Tribute Afgan Pada Penyanyi Malaysia Dalam Konsert Sides


Afgan akan menyampaikan lima buah lagu artis Malaysia sebagai tribut pada konsert solonya iaitu Sides yang akan diadakan di Dewan Merdeka, PWTC Kuala Lumpur pada 3 September depan.

Penyanyi terkenal Indonesia, Afgan bakal mendendangkan lima buah lagu artis tempatan pada konsert solonya iaitu Sides yang bakal berlangsung di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini pada 3 September depan.

Afgan atau nama sebenarnya Afgansyah Reza, 27, berkata, ia sebagai tribute kepada artis Malaysia yang diminatinya selain ingin menampilkan kelainan pada konsert solo keduanya di negara ini.

"Konsert Sides akan menampilkan tiga segmen berbeza di mana saya akan muncul dalam tiga sisi berbeza tentang perjalanan karier muzik saya.

"Insya-Allah pada konsert itu nanti saya akan menyampaikan lima buah lagu penyanyi Malaysia yang saya minati sebagai tribut kepada mereka," katanya kepada mStar Online.


Afgan teruja dapat kembali mengadakan konsert khas buat peminatnya di Malaysia.

Afgan ditemui pada sidang media konsert berkenaan yang diadakan di The Gardens di sini, Rabu.
Bagaimanapun Afgan enggan mendedahkan lima buah lagu tersebut kerana ingin memberi kejutan kepada peminat.

Dalam pada itu, Afgan berkata, dia berbesar hati kerana tidak sampai tempoh setahun diberi peluang sekali lagi untuk mengadakan konsert solo di negara ini.

Dia berharap lebih ramai peminatnya berpeluang menghadiri konsert berkenaan memandangkan ia diadakan di lokasi yang lebih besar dan mampu memuatkan hampir 3,000 penonton.

"Kebiasaannya sesetengah artis dari luar negara perlu menunggu selama dua ke tiga tahun sebelum diberi peluang mengadakan konsert di Malaysia tetapi saya diberi peluang tidak sampai setahun selepas mengadakan persembahan pada tahun lalu.

"Alhamdulillah lokasi juga lebih besar dan boleh memberi peluang kepada lebih ramai peminat yang tidak berkesempatan hadir pada tahun," katanya.

Pada 18 September tahun lalu, penyanyi yang popular dengan lagu Terima Kasih Cinta ini pernah mengadakan konsert Suara Hati Afgan yang diadakan di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dan tiket habis terjual ketika itu.

Sementara itu, Afgan berkata, selain akan menyampaikan lagu penyanyi tempatan dia turut mengundang penyanyi rap, SonaOne yang akan berduet dengannya menerusi lagu berjudul X.


Afgan turut menyampaikan lagu terbaharunya Kunci Hati pada sidang media konsert Sides.

Kata Afgan, lagu berkenaan dimuatkan dalam album terbaharunya dan ia dicipta oleh SonaOne bersama sebuah lagi lagu iaitu Rollercoster.

"Saya memang meminati SonaOne dan dia adalah seorang penyanyi dan komposer yang bagus selain ia citarasa kami dalam muzik banyak persamaan.

"Sebab itu saya mengundangnya untuk bekerjasama dalam album Sides dan SonaOne mencipta dua buah lagu untuk saya.

"Konsert di Malayska bakal memperlihatkan kami pertama kali menyanyikan lagu berkenaan secara live dihadapan peminat," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Afgan berkata, walaupun sibuk dengan pelbagai undangan nyanyian dan mempromosikan album Sides dia sempat menyumbangkan sebuah lagu untuk penyanyi Datuk Rossa.


Afgan bergambar bersama penganjur dan penaja konsertnya di Dewan Merdeka, PWTC pada 3 September depan.

Katanya, lagu berjudul Sisihkan Hatimu itu bakal dimuatkan dalam album terbaharu penyanyi berkenaan.

Selain Kuala Lumpur konsert Sides turut diadakan di lima bandar di Indonesia termasuk Jakarta, Medan, Bandung, Makasar dan Lampung bermula 27 Ogos ini.

Afgan kemudiannya akan mengadakan konsert sama di Espelanade Singapura pada November depan.

Tiket konsert yang dianjurkan oleh Dazzling Lifestyle dijual pada harga RM188, RM288, RM388, RM488, RM588 dan RM788.

Ia boleh didapati menerusi www.ticketcharge.com.my atau menghubungi 03-92228811 atau 03-79825523.

Post a Comment

Previous Post Next Post