Raysha Rizrose elak kontroversi


REZEKI - Selepas menjuarai pertandingan Dewi Remaja 2015, rezeki Raysha dalam bidang seni mencurah-curah. Selain berlakon, dia turut ditawarkan menjadi pengacara dan penyanyi.

BARU setahun dalam dunia seni sejak dinobatkan sebagai juara pertandingan Dewi Remaja 2015, Raysha Rizrose telah diberi kepercayaan untuk membintangi filem arahan Sabri Yunus berjudul Dukun Doktor Dani yang akan menemui penonton pada 28 Julai ini.

Apa yang menariknya, tawaran lakonan dalam filem yang turut dibintangi oleh Taufik Batisha dan Fasha Sandha itu hadir kepadanya tanpa memiliki sebarang pengalaman dalam bidang lakonan sebaik sahaja pertandingan Dewi Remaja 2015 berakhir.

Menyifatkan ia sebagai rezeki terpijak, biarpun tanpa pengalaman Raysha, 19, yakin dia mampu memberi persembahan lakonan terbaik dengan sokongan pelakon senior, pengarah dan dorongan daripada dua orang kakaknya.

“Filem Dukun Doktor Dani merupakan pengalaman pertama saya memasuki set penggambaran. Sejujurnya melalui sendiri pengalaman berlakon memang agak mencabar.

“Pada mulanya saya memang bimbang, tetapi selepas memasuki set penggambaran semuanya berubah kerana ramai orang tidak lokek memberi bantuan. Mereka tahu saya orang baharu, jadi daripada pelakon senior sehingga pengarah memberi kerjasama sangat baik,” tuturnya yang memegang watak Tika dalam filem tersebut.

Akui Raysha, dia tidak pernah berniat untuk terjun ke dalam bidang lakonan, sebaliknya memasuki pertandingan Dewi Remaja 2015 hanya untuk melihat pencapaian diri sendiri sahaja.

Tidak menyangka selepas bergelar juara dan kini menandatangani kontrak sebagai artis Astro, dia dihujani tawaran lakonan.

“Alhamdulillah, rezeki saya lebih terarah kepada bidang lakonan. Selain itu, saya juga mendapat tawaran dalam bidang pengacaraan dan nyanyian.

“Namun, buat masa sekarang saya mahu fokus pada lakonan terlebih dulu. Jika ada rezeki pada masa hadapan saya juga mahu bergelar seorang penyanyi kerana meminati bidang muzik sejak kecil,” katanya.

Bagaimanapun, ada satu impian besar di luar bidang seni yang ingin digapainya. Dia mahu menyambung pelajaran dalam bidang undang-undang, sekali gus memegang profesion sebagai seorang peguam.

Namun hasrat tersebut ditangguhkan untuk memberi laluan kepada perkembangan kerjaya seni terlebih dahulu.

“Sebaik habis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya memang merancang untuk sambung belajar dalam bidang undang-undang kerana minat berpidato.

“Cuma dalam waktu terdekat saya tidak yakin pada kemampuan diri untuk melakukan dua kerja serentak. Biarlah fokus pada kerjaya seni dulu, selepas itu jika ada peluang dan masa saya akan sambung pelajaran,” luahnya.

Tidak kejar populariti

Berbicara tentang dunia glamor, jelas Raysha sejak berusia 10 tahun dia telah melihat sendiri pahit manis kehidupan sebagai insan seni menerusi kakaknya.

Justeru, apabila terjun ke dunia seni tanpa sengaja, Raysha tidak mendambakan populariti, sebaliknya mahu menimba pengalaman dalam bidang lakonan yang diminati.

“Sebenarnya saya nampak lebih banyak perkara negatif berbanding positif dalam dunia seni, jika tidak pandai menjaga diri.

“Saya mula berlakon kerana minat, tidak sangka lama-kelamaan timbul rasa ketagih untuk beraksi depan kamera. Namun, saya tidak kejar populariti kerana percaya ia akan datang seiring dengan kerja keras,” tuturnya.

Khalayak mungkin menyifatkan laluan Raysha masuk ke dunia seni cukup mudah memandangkan dia mempunyai dua orang kakak yang popular.

Bagaimanapun, sangkaan itu salah, kerana industri seni melihat kepada bakat, jika tidak boleh berlakon dengan baik tidak mungkin dia akan menerima banyak tawaran lakonan.

“Orang ingat sebab saya ada dua orang kakak yang berpengalaman laluan untuk saya mudah, walhal tidak sama sekali. Sebab saya juga rasa kekok dan takut sewaktu mula berlakon. Tiada keistimewaan diberikan kepada saya semata-mata saya adalah adik kepada Nelydia dan Uqasha.

“Saya mengaku beruntung kerana kakak-kakak banyak memberi tunjuk ajar untuk berlakon dan cara membawa diri, namun, saya juga harus berusaha sendiri untuk maju ke hadapan,” bicaranya panjang lebar.

Kontroversi

Tidak seperti kedua kakak-kakaknya, imej Raysha setakat ini masih bersih daripada sebarang kontroversi. Dia juga berazam untuk mengelak daripada terlibat dalam kontroversi.

Sungguhpun begitu, mengikut pemerhatiannya, kontroversi kadangkala tidak boleh dielakkan. Sebagai artis yang sentiasa menjadi perhatian, itulah bayaran yang harus dibayar apabila bekerja dalam bidang seni.

“Jika boleh saya mahu imej bersih saya kekal. Namun, kontroversi perkara yang tidak boleh dielakkan. Kadangkala perkara yang tidak betul boleh dijadikan cerita apatah lagi jika ia benar-benar berlaku.

“Oleh itu, saya hanya lebih berhati-hati dan mengikut nasihat kakak supaya menjaga tingkah laku serta pergaulan. Bagi saya pergaulan yang salah juga boleh menjerat diri ke dalam kontroversi,” katanya.

Disebabkan kedua-dua kakaknya sering dilanda dengan pelbagai kontroversi, akui Raysha, adakalanya dia juga terkena tempias dan menjadi tempat bertanya orang ramai akan kebenaran sesuatu cerita itu.

“Tempias kontroversi mereka tidaklah sampai menggugat kerjaya saya, tetapi lebih kepada orang akan bertanya saya kebenaran sesuatu cerita.

“Bagi saya perkara itu normal kerana sudah lali. Saya tidak rasa penat kerana bagi saya apapun yang berlaku keluarga tetap harus bersatu,” ujarnya.

Menyentuh tentang perkembangan terbaharunya, selain filem Dukun Doktor Dani, Raysha juga membintangi filem Muluk arahan Datuk Profesor Madya A. Razak Mohaideen.

Selain itu, dia turut terlibat dalam telefilem Isteriku Mithali dan Batas serta sebuah super tele berjudul Pok Dogo yang berkisar tentang wayang kulit.

Post a Comment

Previous Post Next Post