Nilai eksklusif Farahdhiya


Perkara membabitkan soal jodoh, ajal dan maut menjadi rahsia Tuhan serta ia bukannya sesuatu yang mampu diramal manusia. Pelantun lagu Bertakhta Di Hati, Farahdhiya turut mempunyai rahsia yang tersimpul rapi dalam kehidupannya terutama apabila diajukan persoalan berhubung jodoh.

Begitupun, anak seni berusia 32 tahun itu bagaikan sudah lali apabila sering dilontarkan dengan pertanyaan tentang pemilik belahan hatinya. Ia dilihat seperti satu kekhuatiran memikirkan penyanyi jelita berkenaan masih sendiri sehingga ke hari ini.

Tidak mempamerkan sebarang riak wajah kurang senang tatkala diajukan soalan cinta, wanita berdarah kacukan Melayu-Inggeris itu kekal mengukir senyuman tanpa sebarang rungutan.

Tenang dalam menyusun kata dan menyerahkan segala urusan jodoh kepada takdir, pemilik nama Farahdhiya Mohd. Amin tidak mahu terburu-buru dalam memilih pasangan hidup.

Mengharapkan bakal suami dipilih menjadi yang pertama dan terakhir, pelakon drama rantaian Spa Q itu mengakui kesukaran mencapai kesefahaman dalam hubungan antara punca dirinya selesa menjalani kehidupan solo.

“Saya tidak mentakrifkan diri sebagai seorang yang terlalu cerewet dalam soal jodoh. Begitupun apabila ia berkaitan tentang pasangan, sikap merupakan perkara paling utama dalam hubungan.

“Jauh sekali mengakui diri terlampau sempurna namun, perkara itu penting demi membentuk sahsiah diri terutama perihal membesarkan anak-anak kelak dan ingin mereka membesar dalam persekitaran yang positif,” jelas penyanyi kelahiran Itali itu.

Baginya, perkahwinan bukan sekadar melibatkan hubungan antara dua pihak, tetapi ia mencakupi pelbagai aspek untuk jangka masa panjang agar rumah tangga yang dibina tidak mudah goyah.

Mengakui pernah menjalin beberapa hubungan cinta sebelum ini, wanita yang mesra disapa sebagai Farah itu selesa memberi fokus kepada bapanya, Mohd. Amin terlebih dulu.

Tambahan, usia bapanya yang kini menjengah angka 64 tahun selain tahap kesihatan kadangkala tidak mengizinkan membuat Farah lebih mendahulukan bapanya daripada diri sendiri.

“Mungkin ada sebab mengapa sehingga ke hari ini saya masih belum bertemu jodoh kerana secara tidak langsung ia memberi peluang untuk menghabiskan lebih banyak masa dengan keluarga,” tuturnya lembut.


Milikku Abadi

Farah akui kadangkala terpaksa berjauhan dengan keluarga dan bekerja di luar kota demi meneruskan cita-cita.

Biarpun gagal merebut gelaran juara program Gegar Vaganza musim kedua, eksperimentasi penyanyi ini nyata tidak sia-sia apabila kerjaya seninya dalam bidang nyanyian semakin mendapat perhatian semula.

Jika sebelum ini wajahnya sering membanjiri pelbagai naskhah drama di kaca televisyen, kini undangan persembahan nyanyian menjadi agenda utama buatnya.

Mengambil peluang keemasan itu, Farah kini giat mempromosikan single baharu berjudul Milikku Abadi ciptaan Tam Spider dan lirik dihasilkan oleh Keon.

Masih dalam lingkungan corak muzik yang sama seperti lagu pertamanya terdahulu, single tersebut tidak hanya sarat dengan bait-bait puitis malah ia turut mempunyai jalan cerita tersendiri.

“Mendengar kepada liriknya ia berkisar tentang percintaan dan kasih sayang antara dua insan. Begitupun bagi saya lagu ini lebih menyentuh tentang perjalanan kerjaya dalam bidang seni yang bermula sebagai penyanyi sebelum beralih arah kepada bidang lakonan.

“Mengharapkan kejayaan single terbaharu ini akan memberi impak yang sama seperti Bertakhta Di Hati, tujuan saya memilih genre balada adalah kerana rentak tersebut lebih mudah meninggalkan kesan dan diterima peminat,” ujarnya optimis.

Mengakui memberi lebih tumpuan kepada kerjaya nyanyian, Farah tidak menolak kekerapan kemunculannya di kaca televisyen kini semakin berkurangan.


Ramai tidak menyangka Farah mempunyai kehebatan memasak selain menjadikannya sebagai hobi pada masa lapang dan menaruh impian agar berpeluang membuka sebuah restoran kelak.

Eksklusif

Jika dahulu hampir di setiap stesen televisyen pasti mempamerkan kehebatan dirinya menterjemahkan watak antagonis dengan cemerlang sehingga karakter sebegitu menjadi cukup mudah buatnya.

Namun, radar kerjaya seninya mula berubah dan dia memilih untuk mengehadkan kemunculan di kaca televisyen demi mengukuhkan kedudukan sebagai penyanyi.

“Disebabkan kepadatan jadual nyanyian, saya terpaksa menolak beberapa tawaran kerana bimbang akan berlaku percanggahan sehingga menimbulkan beban kepada orang lain.

“Bagaimanapun, ia tidak bermakna saya mengenepikan terus kerjaya lakonan. Memandangkan aktiviti nyanyian kini mula mendapat perhatian jadi adalah lebih baik fokus kepada satu kerja dalam satu masa,” jelas Farah dalam nada serius.

Ditebak sama ada timbul perasaan bimbang sekiranya sinar populariti kurang mendapat perhatian ekoran jarang muncul di kaca televisyen, Farah hanya melepaskan ketawa kecil.

Baginya tempoh 10 tahun bergelumang dalam industri hiburan menjadikan dia lebih matang dan tidak terlalu mengejar publisiti demi menjaga kestabilan populariti.

“Biarpun kurang muncul di kaca televisyen, tidak bermakna saya sudah hilang pengikut ataupun mudah dilupakan peminat.

“Sebaliknya perkara itu menjadikan saya lebih berhati-hati dalam soal pemilihan naskhah atau program televisyen sekali gus menjaga nilai eksklusif kerana kualiti lebih baik daripada kuantiti,” kata anak bongsu daripada dua beradik itu saat menutup bicara.

Post a Comment

Previous Post Next Post