
Berbeza pengalaman raya bagi dua penyanyi muda, Eleena Harris dan Sandra, namun tidak membataskan komunikasi serta kemesraan di antara mereka dalam satu sesi fotografi yang disusun khas Kosmo! bersempena dengan Aidilfitri tahun ini.
Cukup dikenali menerusi lagu Terlalu Rindu, Eleena atau nama lengkapnya, Wan Eleena Wan Harris, 21, sangat teruja apabila datangnya Syawal yang disifatkan sebagai bulan untuk merapatkan ukhwah sesama manusia terutama dalam kalangan sanak saudara.
“Apabila Syawal, saya sangat teruja untuk berjumpa dengan rakan-rakan serta sanak saudara yang sudah lama tidak bertemu disebabkan perubahan dan komitmen hidup. Paling menarik, disebabkan saya masih bergelar pelajar bertubuh genit, saya masih berpeluang untuk diberi duit raya,” katanya yang merupakan pelajar di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam bidang perakaunan.
Sementara itu, bagi penyanyi yang terbang jauh ke Sabah untuk bersama dengan keluarga tersayang sempena Aidilfitri, Sandra, 22, selain mengeratkan hubungan sesama Muslim, perkara lain yang sangat digemari pelantun lagu Hey Kau! itu adalah pilihan makanan yang pelbagai.
“Saya membesar di kawasan kampung. Banyak perkara lucu yang ingin saya ceritakan. Sudah tentu apabila Syawal menjelang, kita akan bertemu dengan sanak saudara yang kita sendiri tidak begitu kenal. Akhirnya, ia akan mengeratkan lagi silaturahim. Selain itu, saya akan ‘kejar’ makanan. Saya memang suka makan walaupun badan saya kecil,” ujar pemilik nama sebenar Alessandra Dianne Ampuria itu.
Pertama kali digabungkan bersama dalam sesi fotografi, dua belia tersebut mempunyai cerita yang bertentangan tentang Aidilfitri.
Bibir Eleena kena bunga api
Walaupun tidak pernah merasai pengalaman beraya di kampung, Eleena memberitahu, suasana raya keluarganya masih meriah dan riuh.
“Ibu saya berdarah Inggeris, manakala ayah orang Melayu. Sejak kecil sehingga hari ini, saya tidak pernah merasai pengalaman beraya di kampung. Kalau dulu waktu arwah nenek masih ada, saya dan keluarga akan beraya di kediamannya iaitu di Taman Tun Dr. Ismail.
“Jadi, kalau orang bertanya sama ada saya pernah merasai pengalaman malam raya misalnya, jawapan saya adalah tidak. Memang teringin untuk beraya di kampung tapi bagi saya beraya di mana-mana pun sama sahaja, apa yang penting adalah keberadaan bersama keluarga tersayang,” ujarnya yang merupakan anak bongsu daripada tiga orang adik beradik.
Diajak bercerita tentang pengalaman raya, Eleena tidak boleh melupakan kenangan beraya sewaktu di bangku sekolah rendah apabila dia mendapat kecederaan disebabkan kenalannya.
“Kejadian berlaku ketika saya berusia tujuh tahun. Biasalah, walaupun ditegur oleh ibu bapa untuk tidak berlari-lari di kawasan rumah, saya tidak mengendahkan nasihat mereka. Akibatnya, sedang asyik berlari-lari sambil memegang bunga api, kaki saya tersadung dan saya terjatuh.
“Bunga api yang saya pegang terkena pada bahagian bibir. Sehingga hari ini ia masih berbekas. Nasib baik ia (bunga api) tidak mencederakan bahagian lain seperti mata, kalau tidak habislah saya,” kata Eleena bersahaja.
Sandra si tomboi kampung
Berbeza kisah dengan Eleena, anak gadis kelahiran bandar Tuaran, Sabah iaitu Sandra mengecapi pengalaman raya sama seperti kanak-kanak tipikal lain yang membesar di kampung.
Katanya, sewaktu kecil, Syawal adalah bulan yang paling ditunggu olehnya kerana dapat beraya tidak ingat dunia bersama rakan-rakannya yang kebanyakan adalah lelaki.
“Waktu kecil saya memang suka bergaul dengan golongan lelaki. Jadi, saya memang tidak malu untuk pergi rumah orang beraya walaupun saya tidak kenal tuan rumah.
“Apa yang penting adalah dapat duit raya. Saya dan rakan-rakan akan merungut kalau dapat duit raya sedikit. Masakan tidak, rumah mewah dan besar, duit raya bagi sedikit sahaja. Tidak berbaloi,” ceritanya sambil membuahkan tawa.
Sambungnya lagi, dia mempunyai satu perangai iaitu suka memberikan duit raya terkumpul kepada orang lain terutama adik-beradik dan sepupu.
“Walaupun saya disifatkan sebagai kasar oleh rakan-rakan, saya suka ‘menderma’ duit raya kerana duit raya yang terkumpul pun saya tidak banyak gunakan selain untuk tujuan membeli alat permainan seperti pistol dan boneka adi wira,” ujarnya menutup bicara.