PELAKON dan penerbit, Datuk Jackie Chan menyangkal dakwaan mengatakan terdapat perselisihan faham yang berlaku antara beliau dan aktor Eddie Peng.
Menerusi portal berita MSN, figura yang terkenal dengan filem bergenre aksi itu berkata, beliau menganggap Eddie sebagai seorang pelakon berwibawa dan sering mendengar pujian dilontarkan oleh pengarah kepada pelaku seni kelahiran Taiwan itu.
“Sewaktu Eddie sedang menjalani penggambaran filem arahan Sammo Hung, The Bodyguard beberapa bulan lalu, saya sering melawatnya di lokasi penggambaran. Apa yang saya dengar adalah pujian daripada pengarah mengenai etika kerjanya yang sangat baik.
“Kenyataan saya ini tidak bermaksud untuk menutup gosip tetapi ia menunjukkan bahawa saya tidak mempunyai sebarang masalah dengannya,” ujar beliau.
Jackie diminta mengulas mengenai dakwaan yang mengatakan beliau menjadi punca kepada penyingkiran Eddie sebagai salah seorang pelakon utama yang bakal bergandingan dengannya menerusi filem Bleeding Steel. Tempat Eddie digantikan oleh pelakon dan penyanyi, Show Lo.
Bagaimanapun, Jackie tidak menolak untuk berkolaborasi bersama Eddie suatu hari nanti.
“Dia seorang pelakon yang bagus dan saya sentiasa mengintai peluang untuk bekerjasama dengannya,” jelas Jackie lagi.