EBBY lebih memberi tumpuan kepada penjagaan kesihatan dan keluarga selain fokus terhadap pengurusan Restoran Adam Lai yang kini memiliki tiga cawangan.
SINONIM dengan lawak jenaka, pelakon yang sememangnya telah lama bergelumang dalam bidang komedi, Ebby Yus kini lebih senang memilih untuk memperlahankan kerjayanya.
Bukan sahaja kerana kesihatan kurang mengizinkan tetapi pelakon berusia 52 tahun itu ingin memberi tumpuan kepada keluarga dan perniagaan.
Disebabkan itu, Ebby mengamalkan sikap selektif dalam pemilihan watak terutama naskhah yang memperuntukkan dirinya bergerak aktif.
Tidak bermaksud berlagak ‘diva’ tetapi itulah yang menjadi kriteria penting buat Ebby saat ingin membuat keputusan untuk menerima tawaran berlakon.
KOSMO!: Lama tidak melihat kemunculan Ebby Yus di kaca televisyen. Adakah anda merajuk atau merangka perancangan untuk meninggalkan bidang lakonan?
EBBY YUS: Saya tidak mempunyai sebarang perancangan untuk meninggalkan dunia hiburan tetapi hanya memperlahankan sahaja kerana masalah kesihatan yang kurang mengizinkan.
Tambahan, setiap enam bulan saya perlu membuat pemeriksaan kesihatan susulan selain mengawal kuantiti pengambilan makanan.
Sekiranya tidak keberatan bolehkah anda kongsikan penyakit apa yang dihidapi sekarang?
Pada saya perkara itu tidak perlu dijelaskan secara terperinci kepada umum. Cukup sekadar mereka mengetahui keadaan kesihatan saya kini agak kurang memuaskan selain perlu membuat rawatan susulan dan mengamalkan pengambilan ubat-ubatan. Disebabkan hal tersebut, saya perlu menjadi lebih selektif dalam soal pemilihan watak dan naskhah, terutamanya jika ia memerlukan saya bergerak aktif mahupun perlu menjalani sesi penggambaran sehingga lewat malam atau lokasi yang jauh.
Bolehkah kongsikan cara bagaimana anda menjaga kesihatan bagi mengekalkan stamina?
Saya akan memastikan pengambilan makanan seperti sarapan, makan tengah hari dan malam mengikut waktu dan perlu diambil dalam kuantiti yang tidak terlalu banyak. Selain itu, saya perlu catu jumlah pengambilan air putih yang cukup sekadar satu liter satu hari kerana bimbang ia akan menyebabkan saya mengalami masalah paru-paru jika kandungan air berlebihan.
Jika saya boleh kongsikan, pernah suatu ketika sewaktu ingin menggosok gigi, saya perlu duduk dan berehat seketika sebanyak dua kali sebelum menyambungnya kembali.
Paling penting, tangani masalah dengan bijak dan jauhi tekanan.
Apakah yang anda lakukan untuk mengelakkan diri daripada mengalami masalah tekanan?
Secara peribadi saya merupakan seorang yang sangat mudah membuat keputusan kerana akan mengikut apa saja yang dipersetujui oleh orang lain. Perkara sama turut berlaku apabila melibatkan individu meminjam wang sehingga mencecah RM20,000 tetapi sehingga ke hari ini masih belum membayarnya semula. Ada juga yang cuba menipu dalam urusan perniagaan, saya tidak pernah mengambil serius kerana bimbang akan mengganggu masalah kesihatan kelak.
Adakah masalah kesihatan ini membataskan anda melakukan aktiviti harian?
Buat masa sekarang apa yang boleh dikatakan ia tidak membebankan kerana segalanya berada dalam keadaan terkawal. Bagaimanapun, saya akan memastikan dapat rehat yang cukup agar jadual kerja dapat berjalan lancar.
Melihat kepada keadaan sekarang, tidakkah anda terdetik untuk mendirikan rumah tangga?
Sejujurnya perkara itu telah lama difikirkan sejak lebih 30 tahun lalu tetapi segalanya bergantung pada kuasa Tuhan. Jodoh merupakan perkara yang bukan boleh dicari mahupun datang sendiri melainkan takdir. Oleh itu saya teruskan kehidupan seperti biasa. Tambahan sekarang, saya perlu menjaga seorang kakak yang merupakan orang kelainan upaya (OKU).
Jadi, sekiranya benar dia ingin bersama saya, dia perlu menerima ahli keluarga dan diri saya dengan hati terbuka. Lagipun, melihat kepada faktor usia dan keadaan sekarang, perkahwinan bukan lagi menjadi keutamaan kerana pada saya kesihatan dan keluarga adalah perkara paling penting.
Bolehkah anda kongsikan aktiviti seni terbaharu?
Saya baru sahaja dilantik sebagai penasihat bagi program pencarian pelawak menerusi rancangan Lawak Solo terbitan Astro selain muncul dalam program sitkom komedi Jawatankuasa Kampung Kalut J.K.K. Selain itu, saya memberi fokus kepada pengurusan Restoran Adam Lai yang kini telah memiliki tiga cawangan iaitu di Seksyen 15 Shah Alam, Selangor, Prima Sri Gombak dan Wangsa Melawati, Kuala Lumpur.