FAKTOR terlalu kuat bekerja dan cuaca menjadi penyebab pelakon serta pengacara popular Neelofa mengalami sesak nafas baru-baru ini. Keadaan itu dipengaruhi penyakit sinus yang dihidapinya sejak dua bulan lalu.
Akibatnya, wanita berusia 27 tahun itu tidak dapat muncul dalam program hiburan MeleTop bersama Nabil Ahmad yang bersiaran pada Selasa, 26 Julai lalu. Dia telah digantikan pengacara Jihan Muse untuk bergandingan bersama Nabil.
Ikuti penjelasan Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd. Noor yang pertama kali berdepan situasi seperti itu.
KOSMO!: Khabarnya anda diserang sesak nafas baru-baru ini sehingga tidak dapat muncul dalam program MeleTop bersama Nabil. Boleh kongsikan mengenai perkara itu?
NEELOFA: Ya, benar. Sebenarnya, pada malam Isnin lalu, saya ada pergi ke majlis rumah terbuka kenalan malah dalam keadaan sihat sahaja pada waktu itu. Bagaimanapun, selepas pulang, tiba-tiba saya mengalami sakit dada sehingga tidak boleh tidur sehingga pukul 3 pagi. Risau dengan keadaan itu, saya telah pergi ke hospital untuk membuat pemeriksaan doktor. Saya ada diberi ubat dan alat bantuan pernafasan kerana sesak nafas. Tetapi, saya dibenarkan pulang ke rumah kira-kira pada pukul 6 pagi untuk berehat. Pada sebelah paginya, barulah saya pergi membuat pemeriksaan kesihatan di hospital sambil ditemani ibu. Hasilnya, doktor memberitahu terdapat lendir pada bahagian hidung kerana penyakit sinus tetapi ia tidaklah begitu teruk.
Adakah ini kali pertama anda mengalami situasi begini?
Betul. Sebenarnya saya memang menghidap penyakit sinus sejak dua bulan lalu, tetapi tidak sangka akan diserang sakit dada sehingga tidak boleh bekerja. Perasaan saya pada waktu itu sangat cemas sebab ini kali pertama saya diserang penyakit. Sebab itu saya tidak dapat muncul dalam program MeleTop pada sebelah malamnya kerana keadaan benar-benar tidak mengizinkan. Ini merupakan kali pertama saya mengambil cuti kecemasan sepanjang mengendalikan program itu.
KETIADAAN Neelofa dalam rancangan MeleTop pada Selasa lalu diganti oleh Jihan Muse (dua dari kanan).
Jadi, bagaimana keadaan kesihatan anda sekarang?
Alhamdulillah, saya sudah beransur pulih dan diharapkan tahap kesihatan saya akan sentiasa baik sepanjang masa. Cuma, buat masa sekarang saya masih berada dalam pemantauan doktor. Saya juga dinasihatkan supaya mengurangkan sedikit aktiviti seharian dan perlu banyak berehat. Hari Selasa minggu depan, saya perlu berjumpa doktor sekali lagi untuk melihat perkembangan terkini tahap kesihatan.
Adakah ia disebabkan kerana anda terlalu kuat bekerja?
Mungkin juga ia menjadi faktor. Selepas cuti Hari Raya Aidilfitri lalu, jadual saya kembali padat dengan pengacaraan dan perniagaan. Saya memang seorang yang kuat bekerja tetapi ia tidak bermakna saya mengabaikan tahap kesihatan sendiri. Ironi, saya seorang yang sangat mementingkan kesihatan dan menjaga pemakanan. Tetapi, faktor cuaca yang tidak menentu juga boleh menjadi penyebab kepada perkara itu.
Baiklah. Beralih kepada perkembangan terkini karier anda?
Insya-Allah, menjelang pertengahan bulan Ogos nanti saya kembali turun ke set penggambaran untuk sebuah drama bersiri di bawah arahan Michael Ang. Buat masa sekarang, maklumat mengenai drama itu masih belum diputuskan. Ini merupakan drama bersiri pertama saya selepas hampir dua tahun menyepikan diri daripada dunia lakonan, jadi saya agak teruja. Seperti yang pernah saya katakan dahulu, apabila dunia perniagaan yang saya usahakan berada dalam keadaan stabil, barulah saya boleh membahagikan masa kepada dunia lakonan pula.