HALUAN kariernya semakin cemerlang dari tahun ke tahun. Biarpun bermula perlahan sekitar empat tahun lalu, namun pendakian penyanyi Kaka Azraff dalam industri muzik akhirnya membuahkan hasil.
Selepas melayakkan diri ke pentas akhir Anugerah Juara Lagu ke-30 (AJL30) awal tahun lalu dengan lagu Bukan Hal Aku, dunia seninya dilihat kian seimbang.
Memasuki edisi baharu dalam lembaran karier nyanyian, Kaka atau nama penuhnya, Nor Atiqa Noor Azraff hadir dengan material terkini berjudul Terima Kasih yang selamat dilancarkan dalam sebuah majlis baru-baru ini.
Menjelaskan kandungan single tersebut, Kaka berkata, ia sebagai tanda terima kasih kepada orang di sekeliling yang sentiasa berada di sisinya pada saat sukar mahupun gembira.
“Mungkin ia nampak mudah pada sesetengah orang tetapi sebenarnya ucapan terima kasih yang luhur daripada hati memberi gambaran kepada perilaku kita supaya sentiasa bersyukur.
“Kalau berterima kasih terhadap orang yang ada dalam hidup kita, insya-Allah ia akan menjadi penyebab untuk saya sentiasa membumi dan tidak lupa diri. Itulah maksud sebenar kepada lirik lagu ini,” ujar penyanyi berusia 27 tahun itu membuka bicara.
Rileks
Kaka merupakan antara penyanyi muda yang cukup dikenali dengan pembawaan lagu-lagu bergenre berat dari segi melodi. Namun, kali ini dia berani membawa sedikit kelainan dalam single ciptaan Alif, bekas anggota kumpulan Sleeq dengan menukarnya kepada irama yang lebih santai dan rileks.
“Lagu ini dicipta sepenuhnya oleh Alif memandangkan sebelum ini kami selalu bekerjasama antaranya dalam pembikinan lagu kumpulan Sleeq, Perjalanan dan Bukan Hal Aku.
“Jadi, dari situ timbulnya idea untuk mencipta sekali lagi kerjasama. Saya terima andai ada yang membezakan lagu ini sedikit perlahan rentaknya berbanding lagu Bukan Hal Aku yang berat dari segi susunan muzik.
“Sejujurnya, ia adalah hasrat saya sendiri untuk menghasilkan karya yang lebih rileks dan ia menjadi tanda aras agar tidak tertumpu kepada satu genre sahaja,” ceritanya yang akan menghasilkan album mini tidak lama lagi.
Bercerita lanjut, album tersebut akan dimuatkan dengan enam buah lagu dan dijangka siap menjelang awal tahun depan.
“Ia mengandungi enam buah lagu dan tidak semua daripada kelima-lima single terdahulu saya seperti Bawaku Pergi, Infiniti Cinta dan Terpulanglah akan dimuatkan dalam album ini. Akan ada tiga buah lagu baharu termasuk Terima Kasih.
“Tarikh sebenar untuk mengeluarkan album ini belum diputuskan memandangkan ia masih dalam pembikinan. Saya suka ia berjalan secara perlahan dan teratur, tidak perlu tergopoh-gapah asalkan memuaskan hati peminat dan diri sendiri,” ulas anak kelahiran Klang, Selangor itu mesra.
Terbuka
Menyentuh sisi peribadi, penyanyi yang memperkenalkan diri menerusi lagu Bawaku Pergi itu dilihat semakin kurang melibatkan kehidupan sosialnya bersama teman-teman artis. Situasi itu mula berlaku selepas terjadinya isu ‘perang dingin’ dengan beberapa rakan artis wanita sekitar setahun lalu.
Sebenarnya juga, sudah beberapa kali anak saudara kepada ratu rock negara Ella itu menyuarakan pendiriannya mengehadkan bilangan rakan dalam kalangan artis. Baginya, ketegasan dalam memilih rakan adalah disebabkan pengalaman yang pernah dilaluinya sebelum ini.
“Perkara ini sebenarnya sudah lama saya tegaskan. Bukannya mahu mencipta sengketa, ironinya saya lebih selesa berada dalam situasi sekarang. Biarlah tidak banyak rakan dalam kalangan artis, asalkan saya memiliki rakan-rakan baik yang kenal siapa diri saya.
“Tindakan mengehadkan pergaulan sesama artis adalah perkara terbaik buat saya sebab apa yang saya perjuangkan dalam hidup adalah karier. Namun, itu bukan bererti saya langsung tidak mahu menjalin hubungan persahabatan dengan rakan artis. Berkawan tetap berkawan tetapi biarlah ada sempadan,” jelasnya.
Lagu Terima Kasih sudah dibikin sejak setahun lalu sebelum penyertaannya dalam gelanggang AJL, namun disebabkan kekangan masa dan fokus untuk persembahan dalam acara berprestij tersebut, hasrat Kaka terbantut sehinggalah ia dapat direalisasikan baru-baru ini.
Ditebak dengan ‘keberaniannya’ melakukan tindakan sebegitu yang mungkin akan mengundang cakap-cakap negatif dan perasaan tidak puas hati orang sekeliling, Kaka bersahaja melantunkan jawapan.
Katanya: “Kalau ada yang tidak berpuas hati, saya ambil ia sebagai perkara positif. Setidak-tidaknya, pandangan orang sekeliling akan memberi saya lebih banyak semangat untuk mengejar cita-cita.”
Perniagaan
Selain menyanyi, Kaka juga menceburi bidang perniagaan minyak wangi Kreiz by Kaka yang diusahakan sejak beberapa bulan lalu. Dia kini menarik nafas lega kerana produk tersebut mendapat sambutan di luar jangkaan biarpun terpaksa bersaing dengan jenama wangian yang ada di pasaran.
“Alhamdulillah, sambutan sangat menggalakkan. Jumlah 10,000 botol yang dihasilkan untuk keluaran pertama berjaya terjual sejak dilancarkan April lalu. Sekarang dalam proses memasarkan pengeluaran kedua sebanyak 10,000 botol lagi atas permintaan yang baik daripada pembeli.
“Hasil daripada sambutan positif itu, saya bakal mengeluarkan wangian kedua dalam masa terdekat,” tutupnya.