Kesinambungan cinta Saharul Ridzwan, Deena


BULAN MADU - Saharul dan Deena merancang untuk melakukan umrah sekitar November depan sebagai destinasi bulan bulan mereka.

JODOH merupakan satu rahsia Allah yang tidak pernah dapat ditebak oleh manusia. Banyak yang tidak dapat mengetahui kesudahan cinta, biarpun sudah disemai dan dipupuk sebaik mungkin.

Ada juga yang tidak mampu menjangka, seseorang yang pernah muncul dalam hidup pada masa lampau, akan kembali menyuburkan rasa kasih dan sayang dalam kehidupan pada hari ini.

Misteri itulah yang terjadi kepada pasangan sama cantik dan sama padan, pelakon Saharul Ridzwan bersama isteri, Deena Emir apabila cinta yang pernah hilang suatu ketika dahulu kini berada dalam dakapan mereka.

Lebih erat, dengan hanya sekali lafaz, Qaabila Deena Emir Mohammed Akif Emir kini bergelar suri hati buat Mohd. Saharul Ridzwan Hashim. Pasangan itu telah dinikahkan sendiri oleh bapa pengantin perempuan, Akif Emir Ahmad Teruki di Masjid Tunku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya pada Jumaat lalu.

Bertemu dengan pelakon drama rantaian Kau, Aku, Kita itu pada majlis resepsi yang berlangsung di lokasi sama, pada sebelah petang, Saharul meluahkan rasa syukur apabila dipertemukan jodoh pada usia 27 tahun.

“Saya dan isteri mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang banyak terlibat dalam menjayakan majlis ini dan bersyukur segalanya berjalan lancar.

“Setelah bergelar suami, Insya-Allah status itu akan menjadikan saya lebih matang dalam membuat pertimbangan kerana ia kini melibatkan dua pihak,” tutur Saharul sambil memerhatikan Deena yang mengenggam erat tangannya.

Batas lakonan

Berbicara tentang kelancaran majlis resepsi yang berlangsung penuh meriah di Dewan Sri Siantan, Presint 2, Putrajaya itu, ia hanya dihadiri oleh sanak saudara kedua-dua belah keluarga dan kenalan terdekat.

Pelamin raja sehari tersergam indah di hujung dewan memukau pandangan para tetamu tatkala melihat pasangan itu saling tersipu malu duduk bersanding.

Bersuamikan seorang anak seni pastinya akan mengundang kontroversi sekiranya tersilap langkah. Bagaimanapun, Deena menerima segala kemungkinan dengan hati terbuka.

Ahli perniagaan dan pereka fesyen jenama Wrap itu turut menaruh kepercayaan kepada Saharul dalam menentukan batas saat menterjemahkan watak terutama melibatkan babak bersentuhan.

Bukan satu perkara baharu mahupun canggung buat Saharul yang sebelum ini terlebih dulu mempraktikkan agar tidak melakukan babak bersentuhan dengan pelakon wanita yang digandingkan dengannya.

“Sebagai lelaki yang bergelar suami, dia (Saharul) sendiri mengetahui batas mahupun tanggungjawab dan hal itu tidak perlu dijelaskan secara terperinci,” ujar Deena.

Bersetuju dengan pendapat isteri tercinta, Saharul menyifatkan, isu mengelak daripada bersentuhan dengan bukan muhrim mahupun meletakkan sempadan pada kerjaya lakonan tidak hanya dilakukan selepas berkahwin.

“Sebagai manusia biasa yang tidak dapat lari daripada membuat kesilapan, saya akan berusaha untuk menjaga tertib agar tiada menimbulkan sebarang perkara kurang enak di kemudian hari,” jelas Saharul sambil mengucapkan terima kasih kepada isterinya kerana menaruh kepercayaan penuh terhadap dirinya.

Lelaki pertama

Perkahwinan tidak hanya menghalalkan hubungan antara lelaki dan perempuan, namun ia melibatkan kesetiaan dan sikap keterbukaan dalam menerima baik serta buruk pasangan.

Melangkah ke alam perkahwinan menjadi fasa baharu buat Deena untuk hidup berdikari dan belajar menguruskan rumah tangga sendiri.

Berkongsi rahsia, Saharul memberitahu, isterinya tidak pernah berjauhan dengan keluarga sejak kecil sehingga berusia 28 tahun.

Menjadi satu penghormatan buat dirinya apabila menjadi lelaki pertama yang ‘mempelawa’ Deena keluar dan berkongsi setiap suka duka bersama.

“Deena sebelum ini membesar bersama keluarga dan dia juga tidak pernah berjauhan seperti pergi ke sekolah berasrama dan ini menjadikan saya lelaki pertama ‘menjemputnya’ untuk saling menempuh kehidupan seterusnya bersama.

“Besar harapan saya, hubungan ini kekal hingga ke syurga dan berjaya mengharungi pahit manis berumah tangga serta memiliki cahaya mata,” katanya yang dalam masa sama melemparkan pandangan ke arah Deena di sebelahnya.

Tidak menolak sekiranya dikurniakan cahaya mata dalam tempoh masa terdekat, Saharul meletakkan segala ketentuan kepada rezeki dan takdir Tuhan saat ditebak mengenai kesediaannya bergelar bapa.

Beri sokongan

Membintangi naskhah Hati Perempuan di samping pelakon Mia Ahmad, watak Tengku Zaril nyata memberi impak besar terhadap perjalanan kerjaya seni Saharul.

Mencetuskan fenomena, drama rantaian itu menjadi bualan hangat dalam kalangan penggemar drama bersiri. Namun, hal tersebut tidak berlaku kepada Deena. Wanita berbintang Capricorn tu nyata selama ini tidak pernah menonton drama lakonan Saharul di kaca televisyen meskipun sewaktu berada dalam fasa mengenali hati budi.

“Sejujurnya saya tidak pernah menonton drama lakonan Saharul sebelum ini kerana secara peribadi, saya bukan seorang yang gemar menonton drama.

“Malah, dia juga jarang berkongsi cerita mengenai aktiviti seni dan cuma bercerita sekali-sekala mengenai kerjanya. Namun, saya tetap memberi sokongan penuh kepada kerjaya lakonannya,” kongsi Deena dan melepaskan ketawa kecil.

Post a Comment

Previous Post Next Post