Penangan Terakhir beri anjakan buat Sufian Suhaimi


TINDAKAN individu yang memuat naik lagu, Terakhir di laman video sosial, YouTube memberi laluan kepada Sufian Suhaimi untuk menjadi penghibur alaf baru di negara ini.

Terkejut dengan perhatian yang diberikan, Sufian bagaimanapun tidak menyangka lagu tersebut berjaya menawan hati pendengar.

Menurutnya, lagu Terakhir dirangka oleh Sirkhan dan dia mendengar lagu tersebut secara kebetulan sahaja pada 2012.

“Pada satu hari, saya berjumpa dengannya (Sirkhan) dan secara kebetulan, dia sedang memetik piano sebuah lagu. Saya kata padanya bahawa lagu itu sedap dan tanya kepadanya apakah nama lagu berkenaan.

“Kata Sirkhan, tajuk lagu itu ialah Terakhir. Namun, pada ketika itu, Terakhir belum siap sepenuhnya,” katanya kepada Zass ketika ditemui di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Telok Gadong, Klang baru-baru ini.

Bertitik tolak daripada situ, mereka bersama seorang lagi rakan, Rinkarnaen memulakan langkah untuk menyiapkan lagu tersebut yang mengambil masa sehingga dua tahun.

Penyanyi berusia 24 tahun itu kemudiannya secara suka-suka memuat naik lagu tersebut di laman perkongsian muzik, Sound Cloud dan Terakhir kerap kali dimuat turun oleh pengguna laman berkenaan.

“Salah seorang pengguna laman tersebut memuat naik Terakhir ke dalam YouTube sedangkan saya tidak pernah memuat naik lagu itu di laman video berkenaan.

“Apabila saya melayari YouTube, saya melihat jumlah pendengar yang mendengar lagu itu semakin meningkat saban hari dan tidak sangka lagu ini mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat,” katanya.

Rentetan itu, Sufian mula didekati beberapa syarikat rakaman yang mahu menyuntingnya untuk menjadi artis rakaman mereka.

“Pada mulanya, saya menolak tawaran daripada ke semua syarikat tersebut kerana tidak berminat untuk menjadi artis komersial.

“Namun, saya akhirnya bertukar fikiran selepas bertemu dan berbincang dengan Sirkhan.

“Niat saya hanyalah mahu berkongsi karya bersama masyarakat,” katanya yang kini menjadi artis di bawah naungan Aries Music sejak awal tahun ini.

Jelasnya lagi, selepas menjadi artis rakaman, lagu Terakhir dirakam semula bagi membaiki susunan dan mutu muzik lagu berkenaan.

Perlu bahagi masa

Tambah Sufian lagi, impak daripada pembaikan Terakhir, lagu itu berjaya mencuit lebih ramai pendengar memandangkan ia turut dimainkan di beberapa stesen radio tempatan.

Malah, kepopularan Terakhir juga menyebabkan namanya semakin dikenali dan sering kali dijemput untuk membuat persembahan.

Meskipun begitu, ia sedikit pun tidak mengganggu masa pengajiannya di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.

“Jadual pengajian di UiTM yang tidak padat memudahkan saya untuk membahagikan masa di antara kuliah dan aktiviti seni.

“Sekiranya tiada apa-apa aktiviti yang boleh dibuat, saya akan mengarang lagu baru,” kata penuntut ijazah jurusan Komunikasi dan Pengajian Media itu.

Dalam perkembangan lain, graduan dari Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) ini bakal muncul dengan single kedua, tidak lama lagi.

Katanya, lagu bertajuk Harus Aku bergenre balada serta R&B.

“Lagu ini sudah dibuat semasa saya di Unisza dan demo lagu ini pernah keluar di YouTube.

“Saya berharap, lagu ini dapat diterima pendengar, sebagaimana lagu Terakhir,” katanya.

Pada masa sama, Sufian berharap agar kehadirannya dalam industri muzik dapat menambah warna dan rasa, sekali gus memeriahkan arena tersebut.

“Harapan saya ialah Terakhir itu bukanlah terakhir untuk Sufian Suhaimi. Malah, Terakhir adalah permulaan untuk sesuatu lebih baik kepada saya,” katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post