Taruhan Michelle Ayalde dalam Hipnotic


ALBUM Hipnotic menjadi taruhan Michelle Ayalde dalam mewarnai industri muzik tanah air.

WANITA ini bermula sebagai penyanyi di sebuah kelab yang beroperasi di ibu negara dan Pulau Pinang sejak lima tahun lalu.

Mendapat perhatian ramai peminat setiap kali membuat persembahan, dia akhirnya mula disunting syarikat rakaman Worldwide Platinum Records untuk merakamkan sebuah album.

Memandang peluang yang muncul sebagai waktu terbaik untuk mengembangkan bakat dalam kerjaya nyanyian, wanita berusia 31 tahun ini bersetuju untuk melahirkan album berjudul Hipnotic.

Itulah kisah di sebalik kehadiran penyanyi dari Filipina iaitu Michelle Kristel Ayalde atau lebih mesra dengan panggilan Michelle Ayalde.

“Saya mula ke Malaysia pada tahun 2011 dan bernyanyi bersama Soju Entertainment yang beroperasi di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang. Di sini, saya juga mempunyai sebuah band yang masih aktif bernama Cash Band.

“Apabila mendapat pelawaan merakamkan sebuah album, saya merasakan ia peluang yang baik untuk meluaskan kerjaya nyanyian. Tambahan pula, saya sudah mempunyai pengikut tersendiri di Malaysia,” katanya yang ditemui di pejabat Warner Music Malaysia, Damansara, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Diedarkan Warner Music Malaysia, Hipnotic merupakan sebuah album yang memuatkan tujuh buah lagu berbahasa Inggeris seperti Hypnotic, Leave All Of Your Worries Behind dan Work That.

Tambah istimewa, album ini turut menampilkan kelainan dengan konsep extended play atau irama muzik yang lebih panjang berbanding nyanyian.

Ditanya soal pemilihan Hipnotic sebagai tajuk album baharunya, wanita yang sentiasa berperwatakan ceria itu berkata: “Hipnotic boleh dianggap sebagai daya penarik. Jadi saya ingin peminat terpukau dan jatuh cinta apabila mendengar lagu-lagu pelbagai genre dimuatkan dalam album ini,” katanya yang turut menarik perhatian apabila boleh bernyanyi lagu Melayu berjudul Tiada Lagi dan Separuh Waktu.


Penyanyi Filipina, Michelle Kristel Ayalde (tengah) semasa majlis pelancaran album Hipnotic di Warner Music Malaysia, Damansara, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Harapan

Menyambung bicara, Michelle berkata Hipnotic sebenarnya adalah album kedua miliknya. Sambungnya, dia pernah mengeluarkan album pertama pada tahun 2005 yang berjudul Michelle Ayalde.

“Saya pernah mengeluarkan sebuah album dengan tajuknya menggunakan nama saya sahaja pada tahun 2005. Ketika itu semua lagu dalam album tersebut merupakan lagu balada yang sangat menguji kekuatan vokal saya.

“Bagaimanapun, kerjaya nyanyian saya terhenti seketika kerana memberi laluan untuk menyambung pelajaran dalam bidang komunikasi,” katanya.

Berharap album ini dapat diterima peminat, Michelle turut menyimpan hasrat melebarkan sayap bergandingan bersama artis tempatan termasuk ingin mengintai pasaran muzik luar.

Bukan itu sahaja, wanita bertubuh genit ini turut berhasrat menceburi bidang penulisan lirik lagu untuk albumnya akan datang.

“Saya mula menyanyi sejak berumur dua tahun. Seawal umur empat tahun pula saya sudah menyertai pelbagai pertandingan nyanyian di serata dunia. Malah, saya juga pernah membuat persembahan di negara Jepun, Singapura dan Indonesia.

“Apabila mendapat peluang merakamkan album ini, saya turut berpeluang bekerjasama dengan penerbit daripada luar negara seperti Afrika Selatan. Semestinya pelbagai harapan yang saya inginkan untuk lebih terus berjaya apabila berkecimpung dalam dunia nyanyian secara serius dengan kelahiran album ini,” ujarnya.

Michelle memberitahu, antara harapan tinggi yang sentiasa tersemat di dalam sanubarinya ialah memasuki pasaran muzik Amerika Syarikat dan menulis lirik untuk lagu sendiri.

Mengakhiri bicara, penyanyi ini melahirkan hasrat akan terus bersama Cash Band meskipun sudah dikenali ramai kelak.

Post a Comment

Previous Post Next Post