NAMA Faye Kusairi dalam industri hiburan barang kali tidak terlalu asing bagi sesetengah peminat seni tanah air.
Walapun jarang diberikan peranan utama, namun bakat anak kelahiran Miri, Sarawak ini tidak perlu dipertikaikan lagi.
Ibaratnya, berilah apa sahaja pun peranan, pemilik nama sebenar Dayangku Faratiwan Adnil Awg Kusairi ini pasti tidak pernah mengecewakan.
Justeru, apabila dia dipilih untuk membawakan salah satu watak di dalam naskhah Tombiruo: Penunggu Rimba karya Ramlee Awang Murshid, dia secara tidak langsung membuktikan lakonannya bukan picisan.
"Saya dipanggil untuk menjalani ujibakat bagi membawakan watak Salina dan walaupun pada sesi ujibakat sekalipun, saya buat 100 peratus, sepenuh hati, seolah-olah saya sedang menjalani penggambaran.
"Dan apabila mereka memilih saya membawakan watak Salina, saya rasa sangat bersyukur.
"Apatah lagi, secara peribadi, saya memang suka dengan watak Salina ini dan walaupun saya kena berdialog dalam bahasa Sabah, ia tidak menjadi satu masalah besar buat saya," katanya kepada Media Hiburan.
Tambah Faye, dia juga berasa bertuah kerana dapat menimba ilmu dan pengalaman daripada pengarah, Nasir Jani, Dynas Mokthar dan Farid Kamil.
"Watak saya banyak berinteraksi dengan Farid dan Dynas. Jadi semasa sesi latihan, kami banyak berlatih bersama.
"Bagi saya, ia ibarat satu pengalaman dan penghargaan untuk orang baru seperti sama menimba pengalaman bersama mereka," jelasnya.
Menurut Faye, apa yang diharapkan, dia dapat membawakan karakternya dengan sebaik mungkin dan Tombiruo sendiri mendapat sambutan yang cukup hangat apabila ia ditayangkan kelak.
"Walaupun watak saya kecil, tapi saya tak pernah anggap kecil kerana seperti yang diberitahu oleh penulis skrip, setiap watak penting dan saling menyokong antara satu sama lain.
"Sebab itu saya memang memberi komitmen sepenuhnya terhadap Salina dan saya juga berharap filem ini akan menepati selera apabila ia ditayangkan kelak," katanya.