
Raja Ema belum bersedia untuk menamatkan zaman bujang dalam masa terdekat kerana merasakan banyak lagi perkara lain yang perlu diutamakannya.
BUKAN mudah untuk bergelar pelakon wanita seperti Raja Ema. Kisah hidup dan kontroversi demi kontroversi antara yang paling pahit, penampilan diri yang kurang sesuai dengan usia membuatkan wanita itu seperti kalis kritikan.
Begitupun, itu kisah lalu. Seiring dengan peningkatan usia yang menginjak ke angka 48 tahun kini, Raja Ema atau nama sebenarnya Raja Ema Raja Ibrahim nekad mengubah penampilan.
Tampil dengan imej lebih sopan lengkap bertudung ketika ditemui baru-baru ini, Raja Ema mengakui, selesa dengan penampilan baharunya itu.
Dia bahkan berharap peminat dapat mendoakannya kekal dengan penampilan bertudung sampai akhir hayat.
KOSMO!: Sebenarnya sejak bila Raja Ema mula mengambil keputusan untuk berhijab?
Raja Ema: Sebenarnya, saya baru sahaja cuba memakai tudung. Saya tidak pernah merancang untuk memakainya, tetapi mungkin sudah tiba masa untuk berubah.
Terus-terang, saya masih di peringkat percubaan dan tidak tahu bagaimana hendak melilit tudung seperti wanita lain. Harap peminat dapat mendoakan saya agar dapat terus kekal berpenampilan seperti ini.
Bagaimanapun, saya masih belum layak untuk digelar sebagai wanita berhijab.
Mengapa anda berpendapat sedemikian?
Saya tidak mahu digelar berhijab kerana konsepnya sudah lari. Apabila berhijab, seseorang wanita itu tidak boleh memakai pakaian yang menarik perhatian.
Hal ini pernah saya baca dalam sebuah buku. Maksud berhijab yang sebenar adalah menutup kecantikan daripada pandangan mata umum.
Jadi rasanya saya tidaklah berhijab sangat kerana baru sahaja mencuba untuk menutup aurat dengan bertudung.
Pernahkah anda berasa bimbang semasa mengambil keputusan untuk mengubah penampilan?
Apabila saya memakai pakaian seksi, saya tetap dikritik, bahkan pernah menerima kritikan yang sangat teruk. Pengalaman sebegitu membuatkan saya tidak lagi bimbang apabila membuat sebarang keputusan.
Bagi saya, soal seksi ataupun saya bertudung, itu semua merupakan hal saya dengan Allah, tiada kena mengena dengan orang lain.
Bagaimana pula dengan tawaran lakonan selepas ini, tidak takut ia akan berkurang?
Sebenarnya saya seronok membawakan watak antagonis, jadi saya pernah terfikir sama ada masyarakat boleh menerima seorang wanita bertudung melakonkan watak jahat atau tidak.
Bagaimanapun, saya serahkan segalanya kepada rezeki Allah. Selain berlakon, saya juga mempunyai pendapatan sampingan melalui perniagaan baju tidur.
Boleh ceritakan dengan lebih lanjut mengapa anda gemar membawa watak antagonis?
Sebelum ini, saya selalu melakonkan watak perempuan baik, bahkan ketika saya mula membuat kemunculan semula juga saya membawakan watak baik.
Bagaimanapun, semenjak penerbit daripada Zeel Production menawarkan watak jahat, saya terus jatuh cinta untuk membawakan watak sebegitu kerana ia lebih menonjol. Pada saya, watak baik meletihkan kerana perlu banyak menangis dan bersabar.
Bagaimana pula dengan perkembangan terkini anda?
Saya baru sahaja tamat penggambaran drama berjudul Meh Sandar Pada Aku terbitan Zeel Production.
Dalam drama berkenaan juga saya membawakan watak perempuan jahat. Selepas ini mungkin saya akan bercuti selama dua minggu sebelum kembali sibuk seperti biasa.
Bercakap mengenai penglibatan anda dalam Super Karoks Kool FM, adakah anda mempunyai perancangan untuk menghasilkan single baharu?
Sebenarnya, saya sudah lama menutup buku dalam bidang nyanyian kerana dimurahkan rezeki dalam bidang lakonan dan perniagaan.
Bagaimanapun, setelah mendapat tawaran bernyanyi dalam program Super Karoks, saya tidak menolak kemungkinan untuk mengeluarkan lagu baharu.
Saya juga pernah terfikir untuk memberi nafas baharu dalam susunan muzik lagu Jejaka Idaman tetapi ia bergantung kepada keadaan dan masa.