Garis matang Eyka Farhana


CINTA - Sebagai gadis remaja, Eyka tidak menyembunyikan hakikat dia dalam fasa perkenalan dengan jejaka di luar industri namun belum menemui calon yang sesuai

Ada pepatah menyebut, guru terbaik dalam kehidupan seorang manusia adalah pengalaman yang dikutip seiring dengan usia yang bercambah.

Bagi pelakon muda, Eyka Farhana, 21, penglibatan diri dalam industri seawal usia 16 tahun membuatkan langkahnya sedikit tidak tetap sewaktu hendak membina nama sebagai anak seni.

Terlampau kebudak-budakan dan bersikap endah tidak endah, itu antara sikap yang membuat pemilik nama Wan Atiqa Farhana Wan Sarmizi ini pernah menjadi bualan dalam golongan teman media kerana sering membatalkan sesi fotografi dan tidak suka hadir ke majlis-majlis hiburan.

Hampir tiga tahun, kisah itu berlalu, Eyka kini sedar betapa komitmen dan rasa tanggungjawab itu adalah ramuan utama untuk membentuk reputasi sebagai pelakon yang baik.

“Saya sedar selepas bergelar artis selama lima tahun nama saya masih berada pada takuk lama kerana kesilapan diri yang pada mulanya acuh tidak acuh pada kerjaya sendiri.

“Tetapi itu cerita lama, kini saya sudah semakin dewasa dan boleh menimbang mana perangai baik atau buruk yang akan merosakkan nama baik sendiri,” katanya ketika ditemui pada sesi fotografi di Hotel Berjaya Times Square, baru-baru ini.

Tambah anak kelahiran Kuala Lumpur itu lagi, menyedari khilaf diri, dia melakukan usaha bertemu pihak yang pernah mengalami masalah dengannya dan memohon maaf secara peribadi.

Kata Eyka, dia bersyukur kerana menyedari kekhilafan diri sebelum terlambat dan masih diberi ruang serta peluang dalam dunia seni meskipun pernah tersilap langkah.

Muda

Jika dilihat pada kebanyakan drama atau lakonan Eyka, watak yang ditawarkan kepadanya lebih bersifat remaja dan ringan untuk dibawa.

Bukan mahu menolak rezeki atau meluahkan rasa tidak bersyukur, namun jauh di sudut hati gadis ini, dia mahu dipandang serius oleh pihak pengarah dan penerbit untuk membawakan watak wanita dewasa dan mempunyai penghayatan lebih mendalam.

Eyka enggan berada dalam zon selesa dengan karakter muda dan ceria terlalu lama sehingga dia tidak mempunyai medium untuk menguji kemampuan lakonannya boleh dikembangkan.

Menurut pelakon filem Polis Evo itu, kadangkala dia sedikit terkilan apabila ada pihak mempunyai keraguan ketika mahu menawarkan watak wanita yang lebih berusia dek kerana wajahnya tidak kelihatan cukup matang untuk karakter berkenaan.

“Saya mahu cuba bawa watak jahat, watak isteri orang atau wanita bekerjaya kerana mahu profil seni saya berevolusi mengikut umur daripada mula berlakon sehingga kini.

“Barangkali pihak produksi risau saya tidak boleh membawa karakter yang berat kerana wajah keanak-anakan saya namun belum cuba belum tahu. Kalau diberi peluang, Insya-Allah saya akan berikan yang terbaik,” yang bercadang mengambil kelas khusus bagi memantapkan lagi teknik lakonannya dalam masa terdekat.

Meskipun mendambakan watak lebih matang, itu tidak bermakna gadis yang dicungkil bakat melalui drama bersiri Juvana ini sudah mula selektif untuk menolak karakter remaja kerana masih menganggap itu punca rezekinya dalam industri seni.

Katanya lagi, dia percaya kerja keras dan kesungguhan pasti akan membuka mata pihak pengarah atau penerbit untuk melihat sisi serius dirinya walaupun ia memakan sedikit masa.

Juvana 3

Beralih topik kepada filem terbaharu Juvana 3 yang bakal menemui peminat di pawagam hujung bulan ini, Eyka mengakui, dia tidak sabar untuk mendengar komen serta reaksi penonton berkenaan wataknya sebagai Nadia.

Teruja berlakon bersama barisan artis yang sudah mempunyai nama besar dalam industri, filem keempat lakonan Eyka ini memberi banyak pengalaman serta ilmu yang tidak ternilai dalam karier seninya.

Meskipun sudah hampir tiga tahun tirai penggambaran Juvana 3 berlabuh, Eyka masih tidak dapat melupakan peluang yang diberikan oleh pengarah Faisal Ishak, untuk turut menjadi sebahagian daripada produksi ini.

“Pada mulanya memang saya gementar untuk berlakon di samping pelakon senior seperti Zahiril Adzim, Adam Shahz dan Hasnol Rahmat namun Alhamdulillah, mereka sangat membantu terutama dalam memberikan mood untuk menjayakan sesebuah adegan.

“Watak Nadia banyak bermain emosi kerana dia diculik dan dipaksa untuk bekerja sebagai pelacur. Terdapat banyak adegan saya menangis, disimbah air, dipukul dan bergelut dalam Juvana 3 maka suasana dalam set memang memainkan peranan besar,” jelasnya lagi.

Selain itu, Eyka turut berdepan cabaran melakukan babak-babak lasak seperti berlari dalam hutan gelap dan perlu jatuh ke dalam lopak air untuk adegan melarikan diri daripada penculik.

Menyifatkan perkara itu sebagai satu pengalaman baharu, dia tidak melihat lebam serta calar-calar kecil akibat adegan berkenaan sebagai satu perkara yang negatif malah berasa sangat seronok menjayakannya.

“Setakat luka-luka sedikit tidak akan menjejaskan kesungguhan saya untuk menerima watak lasak pada masa hadapan kerana sebagai pelakon, kita perlu sentiasa bersedia menjayakan karakter yang diamanahkan.

“Lagipun bila lagi hendak merasai situasi begitu jika bukan di dalam filem, jadi saya tidak kisah asalkan lakonan saya menjadi dan penonton boleh merasai penjiwaan yang cuba saya sampaikan,” tuturnya jujur.

Post a Comment

Previous Post Next Post