
PEKIN
Menerima lapan pencalonan pada Festival Filem Malaysia ke-28 (FFM28) menerusi filem sulung arahannya, Mat Moto - Kami Mat Moto Bukan Mat Rempit, aktor dan pengarah muda berbakat besar, Pekin Ibrahim tidak mengambil hati apabila ramai mempertikai kelayakan dirinya menerima penghargaan tersebut. Ia berikutan dia masih berstatus ‘hijau’ dalam dunia pengarahan dan naskhah berjudul picisan sedemikian.
Pekin atau nama lengkapnya, Mohd. Iznan Ibrahim sama sekali tidak menyangka rezeki berpihak kepada dirinya walaupun pertama kali diberi peluang mengarah filem tersebut yang membuahkan lapan pencalonan iaitu Filem Terbaik FFM28, Pengarah Baharu Terbaik, Lakon Layar Terbaik FFM28, Cerita Asal Terbaik, Sinematografi Terbaik, Penataan Bunyi Terbaik, Pelakon Baharu Wanita Terbaik (Falisha Crosley) dan Pelakon Lelaki Terbaik.
Pernah dicalonkan dalam kategori Pelakon Lelaki Terbaik pada FFM25 menerusi filem Bunohan, Pekin optimis terus melakar kejayaan bergelar pengarah, tidak kurang juga sebagai seorang pelakon.
Dihubungi Kosmo! baru-baru ini, dia turut meluahkan rasa kecewa apabila ada pihak yang tidak berpuas hati apabila kredibiliti filem Mat Moto dipertikaikan dan dibuat perbandingan dengan filem lain yang dirasakan lebih berkualiti.
Isu FFM28 akhirnya dianggap selesai apabila Kementerian Komunikasi dan Multimedia telah memutuskan tiada pengasingan bahasa dalam pencalonan melibatkan filem seperti Ola Bola dan Jagat yang sebelum ini diletakkan dalam kategori Filem Terbaik (Filem Terbaik Bukan Di Dalam Bahasa Malaysia).
KOSMO!: Tahniah kerana filem pertama arahan anda, Mat Moto berjaya menerima lapan pencalonan. Bagaimana perasaan anda?
Pekin: Alhamdulillah, saya bersyukur dengan rezeki ini. Kejayaan ini membakar semangat saya untuk terus berkecimpung dalam bidang pengarahan. Bagaimanapun, ia tidak memberi batasan kepada saya untuk berlakon bawah arahan mana-mana pengarah lain asalkan cerita yang ingin difilemkan mempunyai mesej dan kualiti baik.
Adakah anda menjangka sebarang kemenangan untuk penganjuran kali ini?
Sejujurnya, saya tidak menjangka apa-apa langsung. Menerima pencalonan sudah menjadi satu bonus buat diri saya. Saya bikin filem bukan untuk mengejar anugerah. Saya hanya ingin menonjolkan potensi diri bukan sahaja sebagai seorang pelakon, malah mampu menjana idea dengan duduk di bangku pengarah.
Bagaimana dengan pertikaian sesetengah pihak terhadap kredibiliti kelayakan filem Mat Moto yang menerima pencalonan dalam kategori Filem Terbaik sementelah filem bukan berbahasa Malaysia seperti Ola Bola dan Jagat diasingkan daripada bertanding dalam kategori sama sebelum perubahan dalam FFM dibuat penganjur. Apa pendapat anda?
Saya percaya dengan kuasa para juri yang mengadili kesemua naskhah yang dipertandingkan dalam FFM28 kali ini. Semestinya mereka mempunyai sebab tersendiri mengapa perlu diasingkan beberapa kategori. Pihak Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dan FFM sendiri telah bertungkus lumus merealisasikan penganjuran kali ini.
Jadi, saya rasa tidak adil sehingga ada pemenang terdahulu cuba menidakkan ketelusan penganjuran FFM28 dengan memulangkan trofi sebagai tanda protes.
Saya sendiri tidak meminta menerima pencalonan, jadi saya menghormati segala keputusan yang dilakukan pihak FFM.
Sebagai seorang pengarah dan aktor, bagaimana anda melihat isu pengasingan bahasa dalam pencalonan di FFM sebelum sedikit perubahan dilakukan baru-baru ini?
Bagi saya, mereka berbuat demikian untuk terus memartabatkan Bahasa Malaysia dan semestinya untuk kebaikan semua. Apa jua alasan FFM, sebagai penggiat seni filem, saya menghormati segala keputusan dibuat dan berharap industri perfileman tanah air terus berkembang.
Baiklah, bagaimana pula dengan perkembangan seni terbaharu anda?
Saya sudah siap menjalani sebuah filem dokumentari berjudul Maddness of Borneo yang akan ditayangkan di pawagam pada tahun depan. Selain itu, saya akan mula mengarah filem kedua berjudul KL Wangan bermula 20 Ogos ini.