Tradisi, korban Aidilfitri Alif Satar, Kamal Adli


KERJA - Kamal akan kembali bekerja selepas raya ketiga, manakala Alif mengambil cuti panjang untuk berehat dengan keluarga.

Apabila dua hero terhangat Malaya, Alif Satar dan Kamal Adli digabungkan dalam satu sesi fotografi istimewa sempena Lebaran, memang meriah jadinya. Menjadi sanjungan ramai terutama golongan gadis, hari raya Alif dan Kamal juga sama seperti orang lain. Banyak memori serta perkara lucu yang ingin dikongsi bersama peminat.

Jika Kamal terlebih dahulu membina nama sebagai pelakon, Alif atau nama lengkapnya, Muhammad Alif Mohd. Satar, 26, mula menjadi sebutan apabila watak Ahnaf Wafiy dalam drama popular, Dia Semanis Honey bersama Siti Nordiana yang memegang watak sebagai Hani Safira merasuk jiwa ramai lantas terus melonjak profil seninya secara drastik.

Sementelah, pemilik nama sebenar, Ahmad Kamal Ahmad Adli, 30, terus digilai ramai usai fenomena drama popular Sha & Shah menemui peminat. Tidak cukup dengan itu, drama Assalamulaikum Cinta turut melazimkan namanya di bibir peminat.

Disebabkan sambutan menggalakkan dalam kalangan peminat terhadap naskhah lakonan mereka, Alif dan Kamal akan menyinari skrin televisyen dengan drama popular tersebut versi khas iaitu versi raya.

Ulas Alif: “Saya memang tidak sangka Dia Semanis Honey akan mendapat sambutan sangat hebat. Bulan Ramadan lalu, jadual saya memang padat untuk menghabiskan penggambaran drama Dia Semanis Honey Raya dan Dia Semanis Honeymoon yang ditayangkan sepanjang minggu ini bermula raya keenam sehingga raya ke-11 iaitu pada hari Sabtu ini.”

Turut dibelenggu kesibukan jadual seni, Kamal mencelah: “Ramadan lalu saya sibuk menjalani penggambaran Sha & Shah Raya dan Assalamualaikum Cinta Raya. Kalau boleh sepanjang raya saya mahu berehat selepas sibuk bekerja pada bulan Ramadan. Bagaimanapun, rasanya saya terpaksa lupakan hasrat itu. ”

Kamal korban raya

Diajak bercerita tentang perihal lebaran, sambung Kamal, dia terpaksa melupakan hasrat untuk beraya dalam tempoh yang panjang bersama keluarga tersayang di Pekan, Pahang.

“Saya cuma beraya tiga hari sahaja sebelum kembali bekerja semula. Saya akan ke Eropah iaitu ke Sepanyol dan Morocco untuk menjalani penggambaran program travelog terbitan RTM selama sebulan.

“Memang sedih tapi saya tidak boleh mengelak kerana ini tuntutan kerja, sementara saya masih lagi bujang. Kalau sudah berumah tangga nanti, lain pula ceritanya,” ujarnya sambil berseloroh.

Berbicara tentang pengalaman beraya, Kamal yang mengakui sedang berkawan rapat dengan pelakon jelita, Emma Maembong berkata, dia amat bersemangat untuk balik kampung di Pahang kerana suasana lebaran di sana sangat meriah.

“Tahun lepas saya beraya di Kedah (kampung mak). Kali ini di Pahang, kemeriahannya tetap sama. Perkara yang paling saya suka tentang raya adalah semua orang berkumpul. Beraya di kampung memang seronok. Saya tidak sabar untuk bangun pagi raya dan menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama sanak saudara,” ujarnya.

Bagaimanapun kata Kamal, dia selalu sederhana setiap kali menyambut raya. Sebaliknya, pelakon itu lebih mementingkan kebajikan orang yang disayangi.

“Misalnya, saya mempunyai lebih 60 orang saudara. Kalau yang kecil-kecil, saya suka belanjakan duit untuk keperluan raya mereka,” kata Kamal yang merupakan anak ketiga daripada tujuh adik-beradik.

Diusik pertanyaan sama ada dia akan beraya di rumah keluarga Emma, Kamal hanya mampu tertawa sambil menjawab: “Sebenarnya, saya pun tidak berapa pasti destinasi raya dia. Mungkin di Kuala Lumpur, mungkin juga di Terengganu kerana kaum kerabatnya bersepah.”

Alif Satar ‘hantu’ kambing

Sementara itu, Aidilfitri bagi selebriti tampan, Alif Satar adalah waktu paling tepat untuk keluarga dan sanak saudara berkumpul selepas dihujani dengan pelbagai komitmen kerja.

“Bagi saya, raya adalah masa untuk berehat dengan keluarga. Tahun ini rezeki memang terbuka luas, namun saya raya tidak perlu berhabis wang, cukup dipenuhi dengan keberadaaan bersama keluarga tersayang,” katanya yang bercuti raya di Balik Pulau, Pulau Pinang.

Membuka kisah rutin raya dirinya, Alif memberitahu, dia memang tidak mampu membendung ‘perangai’ setiap kali bertemu bulan Syawal. Dia sangat menggemari masakan kari kambing.

“Saya akan tidur kekenyangan selepas solat sunat Aidilfitri. Memang setiap raya akan jadi begitu. Saya gemar makan ketupat dengan kari kambing. Itu memang kegemaran saya. Selepas solat, memang saya akan jadi seperti ular sawa kekenyangan,” ujarnya.

Menyambut Syawal kedua sebagai suami Shadila Halid dan bapa kepada Alisha, Alif tidak menafikan sambutan raya tahun ini lebih bermakna bukan sahaja kerana kehidupannya sebagai seorang lelaki sudah lengkap bahkan kerana kelibatnya sebagai seorang pelaku seni semakin dihargai.

Bagaimanapun ujar Alif, hari raya adalah waktu bersama keluarga dan dan tidak akan biarkan ia terganggu oleh komitmen seni.

Post a Comment

Previous Post Next Post