Ana Raffali Belum masanya


Penyanyi yang popular menerusi lagu Tolong Ingatkan Aku, Ana Raffali belum bersedia untuk kembali aktif dalam bidang nyanyian dan lebih selesa menulis lirik selain bertugas sebagai guru Bahasa Inggeris di sebuah sekolah antarabangsa di Cheras, Selangor

Ana, 31, berkata, sejak awal pembabitan lagi dia memang mahu dikenali sebagai penulis lirik berbanding nyanyian yang jatuh di tempat kedua.

“Kebanyakan lagu saya adalah ciptaan sendiri. Namun mungkin rezeki saya apabila bidang nyanyian lebih menyerlah.

“Cuma sejak berkahwin pada 2012, saya memilih untuk memperlahankan kerjaya nyanyian. Bukan kerana halangan suami, tetapi saya selesa berbuat sedemikian. Pada masa sama, banyak pihak beranggapan saya sudah berhenti menyanyi,”katanya.

Ana berkata, dia masih menerima undangan membuat persembahan di acara tertutup atau majlis korporat, tetapi semakin jarang muncul di kaca TV.

Kali terakhir dia tampil dengan lagu terbaru ialah pada 2013 iaitu Jauh Ke Syurga.

Selain itu, Ana pernah menulis lirik untuk lagu Sepasang Sudu nyanyian Asmidar.

“Saya bukan tak suka glamor atau popular, tetapi pada kedudukan sekarang saya perlu sedar diri. Saya lebih selesa meletakkan diri sama seperti orang biasa. Tambahan pula anak baru berusia setahun tujuh bulan, jadi perhatian lebih kepadanya,” katanya.

Ditanya tidakkah dia rindu untuk muncul di pentas berskala besar seperti sebelumnya, Ana punya alasan tersendiri.

“Sebenarnya saya taklah rindu nak menyanyi di pentas besar seperti dahulu. Dalam erti kata lain belum masanya saya nak kembali aktif. Keutamaan saya sekarang adalah tanggungjawab kepada keluarga dan anak yang masih kecil.

“Walaupun ada beberapa koleksi lagu dalam simpanan, saya tak yakin nak menerbitkannya. Bukan apa, saya belum ada keyakinan untuk berdepan dengan media. Tempoh empat tahun macam terlalu lama buat saya.

“Selain itu saya perlu fokus dengan kerjaya baru sebagai guru Bahasa Inggeris. Kerjaya ini saya baru bermula pada Mei lalu dan pengetua sekolah itu juga tahu saya adalah penyanyi,” katanya.

Menurut Ana yang mempunyai kelulusan Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), sesekali diminta menyanyi oleh anak muridnya sebelum memulakan sesi pembelajaran.

“Apabila mengambil keputusan untuk menjadi tenaga pengajar, saya tak sangka ada pelajar yang mengenali saya. Malah, mereka selalu meminta saya menyanyikan sebuah lagu sebelum bermulanya kelas. Lagu kesukaan mereka adalah Hujan Bunga Di Kuala Lumpur.

“Perkara sebegitu cukup membuatkan saya terharu. Sekurang-kurangnya generasi baru mengenali saya dengan karya sebelumnya,” katanya.

Ana yang ditemui pada malam persembahan Cipta Ekspres 2016 yang berlangsung di Shah Alam baru-baru ini sempat menyanyikan lagu hasil tulisan liriknya sendiri berjudul Halimunan.

Satu perkara yang perlu dipuji adalah kualiti vokal Ana yang jauh lebih baik dan berbeza daripada dahulu.

“Saya tak pernah menghadiri kelas vokal. Mungkin disebabkan saya selalu menyanyikan lagu Whithey Houston ketika mendodoikan anak membuatkan ia berubah,” katanya.

Sejak itu Ana juga mulai menyedari anak lelakinya Aaydeen Oumar mempunyai kecenderungan terhadap muzik.

“Saya beruntung anak meminati muzik. Sejak dia di dalam perut lagi saya sudah mendedahkannya dengan muzik. Begitu juga dengan ayat suci al-Quran, malah saya sentiasa menggalakkan dia terbabit dalam bidang ini sekiranya dia betul-betul minat.

“Bagi saya muzik boleh digunakan dalam kehidupan seharian. Kalau nak tahu muzik juga adalah galakan terbaik kepada kanak-kanak untuk belajar,” katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post