Zainal Abidin
PENYANYI malar hijau, Datuk Zainal Abidin merasa bertuah kerana berpeluang untuk melakukan persembahan dalam konsert ‘Music For Mercy’ yang berlangsung di Rom, Itali 26 Julai lalu.
Katanya, peluang menyanyi bersama-sama penyanyi tersohor dunia seperti David Foster dan Andrea Bocelli adalah salah satu pengalaman terhebat yang dalam hidupnya.
“Peluang untuk sepentas bersama-sama mereka akan dikenang sampai bila-bila dan saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak penganjur kerana sudi menjemput saya untuk menjayakan Music For Mercy,” katanya dalam satu sidang media di Bukit Kiara Equestrian and Country Resort, baru-baru ini.
Menceritakan kembali pengalamannya melakukan persembahan di sana, menurutnya, dia menerima tawaran pada bulan Mei lalu.
Namun, dia meletakkan syarat kepada penganjur, iaitu lagu popularnya, Hijau perlu dinyanyikan dalam bahasa Malaysia sebelum menerima tawaran berkenaan.
“Alhamdulillah, penganjur menerima syarat saya dan saya bersetuju untuk beraksi di konsert itu,” katanya sambil ketawa.
Apa yang mengujakan Zainal adalah konsert tersebut diadakan Roman Forum, iaitu sebuah bangunan lama yang juga bangunan pentadbiran kerajaan Rom purba.
Katanya sambil berseloroh, bilik persalinan semasa konsert tersebut adalah bilik maharaja Rom, Julieu Caesar dibunuh.
“Kira-kira 2,000 penonton yang menonton konsert berkenaan, yang turut disaksikan oleh beberapa orang menteri kabinet Itali.
“Tambahan pula, konsert tersebut turut disiarkan secara langsung di bandar itu,” katanya.
Zainal berharap akan ada satu artis tempatan yang dijemput membuat persembahan dalam acara berprestij luar negara pada masa yang akan datang.