Sides singkap rahsia Afgan


Afgan belum bersedia untuk menamatkan zaman bujang dalam masa terdekat kerana merasakan banyak lagi perkara lain yang perlu diutamakannya.

Lagak gaya pemilik nama Afgansyah Reza cukup bersahaja. Berdepan bidikan kamera rakan-rakan media semasa sesi fotografi di E&O Residences, Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur baru-baru ini, jejaka berasal dari Jakarta, Indonesia yang lebih dikenali dengan nama pentas, Afgan kelihatan begitu berkeyakinan.

Begitupun, jejaka berusia 27 tahun yang menjadi kegilaan golongan Hawa itu mempunyai sisi yang tidak diketahui khalayak sehingga kemunculan album keempat berjudul Sides.

Pelantun lagu Jodoh Pasti Bertemu itu memberitahu, album terbaharu berjudul Sides merungkai sis-sisi lain yang belum pernah khalayak ketahui berhubung lelaki bernama Afgan.

“Saya menunggu sekian lama kemunculan album terbaharu ini, malah sudah lama merancang judul album keempat. Ia amat istimewa buat diri saya kerana mengambil masa begitu lama untuk memberanikan diri menyumbang lagu dalam album sendiri.

“Bukan tidak mahu menjadi penggubah lagu sebelum ini tetapi kurang keyakinan diri membuatkan hasrat berkenaan terbantut di tengah jalan. Saya terpaksa menunggu sehingga album keempat bagi menghakis perasaan tidak yakin terhadap keupayaan diri,” katanya sambil mengukir senyuman.

Afgan yang mempunyai 1.7 juta pengikut di Instagram memberitahu, dia sangat berbangga dengan hasil album terbaharu kali ini.

Justeru, tidak hairan album Sides amat dekat di hati bekas juri program realiti X Factor Indonesia itu, apatah lagi terdapat banyak ceritera berhubung diri sendiri diterjemah melalui penulisan lirik hasil karyanya.

“Terdapat banyak pengalaman yang mematangkan diri saya sepanjang berkecimpung dalam bidang seni ini. Ia secara tidak langsung memberi keyakinan diri kepada saya untuk menggubah lagu dalam album keempat.

“Saya lebih yakin, malah boleh menggubah dan menulis lirik yang terpendam di dalam hati selama ini. Saya juga dapat menuntut ilmu bersama penerbit terkenal, Mark Hill yang pernah bekerjasama dengan Craig David dan Ed Sheeran,” ujarnya.

Berbicara mengenai pengalaman yang tidak dapat dilupakan sepanjang bergelar anak seni, jejaka berbintang Gemini itu memberitahu, pengalaman meneruskan pengajian di Malaysia bermula tahun 2011 masih terpateri dalam ingatan sehingga kini.

“Pada tahun pertama, saya mengalami kemurungan kerana tidak mempunyai sesiapa di Malaysia. Saya juga perlu meninggalkan dunia seni yang begitu saya cintai.

“Bagaimanapun, selama hampir empat tahun berada di Malaysia, ia mematangkan diri, sekali gus meningkatkan keyakinan diri,” katanya.

Perancangan

Menyentuh mengenai perancangan menamatkan zaman bujang pada usia 27 tahun, Afgan memberitahu, dia akan berkahwin.

“Ya, saya akan berkahwin tetapi bukan pada waktu terdekat ini. Saya perlu memberi tumpuan kepada album terbaharu ini kerana ia membawa makna yang begitu besar buat diri saya.

“Saya tidak dapat membayangkan berkahwin pada masa sekarang kerana banyak lagi yang ingin saya kecapi sebelum menamatkan zaman bujang. Begitupun, kita tidak boleh menduga masa depan. Saya sudah bersedia untuk fasa lebih serius,” jelasnya.

Afgan memberitahu, dia mempunyai perancangan masa hadapan untuk melahirkan album berbahasa Inggeris sepenuhnya.

“Saya bercadang untuk membikin album berbahasa Inggeris sepenuhnya pada tahun hadapan. Sudah tentu saya inginkan yang terbaik dalam album Inggeris ini. Saya akan berkolaborasi bersama artis-artis terkenal jika diizinkan,” katanya.

Berbicara mengenai kolaborasi bersama artis tempatan, Afgan menambah, dia akan berduet bersama penyanyi terkenal tanah air, ratu jazz negara, Datuk Sheila Majid.

“Saya sangat mengagumi beliau dan kami sudah membikin lagu bersama. Dia sangat awesome,” katanya menutup bicara.

Album terbaharu Afgan berjudul Sides dijangka dilancarkan semasa konsert Afgan Sides Live in Malaysia 2016 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 3 September depan.

Post a Comment

Previous Post Next Post