HAFREEZ ADAM mengaku populariti bukan kepentingannya, tetapi dia mahu pengarah yakin dengan bakat lakonan yang dimilikinya.
Awal tahun ini, kisah pendatang baharu, Hafreez Adam Aizat, 26, berkenaan pengalaman mempunyai masalah jerawat batu yang teruk menjadi bahan sindiran dan juga gurauan di media sosial.
Bagi pelakon drama bersiri popular Hati Perempuan itu, dia tidak merasa malu ataupun menyesal dengan artikel tersebut kerana niatnya pada waktu itu ialah untuk berkongsi tips serta motivasi bagi mereka yang mengalami proses sama.
Namun begitu, Hafreez mengakui, dia belajar banyak perkara daripada insiden berkenaan, terutama tentang kisah peribadi yang sesuai dikongsi dan isu salah faham masyarakat berkenaan niat sebenar seseorang.
KOSMO!: Adakah Hafreez masih dihantui dengan teguran pelakon jerawat batu oleh peminat sehingga kini?
HAFREEZ: Ya, masih ada lagi peminat yang datang dan memerli saya jika bertemu di luar, malah masih ada yang meninggalkan komen di laman sosial. Kadang-kadang kelakar juga kerana saya ingatkan jika ia satu cerita yang tidak penting, mengapa orang masih mengingatinya.
Bagaimana kes viral itu memberi impak kepada kerjaya anda selepas itu?
Setahu saya, ia bukan satu kes serius yang boleh menjejaskan periuk nasi saya kerana ia sekadar perkongsian yang cuba saya sampaikan kepada peminat. Ya, ia memang disalahtafsirkan kerana ada sesetengah pihak cuma membaca sedikit sahaja daripada keseluruhan artikel dan terus menghakimi saya. Namun apa yang penting ialah niat saya bercerita adalah untuk memberi motivasi bahawa setiap masalah ada jalan penyelesaiannya, itu sahaja.
Apakah yang telah anda belajar daripada peristiwa tersebut?
Antara perkara yang saya sedar selepas terjadinya kes itu ialah pemahaman orang itu berbeza-beza dan kita hanya boleh cuba menjelaskan keadaan sebenar setakat yang terdaya. Selepas cerita jerawat batu, saya semakin prihatin dan peka tentang apa yang sesuai untuk dikongsi agar tidak lagi timbul salah faham seperti itu.
Selepas kes berkenaan, anda dilihat semakin mendiamkan diri dan hanya muncul apabila perlu sahaja. Adakah anda masih terkesan dengan cerita tersebut?
Tidak langsung, cuma peristiwa itu banyak menyedarkan saya tentang apa niat sebenar sewaktu mengambil keputusan untuk bergelar anak seni. Saya mahu mencari rezeki, untuk orang tua dan adik-adik jadi sebolehnya saya hendak dikenali kerana kebagusan dalam lakonan. Oleh itu, saya mengambil keputusan untuk buat kerja saya dan hanya akan muncul membuat promosi jika ada produk terbaharu untuk diberikan.
Anda tidak takut populariti akan hilang jika mengambil pendekatan seperti itu?
Ada juga pihak yang memberi amaran seperti itu tetapi saya sudah letak populariti itu di tangga kedua atau ketiga dalam kepentingan kerjaya. Selagi pengarah atau penerbit tahu kebolehan yang saya ada dan tawaran kerja tidak terjejas, itu sudah cukup untuk saya.
Boleh ceritakan sedikit perkembangan terkini anda?
Sekarang saya sedang menanti tayangan filem Juvana 3 hujung bulan ini dan sibuk menjalani penggambaran drama bersiri Pengantinku Jatuh Dari Langit. Jadual saya memang tidak padat kerana dalam setahun saya hadkan tawaran untuk satu atau dua telefilem sahaja dan selebihnya untuk fokus kepada drama.
Khabarnya kini anda sudah bergerak sendiri tanpa diuruskan oleh syarikat pengurusan Uprising Entertainment. Mengapakah mengambil keputusan seperti itu dan anda tidak risau kerjaya akan terbantut tanpa jadual kerja teratur?
Saya ambil keputusan untuk bergerak sendiri kerana mahu memberi peluang kepada ahli keluarga untuk bekerja. Sekarang saya melatih adik saya untuk menguruskan kerjaya seni kerana dia lebih mengenali diri saya dan tahu bagaimana cara saya bekerja. Tidak bernaung di bawah mana-mana syarikat bukan bermaksud saya sudah hebat dalam industri seni, cuma saya lebih suka berkongsi rezeki dengan keluarga sendiri.