Adibah, Misha saling mengagumi


LENGKAP - Kolaborasi Misha melengkapkan album duet Adibah yang mahu dipasarkan pada penghujung tahun ini. Selain Misha Omar, antara penyanyi lain yang telah berduet dengan Adibah ialah Sam Inneundo dan Dina.

APABILA idea untuk menghasilkan sebuah album duet bertandang ke dalam kotak fikiran Adibah Noor sekitar empat tahun lalu, penyanyi bersuara lantang itu sedar bahawa ia perlu terisi dengan karya-karya yang diinspirasikan daripada perjalanan hidupnya sepanjang bergelar anak seni.

Selain menjilidkan rasa dan cebisan memori ke dalam sebuah penceritaan berbentuk muzikal, pemilik nama lengkap, Adibah Noor Mohd. Omar, 47, itu turut menginginkan sentuhan peribadi yang bersifat sentimental terhadap portfolio diskografinya.

Menurut telahan awal yang dilakukan Adibah, menjadi lebih manis sekiranya album studio ketiganya itu dapat dikongsi bersama individu-individu yang amat disayangi dan dikagumi.

Enggan membiarkan fikiran terus menerawang jauh, ingatan penghibur serba boleh itu lekas dipautkan pada wajah teman-teman rapatnya yang turut menjadikan bidang nyanyian sebagai kerjaya utama. Tersenyum sendirian, Adibah yakin telah menemui rakan duet untuk setiap lagunya.

“Impian untuk menerbitkan album duet telah lama tercetus, sekitar sewaktu awal kemunculan dalam bidang nyanyian. Bagaimanapun, saya terlebih dahulu muncul dengan dua buah album solo dan hasrat tersebut terpaksa ditangguhkan.

“Bagaimanapun apabila usia sudah meningkat, saya sedar bahawa impian tersebut perlu direalisasikan segera. Jadi, pada penghujung tahun 2012, saya melancarkan lagu Ke Sana Dengan Mu yang menampilkan Sam Innuendo sebagai penyanyi undangan,” katanya,

Setahun selepas Ke Sana Dengan Mu diterbitkan, Adibah muncul dengan single kedua berjudul Malaysia Kau Ku Cinta. Kali ini, pelakon filem Sepet itu memilih untuk berkolaborasi bersama penyanyi dan penyampai radio, Dina Nadzir.

Tidak lama selepas itu, Adibah mencuri tumpuan penggemarnya menerusi lagu Bahasa Rindu yang menampilkan vokal pemenang tempat kedua pertandingan Sinaran Pasport Kegemilangan 1996, Nizam Din. Kelana Adibah dalam mengumpulkan material duet diteruskan dan sehingga kini, dia telah merakamkan tiga buah lagu bersama Anuar Zain, Amir Jahari dan Atilia.

Terkini, pemenang Anugerah Juara Lagu ke-21 itu baru sahaja selesai menyempurnakan proses rakaman suara bersama penyanyi Misha Omar menerusi lagu Jiwa Sentuh Jiwa. Dicipta oleh Aubrey Suwito dan lirik garapan Ad Samad, lagu tersebut merupakan karya penutup sebelum album yang masih belum diberikan judul itu dipasarkan pada penghujung tahun ini.

Sahabat

Menyentuh mengenai makna di sebalik lagu tersebut, Adibah yang ditemui pada sesi rakaman tersebut di studio rakaman milik Aubrey, Cranky Music di Ara Damansara, Selangor baru-baru ini berkata, lagu berentak balada itu begitu istimewa kerana ia menceritakan kisah di sebalik persahabatannya bersama Misha.

“Kadangkala, kita mengerti apa yang sedang bermain dalam fikiran sahabat baik tanpa perlu diberitahu. Apatah lagi jika hubungan yang terbina sangat rapat.

“Jadi, lagu ini bercerita mengenai persahabatan saya dengan Misha dan bagaimana kami menghargai antara satu dengan lain,” katanya yang mengakui mula rapat dengan Misha sebelum penyanyi itu mendirikan rumah tangga.

Selain meletakkan harmoni hubungan persahabatannya sebagai tulang belakang lagu, Adibah turut menjadikan kekuatan vokal Misha sebagai sebab utama projek duet itu terjalin.

Adibah mengakui, kualiti yang ada pada lantunan suara wanita kelahiran Kelantan itu merupakan antara yang terbaik pernah didengar sepanjang meladeni karier sebagai penyanyi.

“Saya mula jatuh cinta pada suara Misha selepas menonton persembahannya secara langsung pada Anugerah Juara Lagu ke-18. Kemudian, pada tahun 2012, saya berkongsi pentas dengannya menerusi Konsert 3 Permata di The Esplanade, Singapura. Dari situ, rasa kagum terhadap kekuatan vokal Misha semakin bertambah.

“Suaranya gemersik dan saya berasa terpesona setiap kali mendengar dia menyanyi. Misha seorang yang jujur dan personalitinya telus kelihatan tanpa perlu dibuat-buat,” pujinya ikhlas.

Teruja

Menyifatkan pujian tersebut sebagai sebuah tanda kasih dan sayang seorang sahabat, Misha berkata, dia teruja apabila diberitakan oleh Adibah sendiri mengenai kolaborasi tersebut.

Ujar Misha, 34, walaupun usia kandungannya kini sudah menginjak ke angka lapan bulan, namun dia tetap menggagahkan diri untuk memenuhi permintaan yang disuarakan oleh sahabat baiknya itu.

“Adibah Noor merupakan seorang penyanyi yang mempunyai bakat luar biasa. Dia mempunyai aura yang tersendiri.

“Jadi, selepas menerima panggilan daripadanya sekitar bulan lepas, saya terus menyuarakan persetujuan,” katanya.

Menurut Misha, persetujuan tersebut dilakukan dengan kadar segera memandangkan tempoh kehamilannya sudah sampai ke penghujung.

“Jika saya tidak merakamkan suara untuk lagu ini sekarang, mungkin Adibah perlu menunggu saya selepas habis proses berpantang.

“Justeru, selagi saya tidak berasa sakit untuk melahirkan dan sedang terlantar di hospital, saya tetap akan menyelesaikan sesi rakaman,” tuturnya dalam nada berseloroh.

Melihat keadaan dirinya pada sesi rakaman, Misha mengakui sedikit gementar kerana pertama kali merakamkan lagu sewaktu sedang sarat hamil.

Bagaimanapun, rasa gementar itu terhakis sedikit demi sedikit selepas menyedari bahawa dia sedang ditemani oleh zuriatnya sendiri.

“Proses rakaman lagu ini boleh dianggap sebagai paling istimewa yang pernah berlaku sepanjang karier nyanyian saya.

“Bermula daripada idea yang disimpan dalam hati, proses kreatif ini akhirnya berubah kepada perkara yang besar dalam diri saya,” katanya menutup bicara.

Post a Comment

Previous Post Next Post