Berkat Syawal Ezzaty Abdullah & Azwan Kombos

NEGERI - Ezatty yang berasal dari Pahang bertemu jodoh dengan anak kelahiran Sabah, Azwan

MELANGKAH kaki ke kediaman keluarga pelakon jelita Ezzaty Abdullah yang terletak di Kampung Baru, Bentong, Pahang pada Sabtu lalu disambut dengan dekorasi laman khemah yang disusun kemas dan teratur berwarna putih.

Pantas aroma wangi bunga-bunga segar yang dihiasi di sekitar rumah dua tingkat berkenaan menerbitkan suasana romantik dan harmoni bagi meraikan pasangan sejoli yang bakal bersatu sebagai suami isteri.

Tepat pukul 11.30 pagi, Ezzaty Abdullah, 26, dan pelakon Azwan Kombos selamat bergelar suami isteri dengan sekali lafaz. Pasangan mempelai dinikahkan sendiri oleh bapa pengantin perempuan, Abdullah Mat Isa dan disaksikan oleh Jurunikah Daerah Bentong, Mohd. Rasmawi Harun.

Pada majlis sederhana tetapi meriah itu, Ezzaty menerima mas kahwin sebanyak RM22.50, manakala jumlah wang hantaran pula dirahsiakan.

Pengantin lelaki memberi sebanyak lima dulang hantaran kepada pihak perempuan termasuklah wangian, seutas tas tangan dan sepasang kasut. Berbalas tujuh dulang hantaran antaranya, sebuah kamera, set sejadah dan wangian.

Tanggungjawab besar

Usai majlis akad nikah, jelas terpancar riak kelegaan pada wajah Azwan atau nama sebenarnya, Mohd. Al-Azwan Kombos, 31.

Masakan tidak, dia mengakui, sangat berdebar sebelum majlis itu berlangsung sehingga memaksanya berlatih untuk mengucap lafaz akad beberapa kali.

“Saya sangat lega sebab debaran yang dialami sebelum bernikah sudah pun hilang. Pada masa sama, saya bersyukur sebab akhirnya selamat bergelar suami orang.

“Kami berharap agar peminat terus mendoakan kebahagiaan kami selepas ini. Untuk yang tidak pernah jemu mendoakan kami cepat-cepat naik ke jenjang pelamin sebelum ini, terima kasih atas doa yang dititipkan,” ujar Azwan membuka bicara.

Tidak pernah lekang senyuman pada bibirnya dan sentiasa mengucap syukur dengan kelancaran majlis pada hari itu, Ezzaty mengakui, kegembiraan itu datang beserta tanggungjawab yang besar.

“Usai majlis nikah, ibu ada cakap kepada saya, sekarang kakak (panggilan dalam keluarga) sudah jadi isteri. Jadi, banyak perkara sudah berubah. Kalau sebelum ini, ada kakak ipar yang membantu menguruskan kerja rumah, tetapi sekarang saya perlu lakukannya sendiri.

“Untuk menjalani fasa sebagai seorang isteri bukan mudah. Jadi, sebagai langkah awal, saya ada belajar memasak makanan kesukaan Azwan sejak bulan puasa dahulu iaitu ayam masak merah,” ujar pelakon Delina itu ceria.


KEBEBASAN - Selepas ini, Azwan dan Ezzaty tidak meletakkan sebarang syarat tertentu seperti tidak boleh bersentuhan atau intim sewaktu berlakon.

Begitu juga dengan Azwan yang mengakui ada membuat rujukan tentang ilmu rumah tangga daripada rakan-rakan yang berpengalaman.

“Tanggungjawab seorang suami lebih besar, terutama dari segi mendidik isteri, memberi nafkah dan bertindak selaku ketua keluarga.

“Walaupun tidak banyak tetapi saya ada juga membaca bahan berkaitan rumah tangga selain mendapatkan nasihat daripada rakan-rakan yang sudah berpengalaman. Insya-Allah, diharapkan dengan sedikit bantuan sebegitu memberikan saya lebih persediaan untuk menjalani kehidupan bersama isteri,” tutur pelakon drama Mak Cun itu.

London

Usai kedua-dua majlis persandingan mereka selesai, Azwan dan Ezzaty akan bertolak ke London untuk berbulan madu selama seminggu.

“Pada mulanya kami keliru untuk memilih destinasi Bali, Indonesia atau Gold Coast, Australia. Sebab saya sangat sukakan pantai, manakala Ezzaty pula suka bersiar di kawasan bandar.

“Tetapi, selepas berbincang kami akhirnya memilih London sebagai destinasi bulan madu. Sebagai suami, saya turuti sahaja permintaan isteri memandangkan cuaca di London sekarang panas dan tidak terlalu sejuk, jadi sesuai untuk kami bersiar-siar di sana,” ujar lelaki kelahiran Sabah itu ceria.

Tambah Ezzaty pula, biarpun baru bergelar suami isteri, namun tanggungjawab dalam karier sudah pun menunggunya usai pulang berbulan madu. Selepas ini, dia akan turun ke set penggambaran sebuah telemovie terbitan RTM sebelum kembali menyambung cuti.

“Selepas pulang ke tanah air pada 27 Julai, keesokannya saya terus ke set penggambaran. Walaupun jadual padat, tetapi saya tidak boleh tolak tawaran tersebut kerana ia adalah rezeki selepas berkahwin. Mungkin selepas selesai penggambaran, saya akan menyambung cuti,” ujarnya.

Ditanya tentang perancangan kerjaya mereka selepas ini, Azwan berkata, dia tidak menetapkan sebarang syarat untuk isterinya sama ada perlu atau tidak meneruskan karier lakonan.

“Kami sudah berbincang mengenai perkara ini. Kalau Ezzaty masih mahu bekerja dan kejar cita-citanya dalam industri, saya tidak menghalang. Cukuplah kalau dia gembira dengan kerja yang dilakukannya.

“Cuma sebagai seorang isteri, dia perlu tahu menjaga adab dan diri daripada perkara-perkara yang tidak sepatutnya demi maruah suami dan keluarga,” ujar Azwan sambil tersenyum manis di samping isteri.

Post a Comment

Previous Post Next Post