Sejak bergelar ibu tunggal pada pertengahan 2014, Izreen Azminda kerap kali berdepan isu hangat terutama yang melibatkan dirinya dengan lelaki.
Menghakimi atau melontarkan pandangan peribadi kepada selebriti menerusi gambar-gambar yang dimuat naik di laman sosial sentiasa menjadi punca berlakunya kes-kes viral internet.
Terbaharu, pelakon Izreen Azminda, 31, menerima nasib sama apabila sekeping gambarnya bersama pelakon Azrel Ismail yang dimuat naik di laman sosial dikritik kerana pemakaian seluar yang dikatakan terlampau ketat dan tidak sopan.
Tiada masa mahu melayan kata-kata pengguna laman sosial yang tidak pernah puas mengutuk tanpa usul periksa, pelakon drama Eksperimen Cinta itu mengambil pendekatan untuk mendiamkan diri dan meneruskan kehidupan seperti biasa.
KOSMO!: Boleh jelaskan sebenarnya seluar jenis apakah yang Izreen pakai dalam gambar viral berkenaan?
IZREEN: Saya hanya pakai seluar denim biasa, cuma posisi sewaktu gambar itu diambil menunjukkan kainnya seperti melekap di kaki. Gambar itu pun dimuat naik oleh Azrel dan bukan di laman Instagram saya. Jadi apa yang boleh saya katakan, imej tidak sopan itu kelihatan ketara akibatkan sudut rakaman gambar sahaja.
Adakah anda berasa terkejut apabila dikritik seperti tidak memakai seluar?
Terkejut juga tetapi rasanya itu perkara biasa pada zaman teknologi ini kerana semua orang berebut-rebut menjadi hakim dan juri awam. Bagi saya, jika kita mengikut emosi, isu yang remeh akan menjadi lebih besar, jadi saya malas hendak memuaskan hati dengan melenting terhadap komen-komen negatif tersebut. Biarlah, ia akan reda sendiri nanti.
Bagaimana pula dengan gambar tersebut, sudah dipadam atau belum?
Belum, masih ada dalam Instagram Azrel dan saya tidak menyuruh dia memadamkannya. Bagi saya, gambar tersebut tidak mempunyai sebarang cacat cela cuma masyarakat sahaja yang terlalu sibuk hendak mencari salah orang.
Apakah insiden tersebut membuatkan anda lebih berhati-hati dalam pemilihan pakaian pada masa hadapan?
Saya tidak pernah mengambil mudah soal pemakaian terutamanya selepas bertudung. Mungkin saya akan lebih berhati-hati dengan kedudukan dan aksi sewaktu bergambar untuk mengelak daripada berlaku salah faham.
Beralih mengenai perkembangan karier, apakah projek terbaharu anda?
Selepas drama siri Lelaki Macam Dia tamat baru-baru ini, saya bercadang mahu berehat daripada penggambaran drama sehingga hujung tahun kerana mahu meluangkan masa bersama keluarga. Saya sibuk bekerja sejak tahun lalu dan tiada masa untuk benar-benar berada di rumah serta melayan anak, Adrian Umar, 3, yang memerlukan perhatian dalam tempoh penting pembesarannya sekarang.
Jadi anda tidak akan bekerja sehingga hujung tahun?
Saya masih akan bekerja dan hadir ke majlis-majlis hiburan cuma tidak akan menerima tawaran drama yang menuntut jadual penggambaran panjang. Oktober ini saya akan terlibat dengan projek teater berjudul 3 Janda arahan Zulin Aziz bersama Sherry Al-Hadad dan Amy Mastura.