Mat Sentol masih mahu berlakon


MAT SENTOL menasihatkan pelawak generasi kini agar mencipta lawak yang lebih segar dan tidak meniru lawak sedia ada.

AGAK lama tidak mendengar khabar pelawak veteran bernama Mat Sentol. Baru-baru ini, istimewa sempena pelancaran payung jenama Padi Academy, Mat Sentol atau nama sebenarnya, Abdul Rasip Yahya yang kekal dengan identiti bertopi dan membawa payung itu hadir ke majlis tersebut.

Tidak mahu melepaskan peluang, pelawak yang popular dalam filem Mat Bond berusia 83 tahun itu didekati untuk bertanyakan perkembangan terkini dirinya.

KOSMO!: Apa khabar? Agak lama tidak nampak Mat Sentol keluar dalam mana-mana drama atau filem, boleh kongsikan di mana anda berada selama ini?

Mat Sentol: Alhamdulillah, saya sihat. Memang sudah lama saya tidak muncul dalam dunia lakonan. Saya dan isteri Jamilah Kasri, 63, kini menetap di rumah anak lelaki kedua kami di Larkin, Johor Bahru.

Boleh kongsikan apa yang anda lakukan sepanjang di Johor?

Tidak banyak yang saya lakukan selain berehat kerana faktor usia yang sudah lanjut ini. Bagaimanapun, kadangkala saya akan turun pada persembahan pentas terutamanya untuk menghiburkan kanak-kanak.

Adakah anda masih menerima tawaran lakonan?

Ya, saya masih menerima tawaran lakonan, tetapi banyak dibuat di Kuala Lumpur. Saya terpaksa menolak kerana bayaran yang diberi tidak setimpal. Saya bukan memilih, tetapi jumlah yang dibayar lebih sedikit berbanding dengan perjalanan saya untuk ke Kuala Lumpur.

Sekiranya diberi peluang dan dibayar setimpal adakah anda akan menerima tawaran berlakon?

Ya, saya masih akan menerima tawaran berlakon kerana memang minat terhadap dunia lakonan. Jika tawaran lakonan dibuat di sekitar Johor Bahru, walaupun tidak dibayar saya tetap akan menerimanya.

Walaupun sudah berusia 83 tahun, tetapi anda masih kelihatan sihat dan mampu berjalan tanpa sebarang sokongan. Boleh kongsikan rahsia penjagaan kesihatan anda?

Alhamdulillah, saya diberi kesihatan yang baik walaupun sudah berusia. Perkara utama yang saya jaga adalah soal pemakanan. Sebolehnya saya akan mengurangkan makanan yang manis, masin dan masam.

Sebagai pelawak veteran, bagaimana anda melihat lawak yang dilakukan oleh pelawak sekarang?

Pada saya pelawak sekarang ramai yang meniru. Mereka tidak menggunakan lawak jenaka asli dan kebanyakannya meniru gaya orang lama.

Mungkin anda boleh kongsikan sedikit tip atau nasihat kepada pelawak masa kini?

Sebagai pelawak, kita harus mencipta lawak sendiri dan tidak meniru lawak orang lain. Cara untuk mencipta lawak tersebut adalah berdasarkan interaksi antara pelawak dan masyarakat sekeliling. Jangan pernah jemu untuk mencuba kerana saya juga bermula sebagai pelawak dengan bantuan masyarakat sekeliling.

Post a Comment

Previous Post Next Post