RAJA AZURA mengaku selepas setahun tidak bergelumang dengan dunia hiburan, khususnya di konti radio, kehidupannya kini lebih terurus dan mempunyai banyak masa untuk keluarga.
Hujung tahun lalu, kecoh sebentar dunia seni apabila pelakon dan juga penyampai radio terkenal, Raja Azura Tengku Ahmad Tajudin, 44, telah ditamatkan kontraknya bersama stesen radio Sinar FM tanpa sebarang notis panjang.
Tambah gamat, pengumuman itu dibuat secara langsung bersama rakan penyampainya, Salih Yaakob pada konsert keenam program Gegar Vaganza 2, tahun lalu.
Hampir setahun berlalu, Raja Azura kini sudah sedikit demi sedikit melupakan peristiwa pahit itu dan meneruskan kehidupannya seperti biasa dengan melibatkan diri dalam dunia perniagaan.
KOSMO!: Adakah Raja Azura masih terasa hati dengan kejadian penamatan kontrak sebagai penyampai radio yang berlaku tahun lalu?
RAJA AZURA: Jika ditanya selepas kejadian, mungkin saya masih menyimpan perasaan sakit hati, namun sekarang saya sudah reda. Saya terima rezeki hanya setakat itu waima apa sekalipun sebab dan musababnya. Saya yakin ada hikmah lain Allah tetapkan takdir itu dalam hidup saya.
Selepas hampir 10 tahun berkecimpung dalam dunia penyiaran radio, tidakkah anda berasa rindu untuk kembali bertugas?
Rindu memang tidak dinafikan kerana saya sudah terbiasa dengan rutin pergi ke konti awal pagi dan bersembang dengan peminat di radio. Tetapi rasanya, cukuplah 10 tahun saya memegang gelaran penyampai radio. Mungkin sudah tiba masanya saya memberi fokus kepada anak-anak pula. Jika dahulu, saya tidak dapat menghantar mereka ke sekolah kerana terikat dengan komitmen kerja tapi sekarang saya mempunyai lebih masa untuk diluangkan. Ini adalah antara nikmat serta hikmah selepas tidak lagi bergelar penyampai radio.
Adakah ini bermakna anda sudah tawar hati dengan kerjaya sebagai penyampai radio?
Bukan tawar hati tetapi lebih kepada kecewa. Saya memberikan 10 tahun kehidupan saya untuk kerjaya tetapi akhirnya pengakhiran saya seperti yang berlaku tahun lalu. Perasaan itu perit rasanya jadi saya tidak mahu mengalaminya lagi.
Apakah pengajaran yang anda pelajari daripada kejadian tersebut?
Sentiasa peka dengan apa-apa sahaja kontrak dan syarat yang ditawarkan sebelum menerima pekerjaan. Jangan terlalu mudah menerima apa sahaja yang diusulkan dan jaga kepentingan diri untuk masa hadapan juga.
Boleh kongsikan perniagaan yang anda sedang jalankan sekarang?
Sekarang saya mengendalikan francais perniagaan Burger Byte di Shah Alam, Selangor dan setakat ini, semuanya berjalan lancar sejak ia mula beroperasi dua minggu sebelum Ramadan lalu. Walaupun ini restoran makanan segera, saya tetap selitkan juadah-juadah istimewa seperti Nasi Primadona dan minuman perisa teh yang saya pelajari khas selama dua minggu di Thailand.
Apakah yang membuat anda memilih perniagaan makanan segera untuk diusahakan?
Sebenarnya sudah tiga tahun saya diberi tawaran untuk mengendalikan francais ini tetapi kerana dulu saya sibuk dengan karier penyampai radio maka saya tidak berani menerimanya. Sekarang saya sudah tiada komitmen, jadi memang masa yang sesuai untuk menjalankan perniagaan. Saya dapat melihat kestabilan jenama Burger Byte yang mempunyai peminat tersendiri dan yakin dengan sedikit sentuhan istimewa daripada saya, ia akan lebih berjaya.
Bagaimanakah dengan kerjaya seni, adakah anda masih aktif seperti biasa?
Saya aktif menjadi hos rancangan yang berkaitan masakan kerana ia lebih dekat di hati saya. Untuk tawaran lakonan pula, buat masa ini saya lebih selesa dengan jadual sekarang. Penggambaran menuntut lebih masa serta komitmen dan saya belum bersedia untuk kembali sibuk seperti dahulu.