan dalam sebuah majlis istimewa di Desa Balqis Beach Resort di Melaka baru-baru ini.
Bisnes
Seperti artis lain yang mempunyai perniagaan, Mia juga tidak mahu hanya bergantung kepada kerjaya seni yang diakui mempunyai pasang surut.
Pada 24 Ogos lalu, Mia melancarkan wangian sendiri, Sweetness by Mia Ahmad menerusi portal beli-belah online, nenggeulis.com.
“Jika diikutkan, perancangan asal pelancaran produk wangian tersebut sepatutnya dibuat pada pertengahan tahun lepas, iaitu selepas tamat drama Hati Perempuan.
“Tetapi, ia tergendala kerana pada waktu itu saya terikat dengan kontrak menjadi duta kepada beberapa produk lain. Situasi itu mungkin akan memberi kesan kepada penjualan produk sendiri jika ia dikeluarkan pada waktu tersebut,” ujarnya.
Dijual pada harga RM39.90 sebotol, wangian tersebut merupakan produk pertama keluaran Mia bawah rangkaian produk kecantikannya, Absolue by Mia Ahmad yang merangkumi minyak wangi dan maskara.
“Saya sedar sekarang ramai artis yang memilih untuk mengeluarkan minyak wangi sendiri. Tetapi, tidak ramai generasi artis muda seperti saya yang menceburi bidang ini.
“Jadi, walaupun bersaing dengan artis lain yang mempunyai nama lebih besar, tetapi ia satu persaingan sihat kerana setiap artis mempunyai kelompok peminat sendiri,” tutupnya yang menyambut Hari Raya Aidiladha di Taiping, Perak bersama keluarganya.