Zahid Tiada lagi dunia dalam konti


ZAHID mengharapkan taruhan single kedua berjudul Biar Aku Yang Tahu tidak hanya dapat menambat hati pendengar tetapi menaikkan namanya dalam industri hiburan tanah air.

SEKIAN lama tidak mendengar perkhabaran juara program realiti Akademi Fantasia musim kedua (AF2), Zahid Baharuddin apabila dia membuat keputusan untuk menyertai stesen radio Era FM sebagai deejay radio.

Biarpun empat tahun bekerja sebagai deejay, Zahid akhirnya membulatkan hati melepaskan kerjaya makan gaji itu sebagai langkah awal buatnya merangka semula perjalanan dalam bidang industri hiburan.

Keputusan itu dibuat demi menumpukan sepenuh perhatian terhadap bidang nyanyian yang sememangnya merupakan taruhan asal sejak dia memperoleh gelaran juara AF2 pada tahun 2004.

“Disebabkan terikat dengan tuntutan kerja, perkara itu secara tidak langsung membataskan stesen radio lain untuk memutarkan lagu nyanyian saya.

“Oleh sebab itu saya membuat keputusan untuk bergerak sendiri sebagai penyanyi dan meninggalkan kerjaya penyampai radio sekaligus meninggalkan dunia konti.

“Biarpun pada awalnya agak berat membuat keputusan tersebut tetapi demi kelangsungan dalam industri seni, saya terpaksa akur bahawa tiada lagi dunia dalam konti,” jelas penyanyi berusia 36 tahun itu.

Mempertaruhkan single baharu berjudul Biar Aku Yang Tahu hasil ciptaan sepenuhnya oleh Zul 2 By 2 menjadi lagu kedua Zahid selepas membuat kemunculan semula pada tahun lalu menerusi lagu Biasa.

Menyahut cabaran melantun lagu rentak balada, Zahid tidak menjadikan perkara tersebut sebagai halangan merancakkan industri hiburan.

Biarpun sebelum ini Zahid lebih sinonim membuat persembahan dengan mempamerkan aksi tarian lincah, kini langkahnya mula bertukar rentak perlahan.

“Saya menjadikan itu sebagai cabaran kerana ingin mengikut cita rasa pendengar masa kini yang lebih menggemari lagu berentak balada,” ujarnya.

Bernaung di bawah syarikat rakaman Suria Records Sdn. Bhd. (SRC), Zahid menaruh harapan agar pembaharuan dilakukan dapat membuka mata pengikut seni muzik tempatan akan kewujudannya.

Zahid turut berharap agar single baharunya itu dapat mengubat kerinduan peminat selepas kemunculan semula pada tahun lalu menerusi lagu berjudul Biasa.

“Mengharapkan taruhan kedua ini dapat mengembalikan kepercayaan peminat terhadap perjuangan seni saya dalam industri hiburan,” ujarnya yang hampir lapan tahun tidak menghasilkan album penuh.

Persaingan

Berdepan dengan cabaran pendatang baharu dalam industri hiburan tempatan, Zahid tidak melihat situasi tersebut akan menjejaskan kerjaya seninya kelak.

Memandang perkara tersebut melalui sudut positif, Zahid memberitahu dia menjadikan kebanjiran penyanyi baharu sebagai satu persaingan sihat selain dapat merancakkan industri hiburan tempatan.

“Tidak semestinya penyanyi baharu dan lama perlu saling sombong atau berlagak antara satu sama lain kerana industri kita kecil sahaja,” jelas Zahid bersungguh-sungguh.

Rancak menyusun agenda seni, Zahid tidak hanya memberi ruang pada bidang nyanyian kerana turut merencana aktiviti lakonan agar kedua-duanya mampu bergerak seiring.

“Selain aktiviti nyanyian, saya juga ingin mengintai peluang berkecimpung dalam bidang lakonan namun segalanya bergantung kepada kekosongan jadual kerja,” tutur Zahid yang pernah membuat kemunculan sebagai pelakon undangan menerusi filem Man Laksa pada tahun 2006.

Post a Comment

Previous Post Next Post