Hisyam Hamid Tak sanggup lagi berjauhan


Demi mencari rezeki untuk menyara keluarga, pelakon kacak Hisyam Hamid, 31, sanggup berhijrah ke negara ini sejak empat tahun lalu.

Namun, kata bapa kepada dua cahaya mata ini, bukan mudah baginya berjauhan dengan keluarga tercinta.

Oleh itu, Hisyam merancang membawa dua anaknya yang menetap di Singapura untuk tinggal bersamanya di negara ini.

“Saya terpaksa berbuat demikian kerana sudah tidak sanggup berjauhan dengan anak yang dijaga ibu bapa. Apatah lagi, saya dan isteri sangat rapat dengan mereka.

“Saya cuma dapat jumpa mereka ketika tiada penggambaran atau cuti sekolah. Setiap kali mendengar suara saya di telefon, mereka menangis kerana rindu.

“Sebagai bapa, saya mungkin boleh bersabar tetapi isteri tidak sanggup mendengar tangisan anak.

“Setiap kali isteri bersedih, saya akan menyuruhnya pulang ke Singapura berjumpa anak,” katanya.

Menurut Hisyam, dia sudah biasa berulang-alik dari Kuala Lumpur ke Singapura sejak empat tahun lalu.

“Memang penat berulang-alik demi mencari rezeki di sini.

“Justeru, saya dan isteri putuskan untuk membawa anak menetap bersama kami.

“Saya akui urusan untuk bawa anak ke sini bukan mudah kerana banyak proses perlu dilalui,” katanya.

Ditanya sama ada sudah membuat permohonan untuk membawa dua anaknya menetap ke negara ini, kata Hisyam, dia sudah pun mengisi borang seperti ditetapkan pihak berkuasa.

“Saya juga sudah memohon mendapatkan permit lebih lama untuk menetap di negara ini.

“Selain itu, saya juga mendapat nasihat dan panduan daripada pelakon Aaron Aziz serta isterinya, Diyana Halik mengenai proses permohonan serta segala dokumen diperlukan untuk membawa anak ke sini.

“Pada masa sama, kami masih mencari sekolah sesuai di Kuala Lumpur untuk bersekolah di sini nanti,” katanya.

Hasil perkongsian hidup bersama Rosmawati Hanafi, 35, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Nurish Syameliah, 9, dan Hayden berusia 7 tahun.

Imbau kenangan jadi anggota bomba

Selepas menempa nama dan populariti menerusi drama bersiri Ariana Rose, Isteri VS Tunang dan Imam Mudaku Romantik, Hisyam kini mencuri perhatian ramai melalui drama Abang Bomba I Love You yang bersiaran di saluran Astro Ria sejak September lalu.

Dalam drama bersiri 16 episod terbitan Global Station Sdn Bhd itu, Hisyam melakonkan watak anggota bomba bergandingan dengan pelakon baru Amira Othman dan Nadia Syahera.

Hisham berkata sukar untuk dia menolak tawaran menjayakan drama itu kerana tertarik dengan watak dan jalan cerita.

“Saya dapat tawaran ini Februari lalu dan tidak berfikir panjang untuk menyatakan persetujuan.

“Watak ini mengimbau kenangan saya ketika bertugas sebagai anggota bomba di Singapura lapan tahun lalu. Bersandarkan pengalaman, saya dapat menjiwai watak ini dengan baik.

“Bomba kerjaya lasak yang membabitkan ketahanan stamina dan perlu mengendalikan peralatan berat ketika memadamkan kebakaran atau melakukan tugas menyelamatkan mangsa.

“Justeru, sebelum kami memulakan penggambaran drama ini saya sudah membuat persiapan rapi dengan bersenam bagi meningkatkan kecergasan. Ia penting untuk menjiwai watak bomba seperti dikehendaki skrip,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Hisyam menjayakan drama Mukhlis musim kedua untuk RTM dan program Romantika di Melbourne, Australia (Australia).

Tidak ketinggalan, drama bersiri Strawberi Karipap musim ketiga di Hong Kong bergandingan dengan Fouziah Gous, Mia Sara dan Rykarl Iskandar.

Post a Comment

Previous Post Next Post